https://critoxium.com/shop/

Terkini

Reformasi 2.0 Atau Reformasi Era Baru

Oleh Dinsman

Sebenarnya kita kini sedang memasuki Reformasi 2.0 atau Reformasi Era Baru, setelah 20 tahun berlangsung Reformasi ’98. Tak siapa pun menjangka bahawa Reformasi ‘98 itu akan berakhir dengan PRU14 yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir.

Lim Hong Siang dalam tulisannya di Malaysiakini 20 September lalu, “Ada apa dengan Reformasi” telah mencatatkan sejarah peristiwa-peristiwa menarik sepanjang 20 tahun itu dengan baik sekali, walaupun rentetan peristiwa itu agak berliku dan tak kurang mengelirukan.

Memang apa yang berlaku dalam dunia politik kita sekitar dua tahun mutakhir adalah pergolakan yang sangat dinamik, yang di luar jangkaan mana-mana penganalisis politik mahupun sosial. Dan pergolakan yang dinamik ini, berpusat pada diri Anwar Ibrahim dan Mahathir Mohamad, masih berlangsung dan belum lagi berakhir.

Apakah ada peristiwa yang seperti ini berlaku di mana-mana negara di dunia selain Malaysia? Saya tak tahu. Belum pernah saya terbaca sesuatu yang boleh dibandingkan dengan apa yang berlaku di negara kita ini. Sesuatu yang agak luar biasa, pelik dan unik.

Satu perkara yang pasti – Malaysia mencipta rekod dunia kerana mempunyai Perdana Menteri yang paling tua (93 tahun) memerintah negara. Namun ini bukanlah perkara yang begitu penting yang kita maksudkan apabila kita mengatakan pergolakan politik Malaysia mutakhir ini begitu dinamik dan luar biasa.

Tidak dinafikan watak utama dalam drama pergolakan politik luar biasa yang dimaksudkan ini ialah Dr Mahathir Mohamad. Walaupun Anwar Ibrahim juga memainkan peranan yang tak kurang pentingnya, namun analisis menunjukkan bahawa yang menjadikan ia pergolakan yang berliku, mengelirukan, pelik dan unik ialah Dr Mahathir.

Keistimewaan perwatakan Dr Mahathir ini sebenarnya telah lama menarik perhatian saya. Saya menulis puisi berjudul “Puisi Panjang Untuk Mahathir” yang saya bacakan di hadapannya di suatu majlis dinamakan “Malam Puisi Panjang Untuk Mahathir”, yang dibuat di Dewan Bahasa dan Pustaka, pada 14 April 1982.

Kemudian pada tahun 1997 saya menerbitkan sebuah buku kumpulan puisi mengandungi 53 buah puisi yang kesemuanya adalah mengenai Mahathir, iaitu “Puisi Panjang Untuk Mahathir”. Tidak pernah terfikir bahawa buku yang mencatatkan peristiwa-peristiwa penting sepanjang 16 tahun pemerintahan Mahathir, iaitu sebelum tercetusnya peristiwa Reformasi, akan menjadi relevan semula selepas 9 Mei 2018 (PRU14), hingga pihak Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) berminat menerbitkannya semula.

Dalam ‘Pengantar Edisi Baharu’ bagi buku yang diterbitkan semula pada 21 September 2018 itu saya menyatakan : “Tidak ada orang lain pernah menginspirasikan saya sebegini. Samada saya suka dia atau saya benci dia, atau saya marah dia, atau saya mengkritik dia, saya hanya boleh menyatakannya dan saya percaya dia menerimanya. Cuma saya tidak tahu dan tidak mungkin tahu apakah reaksi dalam hati dan fikirannya. Saya harap yang baik-baik sahaja.”

Dan sewaktu gelombang Reformasi sedang memuncak saya menghasilkan puisi berjudul “Macam Orang Gila”, ditujukan kepada Mahathir, dan dibaca di seluruh negara sekitar tahun 1999, dan kemudian dibukukan bersama 54 lagi puisi-puisi Reformasi, dan diterbitkan pada tahun 2001. Judul bukunya “Macam Orang Gila”.

Selain itu Mahathir juga telah menginspirasikan saya menulis skrip teater berjudul “Siapakah Takutkan Amerika?” pada tahun 1996, yang belum dipentaskan hingga kini kerana belum ada penganjur yang “tidak takut Amerika” untuk membiayai pementasannya.

Dan mutakhir, setelah dia mencipta sejarah sebagai Perdana Menteri tertua di dunia, saya terinspirasi pula dan baru sahaja selesai menyiapkan skrip terbaharu yang saya judulkan “Apa Lagi Yang Bapa Mahu?”

Sebenarnya perwatakan Mahathir dan Anwar adalah saling melengkapi. Mahathir mungkin sudah berakhir riwayatnya sebagai tokoh politik sekiranya tidak kerana Anwar Ibrahim. Namun apabila saya membuat posting di fesbuk: “Kalau bukan kerana Anwar Ibrahim, kamu fikir Mahathir bolehkah jadi Perdana Menteri Malaysia sekarang?” – sebahagian netizen tidak bersetuju mengatakan Mahathir menjadi Perdana Menteri kini disebabkan Anwar.

Ya, memikirkan respon yang menafikan faktor Anwar itu saya baru tersedar rupa-rupanya Reformasi ’98 itu tercetus 20 tahun yang lalu. Generasi muda yang aktif berpolitik kini yang berusia sekitar 20-30 tahun tentunya kurang arif dan kurang bermaklumat mengenainya. Kesan kepada pemikiran dan sikap mereka pastinya tidak sama dengan orang yang pernah bersama-sama saya melaungkan “Macam Orang Gila” pada setiap kali saya membaca puisi tersebut sekitar tahun 1999-2000.

Jangankan generasi muda pasca ’98, bahkan generasi yang sebaya Tian Chua, Azmin Ali dan Latifa Koya pun ramai yang sudah mulai menjauh daripada pemikiran dan sikap Reformasi ’98. Kerelevanan Anwar Ibrahim sudah mulai dipertikai.

Hal ini bukanlah sesuatu yang pelik dan mengejutkan lagi dalam situasi politik Malaysia hari ini.
Generasi pasca’98 yang tidak ada kaitan sentimen dengan gelombang Reformasi ’98 tentunya lebih tertarik dan malah teruja dan terpesona dengan apa yang dilakukan Mahathir sejak kempen PRU14 hingga kini.

Mereka belum mengenali watak dan perwatakan Anwar Ibrahim seperti yang dia dikenali oleh generasi saya dan yang sebaya Tian Chua, Azmin Ali, Latifa Koya dan juga Zunar dan Ito. Di kalangan ahli-ahli parti KeAdilan (PKR) sendiri pun, yang kini sedang menjalani pemilihan pimpinan, sedang terjadi perpecahan antara dua golongan berkenaan.

Dalam konteks inilah saya mengatakan di awal tulisan bahawa “sebenarnya kita kini sedang memasuki Reformasi 2.0 atau Reformasi Era Baru;” dan bahawa “pergolakan yang dinamik ini, berpusat pada diri Anwar Ibrahim dan Mahathir Mohamad, masih berlangsung dan belum lagi berakhir.”

Saya mengikuti beberapa program mutakhir Anwar Ibrahim, di Kuala Lumpur dan di Port Dickson, dan akan terus mengikutinya untuk tempoh terdekat, bagi melihat dan menjadi saksi kepada pergolakan politik Malaysia yang dinamik ini. Apakah benar kerelevanan Anwar Ibrahim sedang luntur, atau kita sedang menyaksikan ombak Reformasi 2.0 menjadi gelombang yang akan meluruskan jalan Malaysia Baru ke hadapan.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.