Dibunuh kerana pro-IM, Turki dan Qatar?
SIAPA Jamal Kashoggi?
Siapa bakal isteri beliau? Kenapa begitu dahsyat sekali pembunuhan yang
dilakukan Arab Saudi ke atas beliau? Apa hubungan beliau dengan pesaing
Arab Saudi iaitu gerakan Islamis Ikhwan Muslimin, Turki dan Qatar?
Nama Jamal Kashoggi tiba-tiba
menggegarkan arena politik antarabangsa. Pada mulanya, lelaki Arab Saudi
ini yang sepatutnya melangsungkan perkahwinannya tidak lama lagi telah
diisytiharkan hilang selepas beliau pergi ke Kedutaan Arab Saudi di
Istanbul, Turki untuk urusan persediaan perkahwinannya. Akhirnya
kebenaran tidak dapat disembunyikan lagi: pihak Turki memiliki bukti
bahawa beliau telah mati dibunuh dengan dikerat hidup-hidup, dipenggal
dan anggota badannya direndam dalam asid untuk menghapuskan bukti
pembunuhan dahsyat di Kedutaan Arab Saudi di Istanbul ini.
Jamal Kashoggi bukanlah sebarangan
lelaki. Beliau sebenarnya pernah berkhidmat dengan agensi perisikan Arab
Saudi selama lebih 20 tahun sebelum hari ini terkenal sebagai seorang
penulis dan wartawan yang berpengaruh dan banyak mengkritik rejim
monarki Arab Saudi yang diketuai oleh Raja Salman dan Putera Mohammed
Bin Salman.
Beliau pernah berkhidmat di bawah Putera
Turki al-Faisal, Putera Bandar al-Sultan dan arkitek badan perisikan
Arab Saudi sendiri iaitu Brigadier-General Yousuf al Idrissi. Beliau
pernah menulis laporan pada 1994 bahawa usaha Arab Saudi untuk
menghapuskan pengaruh gerakan Islamis yang paling berkuasa di Mesir
iaitu Ikhwan Muslimin adalah sia-sia.
Hubungan Jamal Kashoggi dengan gerakan
Islamis Ikhwan Muslimin menjadi fokus utama yang mengakibatkan
pembunuhan kejam ke atas beliau ini. Beliau pada asalnya menyertai
jemaah Ikhwan Muslimin pada waktu muda sebelum berkhidmat dengan
Kerajaan Arab Saudi.
Susulan pendirian beliau yang menentang
tindakan Putera Mohammed Bin Salman seperti memerangi Yaman, memulau
Qatar, dan rapat dengan Donald Trump, beliau telah bertindak nekad
melarikan diri dari Arab Saudi pada September 2017. Jamal Kashoggi juga
lantang mengkritik Israel dan sering menyeru para pemimpin Dunia Islam
dan Arab khususnya agar berjuang menentang Israel. Pada 2 Oktober 2018,
beliau telah ke Kedutaan Arab Saudi untuk urusan perkahwinannya – itulah
hari terakhir beliau dilihat di khalayak ramai.
Adakah beliau dibunuh hanya semata-mata
kerana ‘mengkritik Raja Salman dan Putera Mohammed Bin Salman’ atau
dasar luar agresif Arab Saudi? Tidak, motif yang lebih kukuh adalah pada
bakal isterinya dan juga perancangan Jamal Kashoggi sendiri.
Siapakah bakal isteri Jamal Kashoggi?
Beliau ialah seorang wanita Turki bernama Hatice Cengiz. Siapakah Hatice
Cengiz ini? Beliau ialah seorang diplomat dan merupakan anak perempuan
kepada bekas penasihat Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan. Apakah
perancangan Kashoggi? Beliau merancang untuk menubuhkan sebuah Pusat di
Turki dengan bantuan dana Turki dan Qatar – dua negara yang pro-Ikhwan
Muslimin dan pesaing kuat kepada dominasi Arab Saudi di Timur Tengah.
Hakikatnya, jika Putera Mohammed Bin
Salman sekadar ingin membunuh Kashoggi, beliau boleh mengupah mana-mana
pembunuh upahan untuk membunuh Kashoggi di jalanan Istanbul.
Sebaliknya,
beliau ingin menyoal-siasat Kashoggi terlebih dahulu dan mendapatkan
pelbagai maklumat hubungan dan perancangan beliau. Tentu sahaja,
perancangan Kashoggi untuk menubuhkan Pusat di Turki dengan dana Turki
dan Qatar – yang masih dipulaukan oleh Arab Saudi – cukup mengancam
rejim Mohammed Bin Salman.
Hal ini demikian kerana Kashoggi
memiliki rangkaian yang cukup besar dan meluas di dalam mahu pun di luar
Arab Saudi. Maka tidak menghairankan apabila Putera Mohammed Bin Salman
mengutuskan pembantu beliau sendiri, iaitu Maher Abdulaziz Mutreb ke
Istanbul untuk ‘menguruskan’ Kashoggi.
Rahsia ini bocor apabila seramai 15
orang ejen dari Arab Saudi – termasuk ahli patologi – dikesan terlibat
hasil siasatan pihak berkuasa Turki. Malah, foto pembantu Putera
Mohammed Bin Salman, iaitu Maher Abdulaziz Mutreb memasuki Kedutaan Arab
Saudi beberapa jam sebelum ‘kehilangan’ Kashoggi juga telah didedahkan.
Kedutaan Arab Saudi yang pada mulanya
mendakwa bahawa Kashoggi telah pun keluar beredar dari kedutaan di
Istanbul selepas urusan beliau selesai akhirnya menukar kenyataan
mereka. Terbaru, mereka mengakui bahawa Kashoggi telah ‘terbunuh’ dalam
kedutaan.
Apa pula reaksi ‘polis dunia’ iaitu
Amerika Syarikat yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia dan
kebebasan bersuara para wartawan? Seperti diduga, Presiden Trump
mengulangi kenyataan bahawa Arab Saudi ialah sahabat dan sekutu paling
penting bagi Amerika Syarikat di Timur Tengah.
Pastinya, Arab Saudi dan Amerika
Syarikat cukup gerun dengan perancangan Kashoggi yang boleh mengukuhkan
pengaruh Ikhwan di Timur Tengah – apatah lagi dengan dukungan Turki dan
Qatar di samping pengalaman beliau dalam perisikan Arab Saudi. Dari segi
luaran, gerakan Ikhwan Muslimin hari ini semakin berpengaruh dalam
politik negara sekutu Saudi iaitu Bahrain, Kuwait, dan Jordan serta
turut memerintah di Maghribi, dan berpengaruh di Tunisia. Dari segi
dalaman pula suara tentangan terhadap Raja Salman dan Putera Mohammed
Bin Salman semakin jelas kedengaran. Begitulah bahayanya seorang lelaki
bernama Jamal Kashoggi ini.
Semoga keadilan dapat ditegakkan dalam
kes pembunuhan berprofil tinggi ini dan seluruh dunia Islam juga tidak
wajar berdiam diri semata-mata kerana menjaga kepentingan dengan Arab
Saudi dan Amerika Syarikat.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.