Kerajaan
dan beberapa pihak mengusulkan untuk Malaysia menandatangani dan
meratifikasi International Konvensyen Antarabangsa Menghapuskan
Diskriminasi Kaum (ICERD).
Mereka mengatakan Malaysia
harus mengikut jejak majoriti negara di dunia, dan sudah tiba masanya
setelah lama Malaysia enggan melakukannya.
ICERD adalah
konvensyen antarabangsa yang mewarisi asas penting daripada Deklarasi
Sejagat Hak Asasi Manusia 1948, dan terlebih dahulu Magna Carta 1215.
Secara sejarahnya, definisi hak asasi ini dibentuk beracuankan pemahaman
barat.
Walaupun telah banyak negara menandatangani ICERD,
tetapi masih banyak negara belum meratifikasikannya. Ratifikasi secara
mudah bermaksud bersetuju untuk terikat dengannya. Malaysia masih belum
menandatangani, apatah lagi meratifikasikannya.
Pelbagai
pihak melihat perkara ini sebagai satu langkah mundur dan kuno. Walhal
Malaysia punya acuan sendiri bersendikan Perlembagaan Persekutuan dan
kontrak sosial, dan sering menjuarai isu hak asasi, dalaman, serantau
mahupun dunia walaupun tidak meratifikasi ICERD.
Malaysia
antara yang terawal menentang aparteid (penindasan kulit hitam) di
Afrika Selatan secara terbuka, bahkan pelopor keamanan ketika
penyembelihan kaum di Serbia, Kosovo dan Rohingya. Ketika itu barat dan
NATO masih berselimut.
Hak asasi acuan Malaysia sangat
unik kerana ia mengiktiraf beberapa perkara, yang pada skala ICERD
merupakan satu diskriminasi, tetapi pada skala Malaysia, adalah satu
rahmat bertunjangkan kontrak sosial. Ciri-ciri uniknya ialah berkenaan
agama Islam, orang Melayu dan Bumiputera.
'Acuan kita lebih sejahtera'
Melalui
Perlembagaan Persekutuan, Islam diiktiraf sebagai agama rasmi, namun
agama lain tetap bebas diamal. Pun begitu, penyebaran agama lain kepada
orang Islam adalah dilarang, walaupun penyebaran Islam kepada sesiapa
jua tidak dihalang.
Ini adalah kompromi awal atas kehendak
Raja-Raja Melayu yang menjadi tonggak agama Islam, suatu agama yang
diamal secara turun temurun di Malaysia (dulunya Tanah Melayu).
Kaum
Melayu juga diberi beberapa keistimewaan. Ada institusi awam yang
menjaga kepentingan Melayu seperti MARA, MRSM, UITM dan sebagainya. Ada
juga peruntukan khas pemilikan tanah tertentu dibawah skim Tanah Rizab
Melayu.
Keunikan yang disebut di atas menjadikan Malaysia
negara yang hampir bebas konflik dan pertumpahan darah (kecuali tragedi
13 Mei). Rakyat hidup dalam harmoni sedang keistimewaan penduduk asal
iaitu kaum Melayu dihormati.
Soalnya, kenapa perlu kita mengambil acuan hak asasi barat, sedangkan acuan kita lebih sejahtera, dan sesuai?
Di kalangan ahli politik dan akademik juga ada mencadangkan untuk kita meratifikasi ICERD dengan “reservation”, sebagai jalan tengah untuk tidak menolak secara total tuntutan antarabangsa. Reservation, secara mudah bermaksud pengecualian yang dibuat sendiri oleh negara terbabit. Kata mereka, Artikel 2.2 boleh dikecualikan.
Sejarah
menunjukkan bahawa pengecualian yang dibuat oleh pelbagai negara di
dunia terhadap ICERD berkisar tentang Artikel 4 dan 22. Artikel 4 adalah
berkenaan idea atau teori sesuatu kaum itu lebih utama daripada kaum
lain, dan Artikel 22 adalah berkenaan rujukan kepada Mahkamah Keadilan
Antarabangsa.
Negara-negara seperti Afghanistan, Bahrain,
China, Cuba, Mesir, Equitorial Guinea, India, Indonesia, Iraq, Israel,
Kuwait, Lebanon, Libya, Madagascar, Morocco, Mozambique, Syrian Arab
Republic, Thailand, Turki dan Vietnam mengecualikan Artikel 22.
Sementara
negara seperti Australia, Austria, Bahamas, Belgium, France, Ireland,
Italy, Japan, Malta, Monaco, Nepal, Papua New Guinea dan Switzerland
mengecualikan atau mendefinisikan semula Artikel 4.
Hanya
beberapa negara yang membuat pengecualian Artikel 2 secara spesifik
termasuk Monaco, Switzerland dan Singapura, itupun berkenaan dengan
undang-undang mereka tentang kemasukan buruh asing.
Tidak mahu terikat
Pengecualian
ini pula, sekiranya melanggar matlamat asal ICERD boleh dibantah oleh
negara lain, dan diisytihar tidak sah. Ya, pengecualian boleh jadi tidak
sah.
Arab Saudi yang meletakkan syariat Islam sebagai sumber tertinggi hukumnya pada 23 Sept 1997 membuat pengecualian berikut: “The
Government of Saudi Arabia declares that it will] implement the
provisions of the above Convention, providing these do not conflict with
the precepts of the Islamic Shariah”
Pengecualian
Arab Saudi tersebut telah dibantah keras oleh beberapa negara seperti
Austria, Finland, Jerman, Norway, Spain dan Sweden. Kata mereka
pengecualian sedemikian melanggar matlamat asal ICERD.
Yaman
juga membuat pengecualian yang penuh kontroversi. Yaman mengecualikan
negaranya daripada aplikasi Artikel 5(c) dan 5(d)(iv), (vi) dan (vii).
Artikel
5(c) adalah berkenaan hak penyertaan dalam politik dan pilihan raya
yang perlu dijamin, manakala Artikel 5(d)(iv) adalah hak untuk kahwin
dan memilih pasangan, (iv) hak mewarisi harta, (vii) kebebasan berfikir,
kesedaran dan agama, yang masing-masing perlu dijamin tanpa
diskriminasi atas dasar kaum dan warna kulit.
Pendek kata, Yaman tidak mahu terikat dengan hak-hak tersebut.
Pengecualian
ini mendapat bantahan 14 negara termasuk Australia, Belgium, Canada,
Denmark, Finland, France, Jerman Italy, Mexico, Netherlands, New
Zealand, Norway, Sweden dan UK. Maka, pengecualian ini jadi tidak
berguna dan tidak diiktiraf.
Seperkara yang menarik
tentang Yaman ialah mereka juga menjadikan Islam sebagai agama negara
menurut Artikel 2 Perlembagaan Yaman, dan mempunyai sistem mahkamah
berteraskan undang-undang Shariah. Ia ada miripnya dengan Malaysia.
Soalnya
sekarang, kalau pun benar Malaysia perlu meratifikasikan ICERD (yang
mana saya katakan tidak), dan buat pengecualian, pengecualian apa? Dan
apakah ia tidak bertentangan dengan matlamat ICERD yang pastinya akan
dibantah masyarakat antarabangsa?
Kritikan hebat antarabangsa
Saya boleh fikirkan beberapa pengecualian yang perlu dibuat seperti berikut:-
a.
Artikel 2.1 tentang memansuhkan atau meminda apa-apa undang-undang yang
ada asas diskriminasi - bagi mempertahankan kewujudan mahkamah Syariah
sebagai mahkamah khusus untuk orang Islam, enakmen-enakmen syariah yang
terpakai hanya untuk orang Islam, institusi-institusi zakat yang memberi
pengecualian cukai kepada orang Islam, jabatan-jabatan agama Islam,
dsb.
b. Artikel 2.2 (tentang membolehkan polisi untuk
membantu sesuatu kaum sekira keadaan memerlukan sehingga mereka tidak
lagi didiskriminasi) sebagaimana dicadangkan - untuk mengekalkan dasar
afirmatif kepada bumiputera.
c. Artikel 4(c) tentang
institusi awam yang berasaskan “diskriminasi” kaum - untuk pertahankan
MARA, MRSM, UITM, Askar Wataniah dll
d. Artikel 5(d)(iv)
tentang hak memilih pasangan - bagi mengelakkan liberalisasi perkahwinan
jantina yang sama (kerana LGBT juga boleh disifat sebagai
diskriminasi).
e. Artikel 5(d)(v) tentang hak memiliki
hartanah (sebagaimana dibuat oleh Tonga yang mahu mempertahan pemilikan
tanah oleh orang asal Tonga) - bagi mempertahankan Tanah Rizab Melayu,
dan syarat-syarat kuota bumiputera bagi pemilikan hartanah.
f.
Artikel 5(d)(vi) tentang pewarisan harta - bagi mempertahankan sistem
faraid Islam yang berjalan seiring dengan pewarisan bukan Islam.
g.
Artikel 5(d)(vii) tentang kebebasan berfikir, kesedaran dan agama -
bagi membanteras pemikiran-pemikiran sesat seperti Syi’ah, Qadyani dsb.
h. Artikel 8 tentang rujukan kepada Jawatankuasa.
i. Artikel 22 tentng rujukan kepada ICJ.
j. Pengecualian tentang pengiktirafan negara haram Israel (sebagaimana dibuat oleh beberapa Negara Islam).
Pendek
kata, Malaysia mungkin menjadi negara yang paling banyak menyenaraikan
pengecualian, dan tentunya akan menjadi kritikan hebat antarabangsa,
sebagaimana Arab Saudi dan Yemen.
Ertinya, jelas lagi bersuluh
bahawa ICERD adalah hak asasi acuan barat, yang tidak sesuai sama sekali
dengan acuan Malaysia, sehingga hampir mustahil untuk menerimanya tanpa
merombak hampir keseluruhan asasnya.
Oh, jangan salah
sangka pula! Saya tidak sekali-kali mengatakan bahawa kita mengiktiraf
diskriminasi dalam apa jua keadaan. Tentunya agama kita menentang keras
sebarang bentuk diskriminasi. Hakikatnya, Rasul datang 1400 tahun dahulu
adalah untuk memerangi Asabiyah/taksub/perkauman.
Apa
yang saya katakan dan tekankan ialah, menghapus diskriminasi dan menegak
hak asasi, tidak semestinya menggunakan acuan ICERD. Hak asasi kita,
acuan kita. Acuan kita adalah Perlembagaan Persekutuan, kompromi awal
dan kontrak sosial.
Sudah
tentulah al-Quran yang mendokumentasikan hak manusia lebih awal dari
ICERD, ataupun Piagam Madinah yang mendokumentasikan hak dalam sesebuah
negara lebih awal dari ICERD, lebih dahulu perlu “diratifikasikan”.
Sebelum itu berlaku, “rule of law” pastinya menuntut kita untuk
menjunjung Perlembagaan Persekutuan, kompromi awal dan kontrak sosial
yang begitu lama dipertahan.
'Mahu hapus diskriminasi tak semestinya guna acuan ICERD'
Reviewed by editorreformis
on
Oktober 31, 2018
Rating: 5
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.
KUALA LUMPUR : Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mahu masyarakat berkongsi kisah kejayaan mengenai guru yang mereka kenali supaya menj...
Bicara Islam
Comments
Recent Comments:
Recent Posts
Email
Teknologi
Wawancara
Notis
Sebarang kemusykilan,cadangan,teguran,kritikan dan sumbangan artikel srta pertanyaan boleh hubungi pihak kami di Email :denyutreformasi@gmail.com
Jumlah Paparan Halaman
PERINGATAN : Apa jua yang disiar dalam web/blog ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan web denyutan Reformasi.Kami tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.