PRK Port Dickson: Terima kasih kepada semua
Oleh USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
PILIHAN Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson telah berakhir jam 5.30 petang 13 Oktober setelah semua pusat mengundi ditutup.
Walaupun keputusan tidak memihak kepada
PAS, tetapi Allah S.W.T menjadi saksi segala kesungguhan, pengorbanan,
dan jerih-perit yang telah diusahakan oleh jentera parti daripada
segenap pelosok negeri.
Bermula hari penamaan calon sehingga
hari pengundian, kita melihat kesungguhan para jentera yang datang dari
seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Semuanya hadir dengan satu
matlamat untuk memenangkan PAS pada PRK kali ini.
Justeru, saya mewakili seluruh
Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Malaysia mengucapkan jutaan terima kasih
serta segulung penghargaan khusus buat seluruh jentera PAS yang telah
bertungkus-lumus berkempen, meraih undi, ziarah rumah ke rumah,
menggantung bunting, banner, billboard, juga
tak lupa buat mereka yang bekerja secara belakang tabir mereka cipta
poster, kempen melalui media sosial dan segala bentuk gerak kerja yang
dilakukan.
Tidak kurang juga ada yang bercuti tanpa
gaji, mengambil cuti serta-merta hanya untuk turut serta dalam misi
memenangkan PAS di PRK P.132 ini.
Terima kasih yang tidak terhingga
daripada kami, sesungguhnya hanya Allah S.W.T selayaknya memberikan
balasan setimpal dengan segala kerja buat kalian.
Di samping itu, pihak kami juga ingin
mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang yang dermawan baik
daripada sekecil-kecil nilai hingga sebesar-besar nilai. Sumbangan
kalian sungguh bermakna di saat-saat genting sebegini.
Percaya dan yakinlah bahawa kemenangan
PAS ini bukan sekadar untuk dibanggakan, tetapi perjuangan untuk
memenangkan PAS ini lebih kepada sebagai manifestasi tertegaknya Islam
di bumi Malaysia melalui jalan demokrasi.
Akhir kalam, terus beristiqamah dalam
jalan perjuangan ini yang semestinya susah dan panjang. Dengan izin
Allah, suatu hari nanti pasti Islam akan tertegak dengan menjadi rahmat
kepada seluruh penduduknya.
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.