Protes rakyat di PRK Port Dickson itu bohong!
KOTA BHARU – Tidak timbul isu protes rakyat di PRK Port Dickson walaupun peratusan keluar mengundi dikatakan merosot berbanding PRU14 lalu, kerana pencapaian kali ini lebih baik berbanding tiga PRK lain sebelum ini.
Pengarah Komunikasi PKR Kelantan, Mohd Sukirman Mustafa berkata, walau apa juga tohmahan yang dilemparkan oleh pembangkang namun mereka percaya apa yang dizahirkan rakyat melalui PRK Port Dickson cukup memberangsangkan.
Katanya, kemenangan itu adalah bukti sokongan padu rakyat terhadap PH di sebalik beberapa isu yang ditimbulkan seperti Oktoberfest dan sebagainya.
Dalam PRK Port Dickson peratus keluar mengundi adalah 58.25 peratus berbanding pada PRU14 sebanyak 82.81 peratus.
“Memang jika dibandingkan dengan PRU14 ia lebih rendah kerana situasinya berbeza oleh pelbagai faktor. Namun Port Dickson lebih tinggi jika dibandingkan dengan tiga PRK lain iaitu PRK Dun Sungai Kandis mencatatkan peratusan keluar mengundi 49.9 peratus, Balakong (43 peratus) dan Seri Setia (44 peratus).
“Di Port Dickson saya percaya rakyat lebih menyokong kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim dominasi semua saluran dan beliau menang besar berbanding calon lain yang hilang deposit, kecuali Pas,” katanya.
Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyatakan peratusan keluar mengundi di Port Dickson merudum kerana protes rakyat terhadap PH yang gagal menunaikan manifesto.
Mohd Sukirman berkata, keputusan itu seolah rakyat kini bersedia menerima Anwar sebagai tokoh yang bakal memerintah negara selepas Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, walaupun pembangkang cuba memainkan isu yang tidak relevan tetapi ia berjaya ditepis oleh pimpinan PH dan beliau percaya rakyat juga sudah muak dengan politik yang menyerang keperibadian individu.
“PRK Port Dickson adalah sesuatu yang ditunggu untuk rakyat melihat kembali penampilan tokoh hebat yang bakal membentuk persefahaman PH melalui gandingan bersama Dr Mahathir bagi membina semula negara dan membetulkan kesilapan dilakukan kepimpinan sebelum ini,”katanya.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.