Rahmatan lil ‘alamin
FIRMAN Allah:
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ (107)
“Dan tiadalah Kami
mengutuskan Engkau (wahai Muhammad S.A.W), melainkan untuk menjadi
rahmat bagi sekalian alam”. (Surah Al-Anbiya': 107)
Islam dan kerasulan Nabi Muhammad S.A.W.
pada akhir zaman adalah rahmat Allah kepada seluruh alam (manusia dan
makhluk yang lain). Ia telah dibuktikan betapa hebat dan sempurnanya
rahmat Allah yang terkandung dalam ajaran Islam yang sempurna.
Baginda S.A.W. dilantik menjadi Rasul pada akhir zaman dunia yang termaju. Dengan sedikit ilmu kurniaan Allah kepada manusia, dicapainya kemajuan sehingga menjadikan muka bumi yang dahulunya dikira sangat luas, kini dirasakan sempit bagi musafir dan mendapat maklumat pantas sehingga mereka meneroka ke angkasa lepas.
Baginda S.A.W. dilantik menjadi Rasul pada akhir zaman dunia yang termaju. Dengan sedikit ilmu kurniaan Allah kepada manusia, dicapainya kemajuan sehingga menjadikan muka bumi yang dahulunya dikira sangat luas, kini dirasakan sempit bagi musafir dan mendapat maklumat pantas sehingga mereka meneroka ke angkasa lepas.
Maka perkataan ‘Allah’ paling agung yang
pertama disebut, menunjukkan ketuhanan Maha Esa yang wajib
diperhambakan diri kepada-Nya dengan beribadat dan melaksanakan hukum
syariat semuanya secara sempurna. Diikuti nama ‘Ar-Rahman’ dan
‘Ar-Rahim’ yang menunjukkan Allah Maha Rahmat. Dua nama Allah yang
paling utama dan teragung disebut selepas kalimah Allah itu menunjukkan
betapa melimpah ruah rahmat-Nya.
Adapun rahmat itu dihuraikan lagi oleh ayat-ayat Al-Quran dan Hadis Rasulullah S.A.W. yang mentafsirkan rahmat Allah kepada seluruh ajaran Islam, merangkumi aspek keimanan dan pelaksanaan syariat, bahkan meliputi semua kurniaan Allah yang melimpah tidak terhingga kepada seluruh alam, bukan sahaja aspek rezeki jasad dan roh.
Adapun rahmat itu dihuraikan lagi oleh ayat-ayat Al-Quran dan Hadis Rasulullah S.A.W. yang mentafsirkan rahmat Allah kepada seluruh ajaran Islam, merangkumi aspek keimanan dan pelaksanaan syariat, bahkan meliputi semua kurniaan Allah yang melimpah tidak terhingga kepada seluruh alam, bukan sahaja aspek rezeki jasad dan roh.
Firman Allah:
وَآتَاكُم مِّن كُلِّ مَا سَأَلْتُمُوهُ وَإِن تَعُدُّوا نِعْمَتَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا إِنَّ الْإِنسَانَ لَظَلُومٌ كَفَّارٌ (34)
“Dan Dia telah memberi
kepada kamu sebahagian daripada tiap-tiap apa jua yang kamu minta. Dan
jika kamu menghitung nikmat Allah (daripada rahmat-Nya), nescaya kamu
tidak dapat membilangnya. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim (suka
meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya), lagi sangat kufur (tidak
menghargai nikmat Tuhannya(”. (Surah Ibrahim: 34)
Firman Allah:
وَآيَةٌ
لَّهُمْ أَنَّا حَمَلْنَا ذُرِّيَّتَهُمْ فِي الْفُلْكِ الْمَشْحُونِ (41)
وَخَلَقْنَا لَهُم مِّن مِّثْلِهِ مَا يَرْكَبُونَ (42) وَإِن نَّشَأْ
نُغْرِقْهُمْ فَلَا صَرِيخَ لَهُمْ وَلَا هُمْ يُنقَذُونَ (43) إِلَّا
رَحْمَةً مِّنَّا وَمَتَاعًا إِلَىٰ حِينٍ (44)
“Dan satu dalil lagi untuk
mereka (insaf) ialah, Kami membawa berlayar zuriat mereka dalam bahtera
yang penuh muatan dan baik, serta menyelamatkannya. (41); Dan Kami
ciptakan untuk mereka, jenis-jenis kenderaan yang sepertinya, yang
mereka dapat mengenderainya. (42); Dan jika Kami kehendaki, Kami boleh
tenggelamkan mereka; (kiranya Kami lakukan yang demikian) maka tidak
dapat diselamatkan mereka. (43); Kecuali dengan rahmat dari pihak Kami
dan menjadi kesenangan hidup kepada mereka hingga ke suatu masa yang
ditetapkan ajalnya. (44)”. (Surah Yasin: 41-44)
Ini menunjukkan wujudnya pelbagai jenis
kenderaan sama ada darat, laut dan udara yang dilimpahi rahmat Allah
dengan akal dan ilmu diciptanya, serta diselamatkan perjalanannya.
Sabda Rasulullah S.A.W.:
إن لله
مائة رحمة أنزل منها رحمة واحدة بين الجن والإنس والبهائم والهوام، فبها
يتعاطفون، وبها يتراحمون، وبها تعطف الوحش على ولدها، وأخر الله تسعا
وتسعين رحمة يرحم بها عباده يوم القيامة (مُتَّفَقٌ عَلَيهِ)
“Sesungguhnya Allah S.W.T.
mempunyai seratus rahmat (dalam riwayat yang lain membahagikan
rahmat-Nya kepada seratus), satu sahaja yang diturunkan (di alam dunia
ini) kepada (hamba-Nya) dari kalangan manusia, jin dan binatang. Dengan
yang satu itulah, mereka berkasih sayang di antara satu sama lain.
Dengannya juga menjadikan binatang liar, ganas dan buas, berperasaan
sayang kepada anaknya. Allah menangguhkan sembilan puluh sembilan lagi
daripada rahmat-Nya itu, untuk dikurniakan kepada hamba-Nya pada Hari
Kiamat nanti”. (Muttafaq ‘Alaih)
Seluruh ajaran Islam adalah rahmat,
merangkumi segala nikmat roh dan jasad. Pelaksanaan perintah Allah dan
meninggalkan larangan-Nya mengikut kemampuan adalah rahmat jua. Bahkan,
mencegah larangan sehingga menghukum mereka yang melakukan larangan juga
adalah rahmat.
Umat Nabi Muhammad S.A.W. merangkumi
seluruh manusia sama ada penganut Islam dinamakan umat ijabah dan bukan
Islam dinamakan umat dakwah. Para ulama’ mentafsirkan rahmat itu
meliputi seluruh manusia dan alam yang lain termasuk mereka yang
beriman, kafir, munafik, zalim dan fasiq dalam kehidupan dunia ini.
Rahmat Allah terhadap yang kafir,
munafik, zalim dan fasiq adalah diberi rezeki jasad dan akal kepada
semua dalam kehidupan dunia.
Rahmat Allah juga ditangguhkan bala
bencana yang pernah memusnahkan semua umat yang terdahulu daripada
ditimpa ke atas umat Nabi Muhammad S.A.W. dengan sebab maksiat.
Rahmat juga dibuka pintu taubat seluas-luasnya kepada mereka yang berdosa sama ada besar atau kecil.
Rahmat Allah bukan sahaja dalam perkara
nikmat kehidupan jasad dan akal, bahkan termasuk perkara rohani (dosa
dan pahala) daripada semua perintah dan larangan Allah yang menjadi
sempadan kehidupan manusia dalam segala aspeknya.
Rahmat Allah juga dinyatakan dalam aspek
pencegahan terhadap kemungkaran dan dosa, kerana semua yang diharamkan
itu membawa mudarat. Pencegahannya melalui pelbagai pendekatan seperti
nasihat, amaran dan hukuman terhadap pelakunya kerana rahmat Allah
menyelamatkan orang yang baik dengan cegahan sehinggalah menghukum
dengan sekeras-kerasnya.
Selain itu, menyelamatkan orang yang
jahat dan penjenayah dengan menghalang dan mendidik mereka melalui
hukuman Qisas, Hudud dan Takzir, yang dikatakan sangat keras tetapi
dengan syarat-syarat yang sukar dijatuhkan. Menunjukkan kehebatannya
menakutkan dan mendidik.
Rahmat Allah juga menggalakkan taubat
dan kemaafan daripada dosa-dosa, hanya sedikit sahaja yang tidak boleh
dimaafkan iaitu syirik kerana sangat besar mudaratnya yang menjadi punca
segala kejahatan dan jenayah moral yang dihukum dengan Hudud yang
menjadi hak Allah S.W.T. setelah dihukum di mahkamah.
Sehinggalah rahmat Allah bertindak
perang terhadap kalangan yang melampaui batas, sama ada kalangan bukan
Islam atau penganut Islam sendiri.
Firman Allah:
وَلَوْلَا
دَفْعُ اللَّهِ النَّاسَ بَعْضَهُم بِبَعْضٍ لَّهُدِّمَتْ صَوَامِعُ
وَبِيَعٌ وَصَلَوَاتٌ وَمَسَاجِدُ يُذْكَرُ فِيهَا اسْمُ اللَّهِ كَثِيرًا
وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ
(40)
“Dan kalaulah Allah tidak
mendorong sesetengah manusia menentang pencerobohan dengan sesetengahnya
yang lain, nescaya diruntuhkan tempat-tempat ibadat, serta
gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum
Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama
Allah banyak-banyak padanya. Dan sesungguhnya Allah akan menolong
sesiapa yang menolong agama-Nya (Islam). Sesungguhnya Allah Maha Kuat
Lagi Maha Kuasa”. (Surah Al-Hajj: 40)
Menunjukkan betapa rahmat Allah itu
berperang menentang musuh agama dan kemanusiaan yang melampau terhadap
Islam dan umatnya serta penganut bukan Islam yang berada di bawah
naungan kerajaannya, dengan syarat tidak melampaui batas kemanusiaan dan
keadilan.
Menentang pelampau pelbagai agama dan
tidak beragama, sehingga melindungi hak penganut pelbagai agama. Tegas
menolak teori menghapuskan semua jenis peperangan atau falsafah matlamat
menghalalkan cara, seperti menggunakan senjata pemusnah secara melampau
yang diharamkan oleh syariat Islam. Ini semua merupakan rahmat Allah.
Allah menyuruh supaya memerangi kalangan yang melampau daripada umat Islam sendiri terhadap saudara seagamanya:
وَإِن
طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا
فَإِن بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الْأُخْرَىٰ فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي
حَتَّىٰ تَفِيءَ إِلَىٰ أَمْرِ اللَّهِ فَإِن فَاءَتْ فَأَصْلِحُوا
بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ وَأَقْسِطُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ
الْمُقْسِطِينَ (9) إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ
أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ (10)
“Dan jika dua puak dari
orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya.
Jika salah satunya berlaku melampau terhadap yang lain, maka lawanlah
(berperang) menghadapi puak yang melampau itu sehingga ia kembali
mematuhi perintah Allah. Jika ia kembali patuh, maka damaikanlah di
antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah
kamu (dalam segala perkara). Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang
yang berlaku adil. (9); Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah
bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang
bertelingkah) itu. Dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh
rahmat” (10). (Surah Al-Hujuraat: 9-10)
Namun Islam tetap mendahulukan perdamaian kerana rahmat melaksanakan perintah Allah:
وَإِن جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (61)
“Dan jika mereka (pihak
musuh) cenderung kepada perdamaian, maka Engkau juga hendaklah cenderung
kepadanya serta bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha
Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. (Surah Al-Anfaal:61)
Allah juga berfirman supaya melaksanakan
hukuman terhadap individu yang melampau sehingga melakukan jenayah
dengan menjatuhkan hukuman Qisas, Hudud dan Takzir terhadap kecederaan
dan pembunuhan serta yang merosakkan akhlak. Maka semuanya adalah
rahmat.
Firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى
“Wahai orang-orang yang
beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman "Qisas" balasan (yang
seimbang) hukuman kesalahan jenayah membunuh dan kecederaan”. (Surah
Al-Baqarah: 178)
Selain itu, Allah menegaskan adanya rahmat dalam konsep pengampunan kepada hukuman jenayah Qisas tersebut:
فَمَنْ
عُفِيَ لَهُ مِنْ أَخِيهِ شَيْءٌ فَاتِّبَاعٌ بِالْمَعْرُوفِ وَأَدَاءٌ
إِلَيْهِ بِإِحْسَانٍ ۗ ذَٰلِكَ تَخْفِيفٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَرَحْمَةٌ ۗ
فَمَنِ اعْتَدَىٰ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَلَهُ عَذَابٌ أَلِيمٌ (178) وَلَكُمْ
فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
(179)
“Maka sesiapa (penjenayah
tersebut) yang mendapat keampunan dari saudaranya (mangsa jenayah yang
berhak memberi keampunan), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu)
mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti hukuman denda pampasan).
Dan (si penjenayah pula) hendaklah menunaikan bayaran itu dengan
sebaik-baiknya. Oleh yang demikian itu adalah suatu keringanan dari
Tuhan kamu serta suatu rahmat. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas
(untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi
sakitnya. (178); Dan di dalam hukuman Qisas itu adalah jaminan hidup
bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa”
(179). (Surah Al-Baqarah: 178-179)
Sepatutnya dibuat perbandingan di antara
hukum Islam dan hukum lain. Seperti hukuman sebatan mengikut hukum
Islam dan pengampunan daripada mangsa atau walinya.
Dalam hukuman Qisas, sebatan dengan
syarat dan cara yang bersopan dan mendidik serta tidak menyeksakan.
Sangat berbeza dengan hukuman undang-undang ciptaan manusia Barat yang
sangat kejam kerana menyeksa dan boleh mencacatkan. Hukuman sebatan itu
keras, manakala hukuman mati di tali gantung menyeksakan.
Ini menunjukkan kebijaksanaan Islam itu
membawa rahmat Allah dengan teguh dan tegas beristiqamah di atas
dasarnya dan tidak jumud kerana berkonsepkan tetap dan teguh dalam
perkara dasar yang besar, bahkan ada fleksibel dan ‘possible’ dalam
menghadapi perubahan mengikut keperluan tanpa menyerah kalah sehingga
menjadi hanyut dan terpesong.
Ada kalangan yang salah mentafsirkan
konsep Rahmatan Lil ‘Alamin sejak zaman dahulu lagi. Contohnya di
kalangan mereka yang dinamakan Muktazilah yang menggunakan akal kononnya
berfalsafah, tetapi sebenarnya tanpa tafaqquh dalam syariat Islam dan
tidak berpandukan Siasah Syar’iyyah dan Maqasid Syariah (polisi,
pendekatan dan tujuan) dengan istiqamah, kerana adanya hukum yang
berpandukan nas telah ditetapkan Allah, serta panduan akal dan kajian
yang diizinkan Allah.
Tujuan sebenar mereka itu ke arah
menafikan hukum syariat dan menghalang pelaksanaannya, dengan terus
membiarkan undang-undang ciptaan bukan Islam yang telah gagal
dilaksanakan dan meraikan perkara yang salah dan sesat.
Selain itu, kefahaman yang tidak
sempurna sekadar membaca buku sahaja yang bersurat (Fiqh Al-Awraq),
tanpa mengkaji banyak yang tersirat dengan bertafaqquh fi Deen.
Adalah salah dari segi fiqh atau
pertimbangannya mengikut akal dan syara’, seperti dianggap zalim lagi
tiada rahmat apabila doktor pakar perubatan membuat keputusan memotong
kaki terhadap seorang pesakit kronik, tanpa mengambil kira keutamaan
diselamatkan jasadnya yang lain yang lebih besar dan banyak keutamaannya
(Fiqh Al-Aulawiyyat dan Fiqh Al-Ma’alaat).
Maka salah jika kalangan yang menganggap
hukum Allah untuk mencegah kemungkaran penjenayah adalah kemungkaran
terhadap nyawa, sedangkan moral yang merosakkan masyarakat lebih besar
dan lebih bahaya daripada penyakit seorang individu, seperti ancaman
terhadap nyawa, maruah, keamanan dan keselamatan negara.
Selain itu, pendekatan dan cara
mengharamkan anggota polis yang menembak penjenayah bersenjata bahaya
kerana kononnya berhujah berkonsepkan rahmat yang sesat sehingga
dibiarkan sahaja polis itu dibunuh (Fiqh Al-Ma’alaat). Adakah boleh
dibiarkan sahaja dengan menyalah gunakan konsep Rahmatan Lil ‘Alamin?
Begitulah juga bodoh kalau ada orang
yang membiarkan beras dan padinya dimakan ayam dan tikus atau ikannya
dimakan kucing, walaupun terpaksa keluarganya berlapar kerana hujah
Rahmatan Lil ‘Alamin.
Begitulah lebih sesatnya kalangan yang
meninggalkan kemungkaran yang tidak dicegah dan jenayah dibiarkan bebas
atau dihukum ringan dengan yang tidak setimpal, kerana kononnya
mengamalkan konsep Rahmatan Lil ‘Alamin terhadap penjenayah yang merosakkan keluarga dan masyarakat yang besar dari kalangan manusia.
Adakah dibolehkan perkara haram seperti
riba, menipu, rasuah dan salah laku tidak dihalang kerana merahmati
penyangak ekonomi negara?
Lebih malang juga apabila rahmat Allah
disalah gunakan di atas bumi yang melimpah ruah hasil kekayaan dan
tenaga manusia daripada rakyat, kerana beramalkan konsep pepatah Melayu
yang bijak:
Ayam di kepuk mati kelaparan,
Itik di air mati kehausan,
Kera di hutan disusukan,
Anak di riba dilemparkan.
Itik di air mati kehausan,
Kera di hutan disusukan,
Anak di riba dilemparkan.
Janganlah sehingga kita menerima gejala
kehilangan nilai manusia ala Barat yang dijadikan rujukan, apabila
menjadikan hak asasi binatang (animal rights) didahulukan daripada hak
asasi manusia (human rights), sehingga terkini adanya berita
daripada Barat yang dipandang sangat maju dan bertamadun. Orang yang
kaya raya mewasiatkan harta kepada anjing peliharaannya, kerana anak
sudah tidak peduli terhadap ibu bapa, begitu juga keluarga dan jiran
tetangga.
Rasulullah S.A.W. telah menghuraikan petunjuk Al-Quran, menyatakan adab hidup bermasyarakat yang membawa Rahmatan Lil ‘Aalamin
yang sebenarnya ialah melaksanakan tanggungjawab berkasih sayang pada
tempatnya, menyebarkan ilmu Islam, sehinggalah pendekatan hukuman yang
mendidik pesalah jenayah individu dalam masyarakat umum yang boleh
membawa keamanan yang merupakan rahmat daripada Allah kepada hamba-Nya.
Inilah di antara sebab Islam dikenali
dan diterima dengan mudah pada zaman awalnya apabila dilaksanakan dengan
sempurna. Maka fahamlah betapa Islam susah diterima pada zaman kini,
kerana rahmatnya tidak dirasai dan tidak disaksikan tanpa kuasa
pemerintahan Islam yang kuat dan berani melaksanakan petunjuk Allah.
Malangnya lagi pihak yang sepatutnya
mempunyai kekuatan kerana berkuasa memerintah negara, tidak diizinkan
menyebut jenama Islam secara jelas dan terbuka. Sepatutnya ditegaskan
jenama Islam yang asal, bukannya Islam yang disembunyikan oleh manusia
yang paling lemah imannya terhadap kemungkaran kerana penakut, berjiwa
lemah atau bebal di hadapan musuh Islam, lalu patuh kepada kehendak
bukan Islam atau terpengaruh kepada teori yang sesat dan menyesatkan.
Sabda Rasulullah S.A.W.:
من رأى منكم منكراً فليغيره بيده، فإن لم يستطع فبلسانه فإن لم يستطع فبقلبه وذلك أضعف الإيمان) رواه مسلم(.
“Sesiapa dari kalangan kamu
yang melihat perkara yang mungkar hendaklah mencegah dengan tangannya
(khususnya kerajaan yang memerintah). Maka jika tidak mampu cegah dengan
lidahnya (lisan dan tulisan). Maka jika tidak mampu bencilah dari
hatinya. Inilah selemah-lemah iman”. (Riwayat Muslim)
Maka yang lemah imannya tidak layak
memimpin. Hanya kalangan yang memerintah bersama Islam sebenarnya
membawa rahmat kepada seluruh alam.
Jangan ada pula dalam kalangan umat
Islam yang menjadi alat meruntuhkan Islam dan umatnya, laksana gunting
dalam lipatan atau laksana kapak yang boleh digunakan menebang pokok
apabila digunakan kayu sebagai hulu bersamanya.
Rasulullah S.A.W. telah memberi amaran
munculnya di kalangan umat Islam sendiri menjadi makhluk perosak Islam
yang menjadi tanda-tanda akhir zaman dengan sabdanya:
وهم من جلدتنا ويتكلمون بألسنتنا (رواه البخاري)
“Mereka daripada kalangan
kulit dan lidah kita (satu agama, satu bangsa dan satu bahasa) bersama
kita juga”. (Riwayat Al-Bukhari)
“Islam Memimpin”
ABDUL HADI AWANGPresiden PAS
Bertarikh: 17 Oktober 2018 / 7 Safar 1440





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.