Ketua Bersatu Machang desak Wan Fayhsal dipecat
Ketua Bersatu Bahagian Machang, Kamaruddin Ab Kadir menggesa Lembaga Disiplin Bersatu memecat Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal secara muktamad, sambil menyifatkan penggantungan selama satu penggal sebagai terlalu lunak dan tidak setimpal dengan “kerosakan” yang didakwa telah dilakukan terhadap parti.
Kamaruddin menegaskan Wan Ahmad Fayhsal “sudah tidak lagi layak berada dalam Bersatu mahupun Perikatan Nasional”, khususnya berikutan tindakan yang didakwa mencetuskan perpecahan di peringkat bahagian Machang.
“Tindakan menggantung beliau selama satu penggal adalah tidak memadai dan terlalu lunak berbanding kerosakan yang telah beliau lakukan terhadap parti, khususnya terhadap Bersatu Bahagian Machang,” katanya pada satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Kamaruddin juga menuntut supaya Wan Ahmad Fayhsal dikeluarkan serta-merta daripada senarai ahli parlimen Perikatan Nasional dan ditukar statusnya kepada ahli parlimen bebas.
“Individu yang terus menyerang parti, mencabar kepimpinan dan merosakkan struktur dalaman tidak boleh terus berlindung di sebalik nama dan logo Perikatan Nasional,” katanya.
Untuk rekod, ketika pemilihan parti pada 22 Feb 2025 Wan Ahmad Fayhsal gagal dalam usahanya merampas jawatan ketua bahagian Bersatu Machang daripada penyandang jawatan tersebut, Kamaruddin Ab Kadir.
Pada 14 Oktober tahun lalu, Wan Ahmad Fayhsal digantung keahlian Bersatu selama satu penggal manakala Wan Saiful Wan Jan pula dipecat daripada parti itu.
Mereka termasuk enam ahli Bersatu yang dikenakan tindakan oleh badan disiplin parti kerana melanggar peraturan yang ditetapkan parti terbabit.
Empat yang turut dikenakan tindakan dipecat ialah Mohd Azrudin Md Idris dari bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd Faizal Asmar (Pengerang), Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang).
Sementara itu, Kamaruddin turut mendakwa Wan Ahmad Fayhsal berulang kali tidak menghormati disiplin parti, mencabar keputusan kepimpinan serta mencetuskan kekeliruan dalam kalangan ahli.
“Wan Ahmad Fayhsal telah berulang kali menunjukkan sikap tidak menghormati disiplin parti, mencabar keputusan kepimpinan, serta mencetuskan kekeliruan dan perpecahan di peringkat bahagian,” katanya.
Lebih serius, Kamaruddin mendakwa Wan Ahmad Fayhsal membuat aduan terhadap pemilihan dan persidangan Bersatu Bahagian Machang menggunakan “SD palsu.”
"Satu perbuatan yang amat berat, berniat jahat dan jelas mencemarkan proses demokrasi dalaman parti," katanya.





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.