https://critoxium.com/shop/

Terkini

Amaran 'tempoh seminggu' isyarat budaya kerja seperti biasa berakhir


Oleh Prof Madya Dr Mohd Azhar Abd Hamid

"Cukup-cukuplah". Itulah mesej dihantar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pertemuan beliau bersama pimpinan agensi penguatkuasaan negara baru-baru ini.

Di tengah-tengah usaha memulihkan ekonomi, negara masih dibayangi 'barah' lama sukar sembuh iaitu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Kali ini, nada serius Perdana Menteri bukan lagi sekadar rayuan atau peringatan mesra. Beliau tegas meletakkan satu garisan merah jelas menuntut akauntabiliti terhadap pimpinan tertinggi agensi penguat kuasa membanteras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa hingga ke akar umbi.

Titik paling dramatik dalam pertemuan tersebut adalah menetapkan tempoh 'satu minggu' kepada ketua agensi penguatkuasaan melakukan pemutihan agensi masing-masing.

Pimpinan agensi kini tidak lagi boleh berlindung di sebalik kerenah birokrasi atau menyalahkan pegawai bawahan semata-mata. Jika rasuah, penyelewangan dan ketirisan masih berlaku secara terang-terangan, maka si nakhoda kapal harus dipersoalkan kredibilitinya.

Langkah drastik Perdana Menteri kali ini menandakan berakhirnya era yang kesalahan rasuah dan penyelewengan hanya dituding kepada pegawai bawahan semata-mata.

Paradigma baharu ini menegaskan kegagalan sistemik dalam sesebuah agensi adalah cerminan langsung kepada kegagalan nakhodanya menjalankan fungsi penyeliaan dan kawalan dalaman berterusan dengan tatakelola berdisiplin.

Apabila aktiviti penyeludupan di pintu sempadan berlaku secara terang-terangan dan berulang, ketua agensi tidak lagi boleh menggunakan alasan tidak tahu atau terlepas pandang.

Akauntabiliti ini menuntut pimpinan tertinggi bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kelemahan prosedur operasi standard (SOP) membolehkan 'laluan tikus' diwujudkan sindiket dan kartel.

Jika penyeludupan minyak bersubsidi atau barangan kawalan melepasi sempadan seolah-olah tanpa sekatan, maka pengarah atau ketua jabatan itu perlu menjawab mengapa rantaian arahan dan pengawasan mereka gagal berfungsi dengan efektif.

Pemimpin tidak boleh lagi sekadar menunggu laporan integriti di atas meja, sebaliknya harus terjun ke lapangan bagi memastikan integriti setiap rantaian tugas dilaksana dengan telus dan berintegriti.

Tempoh satu minggu ditetapkan Perdana Menteri kerana beliau tiada pilihan, sejak tiga tahun menerajui kerajaan, semua agensi penguatkuasaan terlalu perlahan bertindak dan melakukan perubahan.

Ketegasan ini mencerminkan fasa memberi nasihat dan amaran mesra berakhir. Jika pimpinan agensi tidak sanggup atau gagal melakukannya maka pilihannya adalah 'menyerah diri' dan digantikan dengan mereka yang lebih layak dan komited.

Dengan meletakkan garis masa sangat singkat, Perdana Menteri menegaskan isu rasuah dan salah guna kuasa bukan lagi masalah boleh dikompromi. Semua pihak perlu melihatnya sebagai krisis nasional memerlukan penyelesaian segera tanpa sebarang alasan.

Perjuangan membanteras rasuah dan penyelewengan ini perlu dilihat sebagai satu misi menyelamatkan hak rakyat dan negara. Pimpinan agensi harus sedar setiap liter minyak atau tan barang diseludup mewakili kegagalan mereka melindungi amanah negara.

Menutup lubang ketirisan ini bermakna mengembalikan semula hasil negara kepada pemilik asalnya iaitu rakyat Malaysia sendiri.

Turun padang laksana undang-undang

Bermakna, pimpinan agensi tidak boleh lagi sekadar duduk selesa di pejabat, sebaliknya perlu turun padang memastikan setiap inci sempadan negara dikawal dengan ketat tanpa sebarang ruang rundingan haram dengan sindiket dan kartel.

Perdana Menteri menetapkan standard baharu iaitu prestasi pimpinan diukur melalui keberhasilan membanteras rasuah dan penyelewengan.

Ini bukan lagi soal pangkat atau senioriti, tetapi kelayakan untuk memimpin. Ketua jabatan yang tidak mampu membersihkan agensinya daripada amalan rasuah dan penyelewengan harus berjiwa besar melepaskan jawatan sebelum tindakan lebih drastik diambil kerajaan.

Satu realiti pahit perlu didedahkan adalah kewujudan 'musuh dalam selimut' menjadi tali barut kepada kartel penyeludupan. Hubungan sulit ini melemahkan kedaulatan negara dari dalam dan menyebabkan segala strategi penguatkuasaan menjadi bocor sebelum sempat dilaksanakan.

Ketua Setiausaha Negara (KSN) kini memikul tanggungjawab sebagai 'jeneral' bagi memantau pematuhan arahan ini melalui Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR). Kerajaan sedang menghantar isyarat budaya 'business as usual' sudah berakhir. STAR kini memikul tanggungjawab berat untuk memastikan arahan ini bukan retorik dan tidak berakhir di atas kertas sahaja.

Mekanisme pemantauan ini penting bagi memastikan arahan Perdana menteri tidak hanya sekadar retorik politik, tetapi diterjemahkan kepada tindakan disiplin dan perubahan struktur konstruktif.

Salah satu cara paling efektif untuk menutup peluang rasuah adalah dengan mengurangkan interaksi manusia melalui pendigitalan sistem. Penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dalam pemantauan, sistem pengurusan kargo automatik dan pembayaran tanpa tunai boleh menghapuskan ruang 'tawar-menawar' antara pegawai dan pelanggan.

Imej agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sering tercalar akibat perbuatan segelintir 'nila setitik'.

Langkah drastik Perdana Menteri ini peluang terbaik bagi agensi ini membersihkan nama mereka dan mengembalikan semula kepercayaan rakyat.

Pertukaran pimpinan sahaja tidak mencukupi. Pembersihan dan pemutihan ini harus disusuli dengan reformasi prosedur kerja ketat dan berdisiplin.

Masa depan Malaysia bergantung kepada komitmen dan keberanian pimpinan tertinggi penguatkuasa untuk sama-sama memerangi rasuah dan penyelewengan sehingga ke akarnya.

Sama ada pimpinan agensi memilih untuk berubah dalam tempoh seminggu ini atau berundur demi kepentingan negara, rakyat sedang memerhati akauntabiliti mereka.

Penulis adalah Penyelidik Kumpulan Penyelidikan Kenegaraan & Kesejahteraan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.