PAS pimpin PN atau bentuk gabungan baharu lebih inklusif
Oleh Mohd Afifi Abdul Razak -
PENANGGUHAN mesyuarat kepemimpinan dan kelewatan berpanjangan dalam melantik Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu kini sudah berkembang menjadi krisis legitimasi dan persepsi, sekali gus menjejaskan keyakinan pengundi, terutama pengundi 'atas pagar' yang sebelum ini melihat gabungan sebagai alternatif kepada ketidakstabilan politik pasca-Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Dalam politik, masa ialah modal strategik. Setiap hari berlalu ketidaktentuan bukan sahaja melemahkan jentera parti, malah membuka ruang kepada naratif bahawa PN sedang terperangkap dalam konflik dalaman tidak berkesudahan, berlegar di sekitar tokoh lama dan perebutan kuasa, bukannya perbincangan dasar atau hala tuju negara.
Harganya tidak kecil. Ia dibayar melalui keletihan pengundi, keraguan rakan strategik serta kehilangan momentum nasional semakin sukar dipulihkan.
Lebih membimbangkan, krisis ini berlaku dalam keadaan seorang pemimpin yang meletakkan jawatan masih dilihat aktif mencorak dan mengawal keputusan strategik gabungan, sekali gus mencetuskan persoalan besar mengenai keikhlasan peralihan kuasa dalam PN.
Hakikat yang jarang diperkata secara terbuka ialah dorongan supaya PAS mengambil alih kepemimpinan PN bukan datang secara unilateral daripada PAS, tetapi berpunca daripada tekanan dalaman dalam BERSATU sendiri.
Pertembungan serius antara pimpinan BERSATU, sebahagiannya berpunca daripada gaya kepemimpinan dan keputusan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, membawa kepada pemecatan serta penyingkiran beberapa tokoh utama parti tersebut. Konflik dalaman ini bukan sahaja melemahkan BERSATU, malah menjejaskan kestabilan PN secara keseluruhan.
Dalam konteks inilah, cadangan agar PN 'diselamatkan' melalui kepemimpinan baharu lebih muda, segar dan kurang terbeban dengan konflik lama mula berlegar, termasuk cadangan agar PAS memimpin PN sebagai langkah penstabilan.
Maka, ironi besar apabila PAS dipotretkan sebagai punca masalah sedangkan realitinya parti itu sering dilihat sebagai pilihan terakhir untuk meredakan krisis dicetuskan kepemimpinan BERSATU sendiri.
Kuasa mutlak atau semak imbang
Percanggahan terbuka antara Muhyiddin dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendedahkan pertembungan dua falsafah kepemimpinan berbeza dalam PN.
Muhyiddin mendakwa adanya persetujuan mengenai pemansuhan jawatan Pengerusi PN dan perluasan kuasa Majlis Presiden sebagai badan pembuat keputusan tertinggi dalam menentukan dasar serta arah gabungan, selain penukaran Majlis Tertinggi menjadi Majlis Eksekutif. Majlis Presiden dikatakan akan dipengerusikan BERSATU, manakala Majlis Eksekutif akan dipimpin PAS.
Cadangan ini jika diperhalusi secara objektif, secara praktikalnya mengalihkan kuasa PN daripada tangan Majlis Tertinggi kepada tangan Majlis Presiden dipengerusikan BERSATU, sekali gus mengekalkan dominasi politik beliau secara tidak langsung.
Sebaliknya, Abdul Hadi menegaskan jawatan Pengerusi PN perlu dikekalkan seperti termaktub dalam Perlembagaan PN, manakala Majlis Presiden seharusnya berperanan sebagai badan pemantau dan penasihat sahaja. Pendekatan PAS ini jelas berasaskan prinsip semak dan imbang, bukannya pemusatan kuasa.
Lebih signifikan, tindakan Muhyiddin membatalkan Mesyuarat Majlis Tertinggi PN serta menjemput presiden parti ke pertemuan pramajlis di kediaman peribadinya, mengukuhkan persepsi beliau masih mahu mengetuai dan mengawal PN walaupun sudah melepaskan jawatan pengerusi.
Kegentingan ini memuncak apabila Mesyuarat Majlis Presiden PN di kediaman Muhyiddin, kelmarin hanya dihadiri tiga presiden parti komponen PN, iaitu Muhyiddin; Datuk Dominic Lau daripada GERAKAN dan P Punithan daripada Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
Ketiadaan Abdul Hadi pada mesyuarat sepenting ini memperlihat keretakan serius dalam kepemimpinan tertinggi PN secara terbuka serta kegagalan gabungan itu berfungsi sebagai satu entiti kolektif inklusif.
Ketidakseimbangan timbal balik dalam PN
Dalam sejarah pasca-PRU15, harus diakui PAS memberikan ruang amat besar kepada BERSATU dan Muhyiddin untuk memimpin PN, termasuk mencalonkan beliau sebagai Perdana Menteri daripada blok PN walaupun PAS memiliki jumlah kerusi Parlimen jauh lebih besar dan sokongan akar umbi Melayu lebih konsisten.
Namun, apabila tiba saat penstrukturan semula dan keperluan peralihan kepemimpinan lebih adil, isyarat diterima PAS seolah-olah tidak selari dengan semangat timbal balik yang selama ini diamalkan.
Keengganan memberikan kejelasan terhadap peranan kepemimpinan PAS, sama ada melalui pelantikan pengerusi daripada PAS atau mekanisme kuasa seimbang, mencetuskan rasa tidak puas hati semakin ketara, bukan sahaja di peringkat elit, bahkan akar umbi.
Bagi pengundi atas pagar, konflik ini tidak dibaca sebagai pertikaian individu. Ia dibaca sebagai tanda PN masih terperangkap dalam politik lama, iaitu politik tokoh dan kawalan peribadi, bukan politik institusi dan hala tuju negara.
Kelemahan pembangkang bukan sahaja merugikan PN malah memberi kesan langsung kepada kesihatan demokrasi negara.
Demokrasi sihat memerlukan pembangkang tersusun, berwibawa dan diyakini. Apabila PN gagal mempamerkan kejelasan kepemimpinan, negara kehilangan alternatif stabil, wacana dasar tenggelam dalam konflik dalaman dan ruang pembaikan tadbir urus semakin menyempit.
Bagi pengundi muda, profesional bandar dan kelas menengah, situasi ini mengukuhkan persepsi politik Malaysia masih gagal keluar daripada kitaran lama, menang pilihan raya tanpa kejelasan siapa benar-benar memimpin selepas itu.
Dalam realiti semasa, sekurang-kurangnya dua laluan politik semakin jelas.
Pertama, PN dikekalkan sebagai gabungan sedia ada, tetapi dengan ketetapan tegas dan jelas, iaitu Pengerusi PN datang daripada PAS, dipilih PAS dan tokoh berkenaan menjadi calon Perdana Menteri daripada PN. Laluan ini mengekalkan struktur PN sambil cuba memulihkan keyakinan melalui kejelasan kepemimpinan.
Namun, laluan kedua kelihatan semakin wajar ditimbang secara serius adalah untuk PAS keluar daripada PN dan membentuk gabungan politik baharu lebih seimbang dan inklusif.
Gabungan ini boleh dibina atas asas kepemimpinan PAS dominan dalam sokongan Melayu sambil membuka ruang kerjasama lebih luas dengan rakan politik benar-benar menghormati prinsip perkongsian kuasa, kepelbagaian etnik dan tadbir urus profesional.
Dalam senario ini, PN boleh diteruskan dengan diterajui BERSATU yang menyebelahi Muhyiddin, GERAKAN dan MIPP mengikut acuan mereka sendiri tanpa terus membebani PAS dengan konflik dalaman dan krisis kepemimpinan yang berpanjangan.
Bacaan politik lebih jujur Pengundi hari ini semakin matang dan sensitif terhadap kejelasan struktur, profesionalisme kepemimpinan dan keupayaan mentadbir negara majmuk. Dalam konteks ini, opsyen memberi PAS ruang paling luas untuk memimpin, menampilkan kepemimpinan baharu dan membina jambatan lebih tulen kepada pengundi bukan Melayu kelihatan semakin munasabah serta strategik. Persoalannya bukan lagi siapa paling berpengaruh dalam gabungan, tetapi siapa paling bersedia memimpin negara keluar daripada kemelut politik berpanjangan dengan struktur yang jelas, kuasa seimbang dan visi inklusif. Penulis adalah penganalisis politik tempatan





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.