https://critoxium.com/shop/

Terkini

Muhyiddin Tidak Berbohong


Oleh Marzuki Mohamad

Kem Hamzah Zainuddin sedang menuduh Tan Sri Muhyiddin kononnya berbohong mengenai pemansuhan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional.

Seorang Ketua Bahagian yang menyokong Hamzah menuduh Muhyiddin tidak jujur. Seorang ahli membuat aduan disiplin terhadap Muhyiddin. Kedua-dua ini dilaporkan secara meluas di media.

Ini adalah sebahagian daripada gerakan “Muhyiddin Exit” yang dikepalai oleh Hamzah.

Muhyiddin tidak berbohong.

Saya ada bersama dalam pertemuan antara Muhyiddin, Hadi Awang, Tuan Ibrahim dan Takiyuddin di rumah Muhyiddin pada malam 16 Januari 2026.

Turut hadir Azmin Ali dan Shahir, Ahli Parlimen Bachok.

Pertemuan pada malam tersebut diadakan untuk mencari jalan keluar kepada “deadlock” berhubung pelantikan Pengerusi PN yang baharu. PAS mahu menjadi Pengerusi PN tetapi ditentang oleh dua parti komponen yang lain, iaitu Gerakan dan MIPP.

Untuk rekod, pertemuan pada malam tersebut bukan atas jemputan Muhyiddin. Tetapi PAS yang mahu bertemu Muhyiddin.

Sebagai jalan keluar, pertemuan pada malam itu telah memutuskan untuk memperkasakan peranan Majlis Presiden PN yang diketuai oleh Muhyiddin dan menubuhkan Majlis Eksekutif PN yang diketuai oleh calon yang akan dinamakan oleh PAS.

Cadangan ini telah dipersetujui oleh Gerakan dan MIPP. Mereka melihat kedudukan Muhyiddin sebagai Pengerusi Majlis Presiden boleh mengimbangi imej Islam PAS yang lebih bersifat "hardline".

Maka selesailah kemelut yang sedang dihadapi oleh PN.

Perlembagaan PN akan dipinda untuk tujuan ini.

Kedua-dua majlis ini akan diketuai oleh seorang pengerusi. Bermakna, selepas perlembagaan PN dipinda, PN akan mempunyai Pengerusi Majlis Presiden dan Pengerusi Majlis Eksekutif.

Maka dengan sendirinya jawatan Pengerusi PN menjadi “redundant”. Nomenclature Pengerusi PN tidak ada lagi. Manakala kuasa Majlis Presiden dan Majlis Eksekutif akan diperincikan dalam Jawatankuasa Teknikal yang ditubuhkan untuk mencadangkan pindaan perlembagaan PN. Yang penting bukan ‘nomenclature’ Pengerusi PN. Tetapi bagaimanakah kuasa Pengerusi PN yang sedia ada dalam perlembagaan PN hendak diagihkan kepada Pengerusi Majlis Presiden dan Pengerusi Majlis Eksekutif. Jika PAS mahukah kuasa yang lebih, agihkanlah lebih kuasa kepada Pengerusi Majlis Eksekutif.

Selesai masalah.

Ini cara bekerja yang betul.

Bincangkanlah perkara ini semasak-masaknya dalam Jawatankuasa Teknikal mengikut proses yang telah dipersetujui dalam pertemuan pada malam 16 Januari.

Ini tidak. Jawatankuasa Teknikal tidak dipanggil bermesyuarat tetapi tiba-tiba keluar notis Mesyuarat Luar Biasa PN yang agendanya bertentangan dengan persetujuan yang telah dicapai oleh Presiden BERSATU dan PAS dan dipersetujui oleh Presiden GERAKAN dan MIPP.

Kalau hendak buat keputusan sendiri, bertindak sendiri, lebih baik tidak perlu berbincang.

Ini tindakan berniat jahat.

Lebih jahat, proses perbincangan belum tamat tetapi telah menghukum Muhyiddin berbohong hanya kerana sekeping surat yang diutus oleh Hadi.

Nampaknya ada orang yang sengaja "throw spanner" kepada persetujuan yang telah dicapai oleh Muhyiddin dan Hadi untuk kebaikan PN.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.