“Kenapa Usul Dua Penggal Senyap di Era PN, Tapi Riuh Bila PMX Hidupkan?”
Oleh Fathi Aris Omar
Menjelang PRU November 1999, PAS bersama DAP memasukkan idea tempoh had pentadbiran seseorang perdana menteri hanya dua penggal.
Idea itu ada dalam manifesto bersama empat parti Barisan Alternatif, termasuk Keadilan dan PRM. Lihat imej 2 dan 3.
Ketika DAP bergerak sendiri di luar Barisan Alternatif, PAS bersama PKR masukkan sekali lagi idea had perdana menteri hanya dua penggal dalam manifesto menjelang PRU 2004. Lihat imej 4.
Jadi apa masalahnya sekarang?
Selain menjadi perjuangan lama pembangkang, manifesto Pakatan Harapan yang dilancar pada 8 Mac 2018 letakkan janji mengehadkan tempoh pentadbiran perdana menteri selama dua penggal.
Lalu, setahun kemudian, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menghadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri kepada dua penggal dibentang kali pertama pada awal Disember.
(Usul tersebut seperti imej 5 dan 6 di bawah 👇)
Rancangannya, usul ini akan dibentang kali kedua pada sesi persidangan Mac 2020. Tetapi tiada sidang parlimen pada Mac. Semua mata tertumpu pada Langkah Sheraton dan Covid-19.
Ia ditangguh ke sesi persidangan pertengahan tahun, bermula 15 Mei, selama dua minggu. Tetapi sesi ini diadakan sehari sahaja, 18 Mei 2020.
Sesi berikutnya diadakan lebih panjang, selama 25 hari, antara 13 Julai hingga 27 Ogos.
Tiba-tiba pada 26 Ogos 2020, kerajaan PN yang didakwa menguasai negara melalui majoriti tipis menarik usul 2019 ini.
Apakah PN tidak yakin dapat majoriti dua pertiga?
(Perlu diingat, menjelang dan selepas PRN Sabah, BN berkrisis senyap-senyap dengan PN sehingga PN sendiri risau bajet 2021 boleh diluluskan.
Waktu ini usul darurat dibawa kali pertama tetapi ditolak YDP Agong dan Majlis Raja-Raja. Apabila kes makin meningkat, merebak selepas PRN Sabah, usul darurat kali kedua diterima dan dilaksana mulai 11 Januari 2021.)
Menteri di Jabatan Perdana Menteri DS Takiyuddin Hassan menarik balik RUU itu mengikut Peraturan Mesyuarat 62, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, selepas sesi soal jawab "Saya bangun untuk memohon mencadangkan bahawa menurut Peraturan Mesyuarat 62, saya mohon untuk menarik balik DR 42/2019 Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2019," katanya di hujung sidang Ogos 2020.
Namun apabila Umno menarik sokongan daripada TS Muhyiddin Yassin setahun kemudian, beliau tiba-tiba mengajak PH melaksanakan semula usul had kuasa perdana menteri selama dua penggal.
Bukan hanya pelawaan ini ditolak mentah-mentah, kepemimpinannya ditolak PH dan BN. Tawaran saat nyawa politiknya di hujung tanduk jelas tunjukkan PN dan Muhyiddin tidak ikhlas.** Penggantinya DS Ismail Sabri Yaakob mulakan persefahaman (CSA) dengan PH, maka usul ini dihidupkan kembali. Sebab itu muncul kenyataan pemimpin Umno seperti Ismail Sabri atau DS Nazri Aziz menyokong usul had dua penggal.
Ada beberapa usul diluluskan di Parlimen ketika persefahaman ini berjalan, antaranya:
- (pindaan Perlembagaan) larangan lompat parti,
- benarkan pengundi mulai 18 tahun,
- pendaftaran pemilih automatik, dan
- Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Tetapi pindaan untuk mengehadkan khidmat perdana menteri seperti usul pada 2019 ditangguhkan bagi kajian yang lebih menyeluruh setelah memorandum diterima pada 11 Mac 2022.
Jadi cadangan Anthony Loke di persidangan DAP semalam bukan perkara baharu yang diusul parti tersebut tetapi idea lama sejak 2018 dan 2019 lagi. Malah sangat lama, manifesto PRU 1999.
Untuk PRU 15 pada hujung 2022, idea hadkan kuasa perdana menteri selama dua penggal masih diteruskan dalam manifesto PH.
Seperti saya sebut semalam, idea ini muncul bersama dakwaan Dr Mahathir terlalu lama memerintah, selama 22 tahun sejak 1981.
Berlaku pemusatan kuasa dalam parti dan dalam negara sewaktu skandal demi skandal muncul, sewaktu krisis demi krisis memanas, sewaktu ruang demokrasi dianggap makin tertutup.
Episod 1980-an dan 1990-an, malah sebelum muncul krisis 1998 dan Gerakan Reformasi, jelas menunjukkan bahaya perdana menteri bolot kuasa.
Apabila datang krisis sebesar 1998, beliau dikecam sebagai "diktator". Lebih buruk, beliau digelar "mahazalim". Bukan kerana pecat DS Anwar Ibrahim sahaja tetapi kerana rekod pemusatan kuasa, termasuk mencengkam Umno, sejak 1980-an lagi.
Maka muncul lebih kerap idea bataskan kuasa PM kepada dua penggal. Di sinilah idea dua penggal.
Ia dimasukkan dalam manifesto bersama empat parti Barisan Alternatif (BA) pada 1999 dan kemudian manifesto BA (tanpa DAP) pada 2004. Idea ini sudah lama, sudah puluhan tahun. ***
Pada 5 Januari lalu, PMX meneruskan usul yang tergendala pada 2019, usul yang diperjuang PAS dan PKR sejak 1999 dan 2004 lagi.
Tetapi apabila usul ini muncul dari lidah PMX, maka pembangkang dan penyokong bodoh mereka bantah. Bukan idea tidak bagus tetapi sebab ia mahu diteruskan oleh perdana menteri hari ini.
Kalau Amanat Hadi dan fatwa Memali mereka sanggup lupakan dan sorok, kau ingat usul dua penggal ini mereka hendak sokong?
Mereka lebih rela nampak bodoh semata-mata benci idea baik yang datang dari PMX, padahal PAS, PKR dan DAP perjuangkan bersama demi negara.
** tawaran dibuat melalui siaran langsung pada 13 Ogos 2021. Tiga hari kemudian, apabila tiada sesiapa sambut, Muhyiddin letak jawatan setelah hilang majoriti apabila 15 wakil rakyat Umno tidak mahu lagi bersama kerajaannya.
Seminggu kemudian, 21 Ogos, Ismail Sabri angkat sumpah sebagai perdana menteri ketiga penggal 2018 hingga 2022.
*** manifesto 1999 dengan slogan Ke Arah Malaysia yang Adil (Oktober 1999) dan manifesto 2004 bertema Bersama Malaysia Baru: Kesejahteraan untuk Semua.








Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.