Tribut buat Pencegah Maksiat
Oleh ALANG IBN SHUKRIMUN
MUTAKHIR ini banyak
musibah berupa bencana melanda umat manusia seluruh dunia. Lalu topik
bala menjadi hangat diperkatakan, mengaitkan fenomena yang berlaku
adalah bala dari tuhan.
Dalam masa sama, polemik pencegahan
maksiat menjadi perbualan hangat di Malaysia ekoran kenyataan prejudis
seorang Pak Menteri. Akibat kenyataan yang berautoriti itu, iklim
politik dan agama Malaysia berkocak hebat.
Bagaikan dirancang, kedua isu hangat ini sebenarnya saling berkait. Bala' dan maksiat adalah dua perkara yang beriringan. Beberapa perkara yang perlu difahami berkenaan perkara ini adalah:
Bala' tidak semestinya kemurkaan Allah
Bahasa Arab disebut bala' بلاء dan ibtila' إبتلاء. Ia adalah perkataan umum dengan maksud ujian.
Tidak semestinya bala' menjadi perkara yang negatif dan memaksudkan kemurkaan dan hukuman tuhan. Bala'
juga boleh menjadi perkara positif seperti ujian bagi meningkatkan iman
manusia. Menurut hadis, para Nabi merupakan orang paling teruk menerima
bala':
أَيُّ النَّاسِ أَشَدُّ بَلاءً ؟ قَالَ : الأَنْبِيَاءُ , ثُمَّ الأَمْثَلُ فَالأَمْثَلُ
"Nabi ditanya manusia manakah paling teruk menerima bala'? Jawab baginda, para Nabi kemudian mereka yang mencontohi jalannya."
[HR Tirmizi]
Adakah para Nabi menerima bala' kerana dimurkai tuhan? Hasya Lillah. Tidak sekali! Bahkan bala'
itu adalah ujian bagi mengangkat darjat Nabi S.A.W. Justeru perkataan
bala harus difahami lebih teliti, jangan difahami mengikut konotasi
kefahaman Bahasa Melayu semata-mata terutama dalam memahami bahasa nas.
Bala bencana akibat manusia sendiri
Walaupun hukum alam boleh
menjustifikasikan fenoma bencana yang berlaku, tetapi orang beriman
wajib memahami bahawa semua bencana ini adalah akibat salah laku manusia
sendiri. Firman Allah S.W.T:
ظَهَرَ
الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ
لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
"Telah timbul berbagai
kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang
telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana
Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian dari balasan
perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka
kembali (insaf dan bertaubat)."
[ar-Rum: 41]
Jangan cari salah siapa, tapi fikir tuhan mahu ajar apa
Tidak dinafikan bala' juga
terjadi sebagai tanda murka Allah S.W.T. Ini banyak direkodkan dalam
al-Quran mengenai kisah kaum-kaum terdahulu. Bagaimana Allah
membinasakan kaum Sadum yang melakukan jenayah LGBT, membinasakan kaum
Thamud yang ingkar, membinasakan Firaun yang zalim dan sebagainya. Walau
bagaimanapun, Allah S.W.T tidak memberi garis panduan apakah bentuk bala' yang akan menimpa bagi setiap jenayah yang berbeza.
Justeru itu, sebaiknya kita tidak mudah membuat kesimpulan mengatakan bala'
itu ini berlaku disebabkan jenayah yang kamu lakukan. Apabila sudah
terjadi, bukan masanya lagi mencari salah orang. Tiada guna lagi
menyalahkan itu dan ini kerana bala' sudah terjadi. Adalah lebih baik untuk memikirkan apa perlu dibuat ketika bala' terjadi.
Apa yang sebetulnya dari memahami bala'
adalah mengajak orang ramai supaya lebih bertaqwa, meninggalkan maksiat
dan taatkan Allah. Itu adalah sikap yang lebih mudah dan bersifat
serampang dua mata; sekiranya bala' itu adalah hukuman tuhan,
maka taqwa adalah cara menghentikan kemurkaan Allah. Dan jika ia adalah
ujian mengangkat darjat, maka dengan menambah taqwa akan mengangkat
darjat.
Bala' kemurkaan tidak hanya menimpa pelaku mungkar
Perkara di atas adalah langkah mengubat.
Sebagai langkah pencegahan pula, kita seharusnya memastikan maksiat dan
kemungkaran tidak berlaku di dalam masyarakat. Kerana ia adalah punca
turunnya bala' kemurkaan.
Apabila bala' kemurkaan turun,
ia tidak hanya menimpa pelaku mungkar sahaja bahkan ia akan turut
mengenai orang lain yang tidak melakukannya. Ini dijelaskan melalui
firmanNya:
وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
"Dan jagalah diri kamu
daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja
akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus. Dan
ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya."
[al-Anfal: 25]
Orang soleh turut ditimpa bala murka
Nabi S.A.W ketika menceritkan mengenai
pecahnya tembok Yakjuj dan Makjuj dan kaitannya dengan kebinasaan kaum
Arab, Siti Aisyah bertanya apakah orang Arab akan binasa walaupun
terdapat orang soleh, jawab baginda:
نعم إذا كثر الخبث
"Ya, jika keburukan berleluasa."
Soleh adalah orang yang melakukan amal
yang mendatangkan kebaikan untuk diri mereka. Hadis di atas bermaksud,
sekadar melakukan kebaikan untuk diri sendiri seperti beribadat dan
menjaga halal haram individual, tidak mencukupi untuk menyelamatkan diri
dari kemurkaan tuhan.
Pencegah kemungkaran menahan bala' tuhan
Walau bagaimanapun, Allah turut menerangkan bahawa sesuatu bala'
kemurkaan tidak akan menimpa di dalam komuniti yang melakukan
kemungkaran, sekiranya terdapat pihak yang berusaha mencegahnya. Firman
Allah SWT:
وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ الْقُرَىٰ بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ
"Dan Tuhanmu tidak
sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman
yang berlaku, selagi ada penduduknya yang musleh (membaiki keadaan)."
[Hud: 117]
Selagi terdapat orang yang berusaha menghalang dan mencegah kemungkaran daripada terus berlangsung, maka itu menjadi asbab bala' Allah tidak turun. Jika tidak kerana mereka, sudah lama bala' murka membinasakan mereka. Pelaku maksiat ini sebenarnya terhutang budi dengan pencegah maksiat.
Kelebihan musleh berbanding soleh
Itulah kelebihan musleh berbanding soleh. Orang soleh hanya membawa kebaikan untuk diri mereka. Sebaliknya orang musleh membawa kebaikan untuk seluruh umat.
Orang musleh bukan sekadar
mengajak buat baik, tetapi mereka turut mencegah kemungkaran. Ajak buat
baik perkara senang, tetapi halang orang buat jahat itu susah. Tetapi
tugas nahi mungkar adalah lebih penting dari amat makruf. Mengikut satu kaedah fiqh:
درء المفاسد مقدم على جلب المصالح
"Menolak keburukan adalah lebih utama berbanding mendatangkan kebaikan"
Cegah mungkar tugas semua muslim
Ketahuilah tugas mencegah kemungkaran
adalah fardu ain kepada semua orang beriman, mengikut kemampuan
masing-masing. Ini bersandar sabda Rasulullah S.A.W:
مَنْ رَأَى
مِنْكُم مُنْكراً فَلْيغيِّرْهُ بِيَدهِ ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطعْ
فبِلِسَانِهِ ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبقَلبهِ وَذَلَكَ أَضْعَفُ
الإِيمانِ
"Barangsiapa yang melihat
kemungkaran maka dia perlu mencegah dengan tangannya. Jika tidak mampu
maka dengan lidahnya. Jika tidak mampu maka dengan hatinya, dan itulah
selemah-lemah iman."
[HR Muslim]
Kewajipan paling utama digalas oleh
pemerintah. Mereka bertanggungjawab menghalang kemungkaran berlaku
dengan kuasa yang dimiliki. Permit, peraturan dan penguatkuasaan perlu
diteliti supaya tidak memungkinkan maksiat daripada berlaku.
Di peringkat kedua pula adalah orang
awam normal. Walaupun mereka tidak memiliki kuasa, tetapi mereka juga
tetap wajib mencegah dengan bersuara menegur, melapor, membantah dan apa
jua ruang yang boleh digunakan selagi tidak melanggar undang-undang.
Kelebihan alam siber hari ini sepatutnya digunakan dalam mencegah
kemungkaran dengan pencerahan, kecaman, desakan dan mobilisasi massa.
Peringkat paling rendah adalah mereka yang dianggap abnormal
(cacat). Bagi mereka yang tidak mampu bersuara langsung walau sekecil
ruang, maka sekurang-kurangnya lahirkan kebencian di hati. Jangan
sekali-kali redha, jauh sekali tertarik dan tergoda dengannya. Jika
tidak, maka periksalah diri, apakah masih punya iman berbaki.
Terima kasih buat pejuang nahi mungkar
Kesimpulannya, dengan berbagai
kemungkaran yang berlaku di segenap ruang dunia hari ini, umat manusia
sebenarnya terhutang budi kepada golongan musleh. Kemungkaran ekonomi yang berpaksi sistem ribawi,
kemungkaran politik yang menafikan kekuasaan tuhan, kemungkaran
undang-undang yang membelakangkan nas, kemungkaran urus tadbir yang
penuh dengan korupsi, kemungkaran sosial sehingga menghalalkan LGBT,
seks bebas, dadah, arak, ikon lucah, hiburan tanpa batas dan sebagainya.
Sebutkan mana tempat yang tidak dilanda kemungkaran ini.
Berterima kasihlah dan hargailah
pencegah kemungkaran di sekeliling anda, walau apa jua kekurangan yang
mereka miliki. Mereka juga manusia yang sering terkhilaf, namun
janganlah dengan sedikit kesalahan mereka kita terus membentuk persepsi
negatif sehingga menjatuhkan mereka.
Mesej buat pejuang nahi mungkar
Kepada pejuang Islam yang menggalas peranan nahi mungkar
dalam berbagai ruang, teruskan kerja mulia kalian. Bersabarlah dengan
dugaan. Usah pedulikan celaan mereka yang mencela, usah risau mereka
yang cuba menjatuhkan kalian, kerana kalian adalah golongan Allah (hizbullah).
Asbab bala' Allah tertahan
adalah kerana sikap mencegah kemungkaran yang dilakukan secara realiti,
bukan sekadar retorik atas nama Menteri penjaga agama semata-mata, bukan
juga bergantung kepada nama Kerajaan Islam atau bukan, ataupun jemaah,
parti itu dan ini. Bukan kerana teori, tetapi kerana praktik.
Teruskan menentang mencegah kemungkaran
walau apapun ancaman yang diterima. Kerana tanpa kalian, dunia ini
mungkin sudah lama kiamat.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.