Tuntutan pendukung Islam Liberal digema
Oleh DR RIDUAN MOHD NOR
NORMALISASI dosa adalah
usaha terancang musuh Islam agar ummat Islam merasa remeh akan
perlakuan maksiat dan mungkar. Muncul ilmuan palsu ,bahkan pemimpin yang
membawa naratif baharu seputar dosa peribadi dan dosa awam. Penulis dan
rombongan pemuda pernah diingatkan oleh almarhum Ust Husein Umar di
awal milinea 2000…"awas kamu anak muda Malaysia, serangan Islam Liberal
akan menyergap kamu..kena hati-hati dengan gerakann licik mereka..."
ujar sosok terkenal Indonesia itu.
Beliau Ketua Umum Dewan Dakwah Islamiah
Indonesia, panjang pertemuan kami dengan beberapa lagi figura dakwah dan
gerakan Islam Indonesia. Kini semuanya telah kembali mengadap Tuhan,
A.M Fatwa, Dr Sumargono, Husein Umar dan lain-lain tokoh. Penulis
melihat fenomena yang menaufan Malaysia dan Inonesia ini tak jauh drp
ingatan Pak Husein Umar, ancaman Islam liberal atau neo muktazilah yang
sedang mencabar akal kita semua.
CIRI-CIRI FAHAMAN ISLAM LIBERAL
Mereka menganut Fahaman Pluralisme
Iaitu fahaman yang menyatakan bahawa
semua agama adalah sama yakni benar belaka. Orang Islam tidak boleh
meyakini bahawa hanya agama Islam sahaja yang benar. Sebaliknya mereka
hendaklah mengiktiraf agama lain juga benar dan betul. Urusetia Jaringan
Islam Liberal, Ulil Abshar Abdalla dalam Majalah Gatra (Indonesia)
keluaran 21 Disember 2002 menyatakan: “Semua agama sama. Semuanya menuju
jalan kebenaran”.
Dengan fahaman inilah, maka lahirnya
Ideologi Pancasila di Indonesia. Darinya juga, penganut Fahaman Islam
Liberal menyeru agar dibenar perkahwinan campur antara agama kerana
semua agama adalah benar dan betul dan perkahwinan sebegini sememangnya
telah diamalkan di Indonesia menunjukkan kejayaan besar golongan Islam
liberal di sana. Di Malaysia, penularan Fahaman pluralisme dapat dilihat
dalam kes-kes berikut:
a. Sambutan Kongsi-Raya iaitu menyambut
perayaan agama secara bersama-sama di antara agama-agama di Malaysia
(Islam, Hindu, Cina dan Kristian). Sekalipun telah ditegur oleh mufti
dan para ulama dalam Muzakarah Ulamak 2006 (13 Jun) di Perak sebagai
bertentangan dengan Islam, namun golongan Islam Liberal menolak
pandangan mufti dan ulama-ulama tersebut dan menuduh mereka jumud, kolot
atau berpemikiran tertutup; dan
b. Kerana terpengaruh dengan fahaman
pluralisme inilah maka beberapa Menteri Muslim dan sebuah NGO Muslim
(iaitu Sisters In Islam) telah turut menyokong penubuhan InterFaith
Council (IFC) atau Majlis atau Suruhanjaya Antara Agama-agama.
Suruhanjaya Antara Agama ini dicadangkan oleh MCCBCHS atau Majlis
Kristian Buddha Hindu dan Sikh Malaysia melalui memorandum yang telah
dihantar ke Majlis Peguam pada 21 Ogos 2001.
Mendesak agar diberikan hak kebebasan murtad untuk penganut Islam di Malaysia
Dalam isu murtad – seperti kes Lina Joy
(yang nama asalnya Azlina Jailani), golongan Islam Liberal di Malaysia
antara yang mendesak agar penganut Islam diberi hak untuk murtad dari
agama (Islam) tanpa sebarang tindakan undang-undang dan tanpa tertakluk
dengan keputusan Mahkamah Syariah.
Ayat-ayat al-Quran perlu ditafsir semula agar selari dengan peredaran zaman
Menurut golongan Islam Liberal, al-Quran
perlu ditafsir semula tanpa terikat dengan tafsiran ulama terdahulu.
Tafsiran Ulama terdahulu telah jauh ketinggalan dan tidak sesuai lagi
untuk zaman sekarang. Dalam mentafsir al-Quran tidak perlu terikat
dengan ilmu Asbabun-Nuzul, Nasikh wal Mansukh, tafsiran Rasulullah, para
Sahabat dan Ahli-ahli Tafsir terdahulu. Memadai menurut mereka tafsiran
itu menepati logik akal dan rasional.
“Semua umat Islam perlu kembali kepada
asas-asas Islam dengan menolak tafsiran klasik (lama) yang telah
ketinggalan zaman. Kepada umat Islam, kita menyeru supaya digerakkan
usaha-usaha membuat tafsiran al-Quran berdasarkan kaedah saintifik”.
(Kassim Ahmad, 12 Oktober 2000, News Straits Times)
(Kassim Ahmad, 12 Oktober 2000, News Straits Times)
Jelasnya, golongan Islam liberal
mengajak umat Islam kepada penafsiran ayat-ayat al-Quran berdasarkan
ilmu akal semata-mata. Kerana itu mereka awal-awal lagi telah menolak
Hadis Nabi yang bermaksud:
“Sesiapa yang mentafsir al-Quran dengan akal fikirannya semata-mata, maka sediakanlah tempat duduknya dari api neraka.”
Dengan mendakwa Hadis tersebut bercanggah dengan al-Quran yang menyeru manusia supaya berfikir, merenung dan menggunakan akal.
Mempertikai Syariat Allah dan hukum-hakam fiqh dengan hujah rasional
Pada pandangan mereka hukum Syariat
Islam adalah ciptaan ulama dan fuqaha. Oleh itu, mereka menganggap
Syariat Islam tidaklah suci secara sepenuhnya dan ia terdedah kepada
penilaian semula dan kritikan termasuklah Hukum-hakam Syariat yang
Qatie. Antara Hukum-hakam Syariat yang menurut pandangan mereka perlu
dinilai semula ialah:
a. Hukum Faraid yang tidak sama rata antara lelaki dan wanita;
b. Keharusan poligami bagi lelaki;
c. Kewajipan bertudung kepala ke atas wanita;
d. Hukuman bunuh ke atas orang murtad;
e. Hukum jenayah Hudud yang menurut mereka adalah pengaruh budaya Arab Jahiliyah;
f. Larangan wanita daripada menjadi pemimpin termasuklah dalam solat;
g. Hak mutlak suami untuk mencerai isteri;
h. Larangan perkahwinan antara orang Islam dan bukan Islam; dan
i. Undang-undang moral agama yang dikatakan melanggar hak asasi dan kebebasan manusia.
Demi menjayakan hasrat mereka itu maka
mereka menyeru kepada pembaharuan fiqh secara bebas tanpa perlu merujuk
kepada ulama dan disiplin ilmu Usul Fiqh. Golongan Islam Liberal menolak
autoriti Ulama dalam bidang agama. Mereka amat menekankan kebebasan
berpendapat bahawa sesiapa sahaja berhak bercakap tentang agama.
Menolak penguatkuasaan undang-undang moral agama
Golongan Islam Liberal menentang
penguatkuasaan undang-undang moral berteraskan agama kerana menurut
mereka undang-undang tersebut melanggar kebebasan dan hak asasi manusia.
Sebagai contohnya, tindakan Pihak
Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
(JAWI) suatu ketika dulu menahan para pengunjung Islam di Pusat-pusat
hiburan telah mendapat bantahan keras dari Sisters In Islam dan 50 NGO
yang lain.
Mereka telah mengemukakan memorandum
kepada pihak kerajaan supaya tidak menggunakan pendekatan undang-undang
untuk mengawasi akhlak rakyat kerana tindakan itu dianggap bercanggah
dengan hak asasi manusia.
Malah dalam satu kenyataannya SIS
meminta pihak kerajaan agar membubarkan semua undang-undang agama yang
menghalang rakyat daripada mengecapi hak asasi peribadi dan bersuara.
Malahan pertubuhan itu juga tidak
bersetuju dengan apa cara dan usaha menggunakan undang-undang untuk
memelihara iman seorang Muslim. Hal ini kerana persoalan yang berkaitan
dengan moral dan agama dianggap sebagai hak peribadi dan kebebasan
tersebut tidak seharusnya dikawal dengan menggunakan kuasa perundangan.
Pasca PRU14 ini akan menyaksikan banyak
tuntutan kelompok pendukung Islam Liberal dan pluralisme agama akan
digemakan. Riak-riak kepongahan mereka semakin menyerlah, kerana turut
merasakan mereka turut memberikan sumbangan kepada kemenangan PH
baru-baru ini.
Umat Islam mestilah mengambil cakna
perkembangan semasa yang berlaku, menularkan fahaman neo-Muktazilah yang
akan mengganggu kelestarian agama Islam dan penganutnya. Ahzab moden
sedang mengepung umat ini daripada segenap penjuru, dengan senjata
fitnah mereka.
Bangkitlah wahai umat!
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.