https://critoxium.com/shop/

Terkini

Wajar bina jambatan bengkok JB?

Oleh Mohd Hazmi Mohd Rusli

Pembinaan Jambatan Bengkok merentasi Selat Johor telah dibatalkan oleh kerajaan Malaysia pada 12 April 2006.

Setelah dua belas tahun projek ini terhenti, terdapat laporan yang menyatakan bahawa ianya akan dibangunkan semula baru-baru ini.

Dengan situasi negara yang dikatakan bergelumang dengan hutang, patutkah projek ini dihidupkan semula?

Tambak Johor


Singapura tidak lagi menjadi sebuah pulau yang sebenar-benarnya apabila Tambak Johor sepanjang lebih 1km menghubungkan Johor Bahru dan Singapura dibuka untuk trafik pada tahun 1927.

Pembinaannya merupakan sebuah keajaiban kejuruteraan pada ketika itu kerana buat pertama kali Singapura disatukan secara geografi dengan Tanah Melayu.

Pembinaan telah mematikan Selat Johor sebagai jalur pelayaran utama di Kepulauan Melayu pada ketika itu, lantas memberikan kelebihan kepada Singapura untuk membangunkan pelabuhan antarabangsa yang dirintis oleh kerajaan British sehinggalah kini.

Tambak Johor telah menutup sepenuhnya Selat Johor sebagai jalan maritim penghubung Timur dan Barat. Kapal-kapal yang belayar dari Pelabuhan Tanjung Pelepas di tenggara barat laut Johor terpaksa mengelilingi pulau Singapura untuk ke Pelabuhan Pasir Gudang yang terletak di sebalik tambak, sekaligus meningkatkan jangka masa pelayaran.

Selain itu, dengan peningkatan jumlah trafik keluar masuk dari Singapura dan Johor Bahru setiap tahun serta masalah pencemaran kerana menjadi perairan tergenang, tambak yang berusia 88 tahun ini tidak lagi dapat menyempurnakan tugasnya dengan sebaiknya dan harus digantikan dengan sebuah jambatan.

Projek jambatan bengkok

Saranan untuk menggantikan Tambak Johor dengan sebuah jambatan bengkok telah dicadangkan oleh Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamad sejak 5 Jun 1996 lagi.

Jambatan ini, sekiranya siap, bakal menjadi jambatan ikonik berbentuk ‘S’ yang mampu mengubah garis langit Bandaraya Johor Bahru untuk menjadi lebih unik, disamping mengurangkan kesesakan jalan raya serta membolehkan kapal kecil belayar di bawahnya.

Walaubagaimanapun, Singapura kekal dengan pendirian mereka untuk tidak menggantikan Tambak Johor.

Namun, pada April 2006, Perdana Menteri Malaysia yang keenam, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pembatalan projek tersebut dan akibatnya, sejumlah pampasan yang agak besar nilainya terpaksa dibayar oleh pihak kerajaan pada ketika itu.

Bina atau tidak?

Negeri Johor telah mengalami pembangunan yang memberangsangkan sejak Iskandar Malaysia diwujudkan pada tahun 2006. Daerah Johor Bahru, lokasi jambatan bengkok ini akan di bina, terletak di tengah-tengah Iskandar Malaysia.

Oleh itu, Malaysia sepatutnya mempertimbangkan bagi menghidupkan semula projek jambatan bengkok ini.

Projek ini boleh meningkatkan potensi Johor sebagai hab perkapalan bagi rantau ini, setanding Singapura.

Jambatan Bengkok yang bakal menggantikan Tambak Johor ini bakal membuka semula Selat Johor untuk tujuan pelayaran setelah ‘tertutup’ selama 88 tahun, menjadi nadi penghubung utama dua pelabuhan utama di Johor yakni Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Pasir Gudang.

Pembinaan Jambatan Bengkok menggantikan Tambak Johor ini juga dikatakan boleh membantu mengurangkan kesesakan trafik di pusat bandaraya Johor Bahru.

Jambatan Bengkok yang dicadangkan ini boleh mengurangkan pencemaran kerana membolehkan air laut yang bertakung di Selat Johor untuk mengalir secara bebas.

Namun, apakah benar ianya adalah suatu projek berkeutamaan tinggi yang mampu memberikan kemudahan kepada rakyat? Sekiranya benar Jambatan Bengkok ini mampu membuka semula Selat Johor untuk pelayaran, adakah ianya mampu untuk menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya di Bandaraya Johor Bahru?

Memandangkan hampir setiap hari rakyat dimaklumkan bahawa hutang negara telah mencapai trilion ringgit, kesesuaian untuk menghidupkan semula projek ini patut dikaji semula secara mendalam.
Kesesakan yang berlaku di Johor Bahru mungkin juga diakibatkan oleh sistem pengangkutan awam yang tidak dikembangkan dengan baik menyebabkan majoriti penduduk di bandaraya tersebut memilih untuk berkenderaan sendiri.

Oleh itu, projek pembinaan sistem transit yang sedang berjalan iaitu Sistem Transit Massa Johor Bahru-Singapura (RTS) sepanjang 4.2km menghubungkan Mandai di Singapura dan Bukit Chagar di Malaysia patut terus disokong, dipercepatkan serta tidak dibatalkan seperti projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura kerana banyak rakyat kedua-dua negara keluar masuk dari Woodlands.

Kesimpulan

Walaupun telah dibatalkan pada tahun 2006, projek jambatan bengkok yang dicadangkan ini wajar dipertimbangkan sekali lagi dan dihidupkan semula. Ia adalah sebuah projek berwawasan yang mampu menjana ekonomi selatan Johor.

Walau bagaimanapun, dua persoalan utama yang harus dijawab kerajaan Malaysia adalah, perlukah ianya dibina dalam keadaan kewangan negara yang dibelenggu hutang menggunung, dan adakah projek ini mampu memberikan kemudahan pengangkutan infrarakyat dalam mensejahterakan warga Malaysia?

* Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli ialah seorang profesor pelawat di Sekolah Undang-Undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Russia dan seorang pensyarah kanan di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.