Yuran UM naik, Menteri wajib bertanggungjawab
Oleh MUHAMMAD FAIZZUDDIN MOHD ZAI
KENAIKAN yuran
Universiti Malaya oleh pihak pentadbiran tanpa notis baru-baru ini
adalah tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab. Kenaikan sebanyak
RM50 bagi penuntut lama dan RM100 bagi penuntut sesi 18/19 adalah
merupakan beban baru kepada Mahasiswa UM untuk teruskan pelajaran mereka
di samping terpaksa untuk berhadapan dengan tekanan kos sara hidup yang
tinggi di Kuala lumpur.
Kami percaya kenaikan yuran ini adalah
berpunca daripada pemotongan dana oleh kerajaan kepada sektor Pendidikan
Negara dalam Bajet 2018 yang melibatkan beberapa Universiti Awam (UA)
termasuk UM.
Kami menyeru kepada Menteri Pendidikan
Malaysia, Dr Maszlee Malik agar bertindak secara proaktif dan memastikan
agar keputusan kenaikan harga yuran UM ini dapat dibatalkan dengan
kadar segera.
Kami mencadangkan agar pentadbiran
universiti UM fokus kepada usaha untuk menjana pendapatan universiti
melalui Sistem Wakaf Pendidikan atau sumber kewangan yang lain dan tidak
menjadikan mahasiswa sebagai sumber untuk menampung kos universiti.
Kami juga mengharapkan agar Menteri
Pendidikan Malaysia dapat melobi Perdana Menteri Malaysia untuk
memberikan dana yang lebih besar kepada UA dalam Bajet 2019 yang bakal
dibentangkan di dalam Parlimen dalam masa terdekat ini agar masalah
kenaikan harga yuran pengajian di universiti tidak berulang lagi selepas
daripada ini.
Sekian."Istiqamah Bersama Islam"
Presiden,
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) 2018.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.