https://critoxium.com/shop/

Terkini

Kenapa tidak keluar mengundi

Oleh

SEJAK 9 Mei lalu sehingga hari ini, peratusan keluar undi bagi empat pilihan raya kecil adalah kurang daripada 60%. Situasi ini menimbulkan tanda tanya yang cukup merisaukan jika trend ini tidak ditangani sebaiknya.

Peratusan keluar undi bagi Dun Sungai Kandis 50.31%, Dun Seri Setia 43%, Dun Balakong 44% dan Port Dickson 59.31%. Masing-masing dimenangi Pakatan Harapan. Tetapi bagi bilangan undi untuk kerjasama strategi Pas dan Umno meningkat serta tidak hilang wang deposit.

Penelitian ke atas empat PRK ini menunjukkan bahawa undi Cina dan India masih tidak berpihak kepada kerjasama strategik Umno dan Pas. Ini menunjukkan terdapat berbagai-bagai sebab kenapa undi bukan Melayu amat rendah dalam jumlah keluar mengundi.

Jika alasan kerana bekerja adalah kurang diterima kerana hari mengundi berlaku pada hari kerja dan hujung minggu atau hari Sabtu. Kedua-dua kejadian mengundi sama ada hari bekerja atau tidak tetap menunjukkan bilangan keluar undi adalah rendah.

Dalam satu kajian secara puratanya 60% pengundi Cina dan India keluar undi dalam PRK Port Dickson dan 90% undi adalah berpihak kepada PH. Bagi PRK Balakong 70% undi Cina dan India berpihak kepada PH berbanding di Sungai Kandis dan Seri Setia, 80% undi Cina dan India berpihak kepada PH; walaupun peratusan keluar undi adalah rendah.

MCA, MIC dan Gerakan perlu memikirkan satu blok parti yang bersifat komunal daripada bersifat etnik. Sudah tiba masanya MCA dan MIC perlu keluar dari BN untuk memikirkan kelangsungan politik masa depan kedua-dua parti. Andai kata MCA, MIC dan Gerakan mampu menubuhkan satu blok parti pembangkang untuk mewakili suara bukan Melayu, maka situasi politik di negara ini akan berubah.

Sistem dua parti masih boleh berlaku jika satu kerjasama strategik antara Umno dan Pas yang mempunyai pakatan dengan blok parti baharu terdiri daripada gabungan MCA, MIC dan Gerakan. Berlawanan adalah parti PH.

Bagi undi anak-anak muda juga peratusan keluar undi masih rendah walaupun berbagai-bagai kaedah digunakan untuk memudahkan mereka keluar undi. Terdapat beberapa sebab kenapa undi anak-anak muda masih rendah, antaranya pertama, mungkin mereka men­yangka PH tetap menang walaupun tanpa undi mereka. Kedua, berkemungkinan masih ada yang tidak puas hati dengan pencapaian dan janji manifesto PH.

Ini boleh berlaku kerana anak-anak muda yang paling ramai memilih PH dalam PRU14 yang lepas. Boleh dikatakan hampir separuh anak-anak muda tidak keluar mengundi dalam keempat-empat PRK. Ketiga, adakah ini satu protes senyap ke atas kerajaan PH.

Jika protes ini benar-benar ber­laku, maka SPR perlu mencari jawa­pan ke atas protes tersebut. Pe­milihan kepimpinan bukan satu kerja yang sia-sia kerana memakan kos yang besar dalam merealisasikan proses demokrasi. Pemimpin yang dipilih pula perlu menunjukkan ke­sungguhan dalam memperbaiki ke­­­hidupan dan keselesaan pen­gun­di-pengundi yang memilih mereka.

Apa yang menarik adalah terdapat sekelompok masyarakat yang langsung tidak keluar mengundi sama ada dalam PRU14 mahupun keempat-empat PRK ini. Kelompok masyarakat ini tidak menunjukkan minat dan tidak mahu tahu langsung apa yang berlaku dalam negara.

Kelompok masyarakat ini semakin membesar dan mampu mempengaruhi golongan anak-anak muda supaya tidak terlibat dengan mana-mana pilihan raya. Kelompok ini mewakili 10% hingga 15% daripada pengundi-pengundi yang berdaftar.

Berbagai-bagai alasan yang diberikan kadang kala kurang diterima secara logik. Ini disebabkan bagi kelompok ini sama ada PH mahupun BN atau mana-mana parti yang memerintah adalah sama. Malahan mana-mana parti yang memerintah tidak membawa apa-apa perubahan atau yang meng­untungkan rakyat marhaen.

Golongan ini lebih meng­utamakan kehidupan personal daripada pempolitikan yang berlaku. Tanggungjawab SPR dan Jabatan Penerangan Malaysia perlu menjejak golongan ini dan men­yedarkan akan tanggungjawab sebagai rakyat dalam memilih kepimpinan yang mewakili mereka dalam membuat keputusan kerajaan. Jika tidak ditangani, pera­tusan keluar mengundi pasti tidak akan melebihi 60%.

Terdapat juga golongan peran­tauan yang bekerja di luar kawasan. Ini menyebabkan tang­gungjawab untuk mengundi adalah sukar jika pro­ses undi tersebut hanya sehari dalam masa 10 jam. SPR perlu me­mikirkan golongan perantauan yang wu­jud dalam semua Dun dan Parlimen.

Selalunya golongan perantauan ini meliputi hampir 15% daripada jumlah bilangan pengundi yang berdaftar.

Bukan mudah untuk mereka pu­lang semata-mata untuk melak­sanakan tanggungjawab mengundi. Sekiranya mereka tinggal melebihi 100km jarak jauh dari kawasan mengundi maka adalah kurang mustahil untuk pulang dalam masa sehari sahaja.

Situasi ini sepatutnya diberikan kelonggaran jika me­libatkan penjawat-penjawat awam. Kepimpinan SPR baharu perlu memikirkan strategi sesuai bagi memperbaiki peratusan keluar undi.

* Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.