Bajet baharu, terbesar dalam sejarah
FIRMAN Allah yang
bermaksud: “Sesungguhnya Tuhanmu lah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa
yang dikehendaki-Nya, dan Dia juga yang menyempitkannya; Sesungguhnya
Dia Maha Mendalam pengetahuan-Nya, lagi Maha Melihat akan
hamba-hamba-Nya.” (Al-Isra’: 30)
Bajet terbesar
Bajet 2019 yang julung kali dibentangkan
oleh Pakatan Harapan merupakan bajet terbesar dalam sejarah, jauh
melebihi ‘bajet pilihan raya’ oleh Barisan Nasional bagi tahun 2018.
Sejumlah RM314 bilion diperuntukkan
untuk kerajaan berbelanja pada tahun hadapan, meningkat 12% berbanding
anggaran RM280 bilion bagi tahun 2018.
Daripada jumlah tersebut, RM259 bilion
akan dibelanjakan untuk tujuan mengurus, iaitu bagi membayar gaji dan
pencen, bayaran khidmat hutang, perbekalan dan subsidi kepada rakyat.
Manakala untuk tujuan pembangunan,
sejumlah RM55 bilion akan dibelanjakan ke dalam sektor ekonomi, sosial,
keselamatan dan pentadbiran, bagi membawa limpahan ekonomi yang lebih
besar kepada negara.
Untuk menampung perbelanjaan yang besar
ini, kerajaan mengunjurkan kutipan hasil berjumlah RM261 bilion pada
tahun 2018, disumbangkan oleh pungutan cukai langsung dan tidak
langsung, serta dividen khas Petronas berjumlah RM30 bilion yang akan
digunakan untuk melunaskan tunggakan bayaran balik cukai GST dan cukai
pendapatan berjumlah RM37 bilion.
Natijahnya, kerajaan dijangka akan menanggung defisit mencecah RM52 bilion pada tahun 2019, atau 3.4% kepada KDNK.
Penilaian makro
Di sebalik angka besar yang dimuatkan di dalam Bajet 2019, terdapat beberapa aspek makro ekonomi yang perlu diberikan perhatian.
Pertama, bajet RM314 bilion ini
merupakan rekod tertinggi perbelanjaan kerajaan sejak Malaysia mencapai
kemerdekaan, malah melebihi peruntukan ‘bajet pilihan raya’ oleh Barisan
Nasional yang digelar sebagai ‘ibu segala bajet’.
Kedua, kerajaan Pakatan Harapan masih
meneruskan tren perbelanjaan mengurus yang besar iaitu 82% daripada
keseluruhan bajet. Manakala perbelanjaan pembangunan mencatatkan nisbah
17% daripada keseluruhan bajet, suatu nisbah yang sama seperti Bajet
2018.
Ketiga, jumlah perbelanjaan mengurus
sudah menghampiri jumlah hasil kerajaan pada paras 99%. Ini bermakna,
setiap hasil yang dipungut kerajaan hanya cukup untuk menampung kos
pengurusan kerajaan, dan situasi ini adalah berisiko terhadap keupayaan
fiskal sekiranya terdapat kenaikan kos di luar jangkaan atau kutipan
cukai jauh lebih rendah daripada yang dianggarkan.
Sejauh mana Bajet 2019 ini mampu memacu
pertumbuhan ekonomi, menurunkan kadar inflasi dan mengurangkan kadar
pengangguran, masih terlalu samar untuk dinilai kesudahannya.
Komitmen tadbir urus
Bajet yang julung kali dibentangkan oleh
Pakatan Harapan ini dilihat berada di garis permulaan yang baik,
khususnya dalam aspek peningkatan tadbir urus yang selama ini menyumbang
kepada deficit berkembar dalam negara iaitu, defisit bajet (fiscal deficit) dan defisit kepercayaan (trust deficit).
Komitmen yang diberikan oleh kerajaan
dalam membasmi rasuah dan meningkatkan ketelusan dalam pentadbiran
adalah perkara asasi yang perlu dibudayakan, bermula daripada kehendak
politik (political will) yang ditunjukkan oleh pemimpin atasan.
Inilah rahsia kejayaan pentadbiran PAS
di Kelantan sejak tahun 1990 hingga sekarang, yang ditunjukkan dengan
ketinggian integriti oleh Menteri Besar, barisan Exco dan Adun, serta
jentera pentadbiran di peringkat pertengahan, walaupun berhadapan dengan
pelbagai halangan dan cabaran.
Usaha membasmi rasuah dan meningkatkan
integriti ini memerlukan komitmen dan kejujuran semua pihak. Ianya tidak
cukup dengan ungkapan retorik dan nada sinis ketika pembentangan bajet
di Parlimen, tetapi perlu diterjemahkan dalam aspek ketelusan oleh
mereka yang kini berkuasa untuk meluluskan dan mengagihkan tender besar
kerajaan.
Sejauh mana menteri baharu tidak akan mengulangi budaya menteri lama, hanya waktu yang akan menentukan.
SYAHIR SULAIMAN Pengarah Strategi DPPM
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.