https://critoxium.com/shop/

Terkini

Benarkah Ada Rombakan Kabinet?

Oleh Zaini Hassan

SEMASA kerajaan BN terdahulu, proses rombakan Kabinet adalah perkara biasa. Ia adalah satu proses adjustment bagi menentukan jemaah menteri itu sesuai dengan portfolionya; atau perlu ditukar, atau perlu dipindah, atau perlu diganti dengan yang baharu.

Sejak beberapa hari ini kedengaran desas-desus akan berlaku rombakan dalam Kabinet Tun Dr. Mahathir Mohamad. Pengalaman saya sebagai seorang wartawan mendapati desas-desus ini seringkali, akhirnya menjadi kenyataan. Entahlah jika dalam suasana kerajaan baharu ini khabar angin itu tidak akan menjadi.
 
Namun secara profesionalnya, adjustment itu perlu dilakukan bagi memantapkan kerajaan baharu bertaraf ‘infant atau bayi’ ini.

Apakah dengan kemasukan Rafidah Aziz misalnya, ataupun Tok Pa—anggota Kabinet berpengaruh dalam kerajaan dahulu, akan mengisi adjustment tersebut?

Rata-rata saya diberitahu oleh pelbagai lapisan masyarakat; mereka mempunyai harapan yang tinggi terhadap Rafidah misalnya, ataupun Tok Pa.

Kita jangan menganggap kemasukan bekas-bekas menteri lama itu sebagai satu ancaman, tetapi sebagai satu strategi untuk mengukuhkan kedudukan kerajaan.

Ada juga, cakap-cakap nakal, tapi mungkin ada kebenarannya, apabila mereka mengatakan kementerian-kementerian tertentu yang diterajui oleh menteri kurang pengalaman ini kini ‘dikuasai’ oleh pegawai-pegawai kerajaan khususnya KSU-KSU?

Semalam saya diberitahu ada enam orang Kabinet akan melalui proses adjustment ini? Benarkah? Saya pun tak tahu.

Ada juga yang berkata satu survey telah dilakukan terhadap keberkesanan anggota-anggota Kabinet ini dan kemungkinan enam orang itu berada dalam kedudukan terbawah.

Adalah tidak adil untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri menanggung bebanan yang dihadapi akibat kelemahan Jemaah Menterinya. Beliau juga dalam beberapa kenyataan menegur Kabinetnya yang dikatakan ‘tidak terlatih’ dan perlu disekolahkan.

Kita juga tidak boleh salahkan segelintir menteri-menteri lemah ini, yang masih beranggapan mereka masih dalam dunia pembangkang — sehingga membuat kenyataan rasmi Kabinet yang bukan-bukan; antaranya mengumumkan pembelian alat terbang drone untuk memeriksa sarang aedes! Mungkin juga ini yang dikatakan sebagai teknologi AI atau artificial intelligence?

Apabila saya mendengar kenyataan itu dalam TV, saya terkejut pun ada, kerana tidak dapat menahan kelucuan taraf itu. Itu tidak lagi masuk soal putih atau hitam berbanding dengan soal dasar yang lebih besar; atau membesar-besarkan soal sensitif seperti isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Sepatutnya soal-soal picisan ini hanya dikendalikan di peringkat KP sahaja dan bukannya oleh YB Menteri, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan isu sensitif seperti ICERD itu.

Saya juga diberitahu oleh kakitangan kerajaan sekarang yang ‘mereka pening’ kerana menteri-menteri mereka terlalu berkobar-kobar hinggakan semua kerja menjadi kelam-kabut.

“Presentation menteri saya seolah-olah seperti seorang pelajar universiti. Semua dia hendak buat, semua kita kena buat...” kata seorang pegawai di sebuah kementerian — sehinggakan kementerian itu mendapat jolokan kementerian budak sekolah!

Ada juga yang saya dengar kenyataan-kenyataan menteri yang melanggar sempadan kementerian-kementerian lain seolah-olah, beliau bukan menteri tetapi sebagai penganalisis seperti saya.

Oleh itu saya sebagai penganalisis dan pemantau dari luar merasakan perlulah YB Tun memikirkan secara serius rombakan ini.

Lagipun Tun, ini bukan perkara luar biasa. Tun telah melakukan banyak rombakan Kabinet sebelum ini.

Mungkinlah juga rombakan membabitkan pegawai-pegawai tinggi kerajaan akan berlaku terlebih dahulu, sebelum disusuli dengan jemaah Kabinet, pada awal tahun depan?

Bak kata pepatah pokok tidak akan bergoyang, kalau tiada anginnya. Mungkin cakap-cakap mengenai rombakan ini ada kebenarannya. Wallahua’lam.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.