Jawatan menteri, PKR tidak kemuka nama baru, kata Anwar
KUALA LUMPUR, — Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata beliau tidak dimaklumkan mengenai sebarang permintaan agar mengemukakan nama baharu daripada parti itu bagi tujuan rombakan kabinet.
Anwar yang memenangi jawatan presiden parti tanpa bertanding pada pemilihan PKR yang berakhir baru-baru ini, berkata setakat pemahamannya tiada apa yang berubah.
“Tiada seorang pun dalam PKR memaklumkan kepada saya tentang perubahan atau keperluan menyerahkan nama baharu. Setakat ini tiada perubahan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini.
Anwar yang juga Anggota Parlimen Port Dickson ditanya mengenai kemungkinan berlaku rombakan kabinet selepas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata beliau terbuka kepada cadangan rombakan kabinet dan tidak menolak kemungkinan melakukan perubahan jika PKR ada mencalonkan mana-mana nama.
Sebelum ini kedengaran desas-desus Dr Mahathir akan melakukan rombakan kabinet dalam masa terdekat berikutan kritikan terhadap prestasi beberapa menteri selain menepati percaturan politik susulan keputusan pemilihan PKR baru-baru ini.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dilaporkan berkata parti itu juga tidak menghantar sebarang nama bagi melaksanakan rombakan kabinet tersebut yang disifatkannya sebagai keputusan perdana menteri dan di luar bidang kuasa beliau selaku Menteri Kewangan. — Bernama
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.