Dera: Masyarakat harus lebih cakna
Oleh USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
DEWAN Muslimat PAS
Pusat (DMPP) merasa sangat hiba dan simpati dengan kes kematian bayi
berusia 11 bulan akibat didera di rumah pengasuh, Bandar Baru Bangi
beberapa hari lalu. Berdasarkan rekod sepanjang 6 bulan pertama tahun
2018, terdapat 199 kes penderaan melibatkan kanak-kanak dalam jagaan
pengasuh.
Pada bulan Julai yang lalu, dua kes
kematian kanak-kanak di rumah pengasuh. Seorang bayi meninggal dunia dan
dimasukkan ke dalam peti sejuk manakala seorang lagi lebam di anggota
badan dan retak di tempurung kepala akibat jatuh di rumah pengasuh.
Semua kes yang dipaparkan tidak pernah terbayang oleh akal yang waras.
Kes-kes yang berlaku menunjukkan sikap
segelintir manusia sudah tenat sehingga sanggup melakukan
perkara-perkara yang terkutuk terhadap bayi dan kanak-kanak yang masih
tidak mengerti apa-apa. Masyarakat pada hari seolah-olah sangat jauh
dengan cara hidup Islam. Tekanan hidup dan keperluan mendesak terhadap
wang sanggup hilang pertimbangan diri.
Berdasarkan kaedah, "mencegah lebih baik
daripada merawat", maka DMPP menggesa seluruh masyarakat agar sentiasa
cakna, prihatin terhadap perkembangan bayi dan kanak-kanak. Ibu bapa
yang menghantar anak-anak kepada pengasuh mesti sentiasa mengambil
langkah waspada, selidik dan pantau secara berkala keadaan mereka.
Sekiranya mana-mana individu yang
mendapati terdapat pengasuh yang melakukan penderaan berdasarkan
bukti-bukti yang relevan, segera menghubungi ibu bapa, pihak polis dan
pihak Kementerian untuk mengambil tindakan segera. Terima kasih kepada
pihak Kementerian yang menyediakan talian bebas tol 24 jam untuk
menangani isu ini.
NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.