https://critoxium.com/shop/

Terkini

Dr Maszlee Malik: Antara persepsi dan realiti

Oleh HAFIZUL FAIZ

Saya tidak pasti kenapa begitu berbeza sekali gegak gempita yang berlaku di dunia persepsi dan kenyataan yang berlaku di dunia realiti. Sehinggakan pada hari ini, ketika revolusi media sosial mula mencacak menenggelamkan media cetak; wujudnya apa yang dinamakan sebagai pengurusan persepsi atau fikah persepsi.

Sekiranya hari ini menteri keluar pagi balik lewat malam dan memuat naik gambar-gambar semasa program, yang menjadi persepsi tetaplah menteri tipu dan khianati janji. Ada video menteri yang saya tonton orang berkerumun mahu bersalam dan mengambil swafoto bersama. Namun di media sosial, menteri itu dimaki, dihentam dan digelakketawakan sesuka hati.

Dan antara menteri yang terpaksa berhadapan dengan musuh-musuh persepsi yang bagaikan syaitan dan iblis yang tidak wujud secara fizikal ini ialah Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.
Dalam masa tujuh bulan sahaja, perubahan yang dibuat dalam sistem pendidikan negara kita sebenarnya sangat radikal. Dahulu rakyat Malaysia tidak bersuara lantang tentang pendidikan.

Wujudlah beberapa kerat penulis dan kumpulan mahasiswa yang memperjuangkan isu-isu pendidikan namun suara mereka lambat menjadi perdana. Mereka cuma golongan minoriti yang menulis perkara-perkara yang orang tak kisah walaupun hakikatnya, orang kisah.

Apabila dua kementerian disatukan, dan disandang jawatannya oleh menteri yang masih baru dalam politik, kita tahu dan kita sedar sebagai manusia yang ada indera bahawa tugas ini tidak mudah. Dr Maszlee berhadapan dengan semua orang kerana pendidikan ialah concern semua pihak. Pemegang taruh yang beliau terpaksa tanggung boleh dikatakan seluruh rakyat Malaysia, ditambah lagi pemegang taruh tersebut apabila beliau mengumumkan pula kanak-kanak tanpa dokumen (secara prinsipnya bukan rakyat Malaysia) dibenarkan untuk mengikuti persekolahan bermula tahun hadapan.
Dan hari ini, semua orang bercakap tentang pendidikan. Ada yang baru bangun dari tidur selepas 60 tahun. Ada juga yang baru mula bincang tentang pendidikan dalam usrah-usrah kawasan mereka. Dan mereka cuma menuding jari kepada suatu wajah; Dr Maszlee Malik.

Presiden UIAM

Darihal yang paling diketepikan ketika perbincangan wajar atau tidak beliau menyandang jawatan sebagai presiden UIAM ini ialah pandangan ‘tuan rumah’ yang sering diketepikan. Ahli akademik, staf-staf adminisratif dan sokongan, juga pelajar sendiri; apakah mereka melihatnya sebagai political inteference? Atau melihatnya sebagai peluang dan ruang reformasi?

Apa yang paling aneh dan sangat lucu ialah apabila media melaporkan bahawa peletakan jawatan sebagai presiden UIAM ini ialah kerana tekanan daripada sekumpulan pelajar yang menjerit ketika menteri berada di sebelah mereka, dan hari ini saya sangat berterima kasih kepada sebahagian daripada mereka seperti Asheeq Ali telah pun menyertai jawatankuasa Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang dikelola sendiri oleh pihak kementerian.

Kecuali sebahagian yang lain yang hanya mahu berkokok di luar tetapi enggan ketika dipanggil. Tahulah kita setakat mana sahaja keinginan mereka terhadap perubahan; setakat berkokok di media sosial dan berharap dunia berubah mengikut citarasa mereka.

Yang pasti, kita semua sudah menghirup udara yang baharu. Menjerit di depan menteri tidak akan dikenakan tindakan undang-undang dan tidak akan dipanggil ke mahkamah universiti. Mereka hari ini masih belajar, masih menyiapkan tugasan, dan masih datang ke kelas dengan senang hati.

Saya suka untuk mengambil sudut pandang yang pada pandangan saya sangat menyeluruh, iaitu pandangan Prof Dr Tajuddin Rasdi dalam makalah beliau berjudul "In Maszlee’s exit, the ‘children’ win the day" yang diterbitkan di Free Malaysia Today pada 10 November lalu dengan mengatakan:
"Finding a professor who shows commitment to nation-building through public discourse is rare indeed. What was required was someone like Maszlee, who has swum deep in the ocean of controversy and public discourse, to implement a top-down approach to revolutionise the sleeping academia of Malaysia."

Selepas beberapa perenggan beliau menambah:

"I have said before that some “shock therapy” is needed to jump-start the universities in Malaysia. Now, a new president will be appointed at IIUM. The old politics of the vice-chancellor and the president in terms of territoriality will consume everyone’s time and the reform of universities in intellectual culture will be stalled."

Namun, Dr Maszlee bukanlah seperti yang digambarkan oleh sesetengah media bahawa beliau degil dan sombong. Pada 13 November yang lalu, beliau memilih untuk meletak jawatan segera dan berusaha untuk mencari pengganti yang sesuai.

Tidak kisahlah sesiapa sahaja yang mahu mengambil kredit dan mendabik dada seolah-olah menteri tunduk kepadanya. Yang pasti, dalam masa tiga bulan sahaja beliau menjadi presiden UIAM, beberapa perubahan yang sangat radikal telah beliau lakukan seperti (1) undang-undang yang menyekat kebebasan belajar akan dimansuhkan, (2) wakil mahasiswa akan ada dalam Senat, (3) Pilihan raya kampus diuruskan oleh pelajar sendiri, (4) UIAM mesti menjadi ruang intelektual terbuka, (5) pemilihan timbalan rektor dan dekan dibuat secara demokrasi iaitu dipilih oleh staf sendiri dan (6) dekan-dekan diberi autonomi untuk corak Petunjuk Prestasi (KPI) kuliyyah masing dan sekali gus membuang konsep "one-size-fit-all" KPI.

Dan kesemua perubahan ini sedang berlaku setuju atau tidak setuju kita terhadap tindakan beliau.

Persepsi

Realiti tidak menentukan persepsi. Walaupun tahun hadapan guru tidak perlu lagi melakukan kerja-kerja perkeranian, orang masih menganggap bahawa menteri ini tidak layak dan gagal menunaikan janji. Walaupun tahun hadapan peperiksaan tahap 1 yang melibatkan murid Tahun 1,2 dan 3 akan dimansuhkan, orang masih lagi sangka bahawa menteri ini menteri kasut hitam.

Atau mungkin ia bukan ‘orang’, cuma sekelompok akaun-akaun palsu yang diuruskan oleh mereka yang sedang sukar menerima realiti kekalahan selepas 60 tahun bermaharajalela.

Tidak dinafikan, komunikasi memang memainkan peranan yang penting. Media yang kini bebas tidak bertali (dan mereka tidak pula berterima kasih terhadap kerajaan semasa) buas dan boleh bertindak di luar duga. Sukar sekali mengagak apa pula kepala tajuk yang akan dikupas dan sudut yang akan dilaporkan. Saya faham betapa pentingnya media ini mencari rating yang tinggi, tetapi saya tidak faham bagaimana mereka juga hilang perikemanusiaan dan seperti kata menteri, mereka bertanggungjawab kepada apa yang mereka tuliskan.

Saya fikir, menteri tidak perlulah melayan persepsi yang mudah dicetuskan oleh tsunami akaun media sosial palsu yang sengaja menyerang. Anggap mereka hanyalah anjing yang menyalak kerana takdir 9 Mei begitu pahit dan sukar diterima. Mereka mahu kembali ke masa lalu dengan membenci masa kini. Dan mereka juga menghirup udara kebebasan yang sama kerana mereka tidak akan ditangkap dan di-ISA-kan atau di-SOSMA-kan. Biarlah mereka menyalak mencari tuan yang baru kerana tuan yang lama sudah tidak lama bebas dan merdeka.

Realiti

Ini perkara yang paling mustahak untuk dibincangkan. Sudah sekian lama masyarakat kita menjadi manusia lambak seperti yang disebutkan oleh Jose Ortega y Gasset dalam bukunya The Revolt of The Masses, iaitu manusia yang terputus daripada hubungan intelektual, dan hal ini terjadi kerana kegagalan cendekiawan berinteraksi dengan masyarakat.

Inilah yang menyebabkan masyarakat begitu mudah tertarik dengan isu-isu trivial berbanding perubahan-perubahan besar yang sedang dan akan berlaku. Daripada memberi idea, masyarakat dicampakkan ke dalam gelanggang gosip dan kontroversi yang tidak berkesudahan.

Inilah isu besar dalam pendidikan kita. Pendidikan kita tidak berjaya selama ini kerana kita tidak melihat pendidikan sebagai lapangan tempat masyarakat duduk. Kita menganggap pendidikan sebagai sebuah kelas empat segi dan sebuah dewan kuliah. Dan kita mengukurnya dengan peperiksaan seragam terhadap jutaan kepelbagaian potensi manusia.

Hala tuju pendidikan negara kita semuanya sudah sedia ada. Falsafah Pendidikan Negara, Dasar Pendidikan Kebangsaan, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dan ditambah lagi dengan hala tuju pendidikan era #malaysiabaru, semuanya cuma perlu diperbaiki dan disesuaikan dengan pendekatan semasa dan idea-idea reformasi segar yang baru.

Yang paling mustahak sekarang ialah budaya, ekosistem dan sistem itu sendiri. Dan inilah yang menjadi dasar yang paling utama oleh menteri; membina sistem nilai berteraskan kasih sayang, kegembiraan dan saling menghormati. Perubahan budaya ini sekiranya berjaya, ia bersifat kekal dan diwariskan daripada generasi ke generasi.

Realitinya, menteri sedang bergerak ke arah itu. Kita boleh menghambur pelbagai persepsi buruk, tapi perubahan tetap juga berjalan. Universiti awam bebas menentukan kebitaraan tanpa terikat dengan percaturan politik. Guru-guru boleh mengajar tanpa beban yang berat. Dan murid-murid tahap 1 boleh belajar tanpa tertekan dengan peperiksaan. Tak lupa juga kepada OKU, khususnya Murid Berkeperluan Khas yang menjadi perhatian khusus kepada pendidikan era ini seperti telah bermulanya proses screening dan pendekatan zero-reject policy yang diumumkan baru-baru ini.


HAFIZUL FAIZ ialah penulis buku Surat-surat dari Maninjau dan Yang Singgah dan Pergi.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.