Jangan nyalakan api perkauman
Oleh NASRUDIN HASSAN
ISLAM dan umatnya yang berpegang teguh dengan syariat pasti tidak akan menyerang rumah ibadat, meskipun rumah ibadat agama lain.
Malah Islam melarang penganutnya menghina sembahan pihak lain.
Firman Allah swt:
وَلَا
تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ
عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ
ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِم مَّرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُوا
يَعْمَلُونَ
Dan janganlah kamu cerca apa
yang mereka sembah selain dari Allah, kerana mereka kelak, akan
mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.
Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal
perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka,
lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. (Surah
Al An’am: 108)
Islam
bukan agama keganasan. Sebaliknya menentang sikap melampau, lalu
menganjurkan keharmonian, kesejahteraan, kedamaian dan keselamatan.
Namun kita sering berdepan dengan
propaganda yang mensasarkan Islam dan penganutnya agar terus tersangkar
dalam polemik Islamophobia dalam kalangan masyarakat awam.
Kemelut politik semasa juga mendorong
setengahnya berprasangka terhadap Islam tanpa memahami betul duduk
sesuatu isu dengan tepat dan benar.
Situasi begini juga mudah benar bagi musuh Islam mengambil kesempatan untuk menuding jari kepada Islam.
Ia menjadi jalan pintas pihak yang tidak bertanggungjawab melepaskan dendam mereka kepada ummat Islam.
Provokasi turut dilepaskan oleh golongan yang mahu menangguk di air yang keruh.
Melagakan umat Islam dan orang Melayu
dengan bangsa dan agama yang berbeda. Sementara mereka cepat sembunyi
diri setelah melontar batu.
Saya tidak boleh mengenepikan
kemungkinan bahawa terdapat usaha pihak tertentu untuk menjadikan
insiden rusuhan di USJ sebagai turning point bagi menghalang himpunan
aman rakyat membantah ICERD yang dijangka berlangsung pada 8 Disember
2018 akan datang.
Sedang Himpunan Bantah ICERD akan
dilangsungkan secara aman dalam sebuah negara yang mendukung demokrasi.
Inilah komitmen penganjur.
Biasanya pendukung rasis yang selalu
cuba mengangkat isu perkauman sebagai peluang melampias kepentingan puak
dan kemahuan politik mereka.
Lantaran itu, umat Islam hendaklah
senantiasa berwaspada. Jangan mudah diperalat dan terpengaruh dengan
propaganda dan sentimen yang menimbulkan hura-hara.
Berpolitiklah Untuk Bangunkan Tamadun Bukan Meruntuhkannya.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.