Sebagaimana belanjawan tahun-tahun sebelum ini, perbelanjaan mengurus kali ini lebih besar daripada perbelanjaan pembangunan, iaitu lebih 80 peratus.

Belanjawan 2019 dibentangkan ketika igauan ngeri bulan Oktober yang berlaku dalam pasaran saham global belum reda dan masih tidak menampakkan kemuraman ini akan berakhir.

Namun seperti beberapa belanjawan sebelum ini, belanjawan terkini memberikan penekanan terhadap kesejahteraan rakyat.

Demi meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat, kerajaan menumpukan strategi menjamin kebaji­kan dan kualiti hidup; mening­katkan peluang pekerjaan dan kebolehpasaran; meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan dan perlindungan kebajikan sosial; dan meningkatkan pendapatan boleh guna.

Meskipun rakyat pernah diberitahu bahawa mereka tidak boleh lagi mengharapkan pemberian wang percuma daripada kerajaan dan era BR1M telah berakhir, dalam Belanjawan 2019 kerajaan meneruskan dan menambah baik Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada B40 dengan memberikan bantuan secara lebih bersasar dan bergantung pada saiz isi rumah.

Isi rumah berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah akan menerima bantuan berjumlah RM1,000, isi rumah berpendapatan bulanan daripada RM2,001 kepada RM3,000 akan menerima bantuan berjumlah RM750, dan isi rumah berpendapatan bulanan daripada RM3,001 kepada RM4,000, akan menerima bantuan berjumlah RM500. Kerajaan memperkenalkan kadar tambahan BSH sebanyak RM120 untuk setiap anak berumur 18 tahun ke bawah terhad kepada empat orang, kecuali anak OKU yang tidak dihadkan umur.

Walau bagaimanapun, dengan anggaran 4.1 juta isi rumah akan terus menerima bantuan kewangan daripada kerajaan dengan peruntukan RM5 bilion, jauh lebih rendah daripada BR1M yang melibatkan tujuh juta orang penerima dengan peruntukan RM6.8 bilion, dengan kadar maksimum sehingga RM1,200.

Dalam strategi meningkatkan pendapatan boleh guna, belanjawan merujuk kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Khazanah, pada tahun 2016, yang menunjukkan isi rumah dengan pendapatan bulanan di bawah RM2,000 membelanjakan 95 peratus daripada pendapatan mereka untuk keperluan harian. Walau bagaimanapun, Belanjawan 2019, tidak menyatakan secara terperinci isu pendapatan B40.

Komitmen

Sebagai perbandingan, Belanjawan 2018 ada memetik Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Keperluan Asas 2016, bahawa pendapatan isi rumah B40, dari tempoh 2014 hingga 2016, meningkat daripada RM2,629 kepada RM3,000 sebulan dan agihan pendapatan dalam kalangan isi rumah Malaysia terus bertambah baik dengan penurunan Koefisien Gini daripada 0.441 pada tahun 2009, kepada 0.399 pada 2016.

Belanjawan 2019 juga menyatakan penyediaan perumahan untuk semua dan menggalakkan penggu­naan pengangkutan awam. Sehubungan dengan itu, kerajaan akan terus membina dan menyiapkan rumah mampu milik dengan peruntukan hampir RM1.5 bilion untuk Program Perumahan Rakyat, Perumahan Penjawat Awam Malaysia, PR1MA dan Syarikat Perumahan Nasional Bhd. demi memastikan bekalan rumah mencukupi.

Perlu dinyatakan bahawa rumah bagi rakyat, mempunyai “nilai gunaan,” manakala bagi pihak tertentu, rumah sebagai komoditi mempunyai “nilai pertukaran,” yang boleh menjadi bahan spekulasi.

Dijangkakan, enam juta pengguna jalan raya, terutamanya golongan B40, yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan, akan menikmati faedah subsidi bahan api, sekurang-kurangnya 30 sen seliter untuk petrol RON95 bagi kereta berenjin 1,500 c.c. dan motosikal 125 c.c. ke bawah.

Melalui peruntukan RM240 juta untuk memperkenalkan pas bulanan RM100 tanpa had perjalanan yang meliputi perkhidmatan rel dan bas RapidKL mulai 1 Januari 2019, dijangkakan pendapatan boleh guna isi rumah akan meningkat.

Sesungguhnya, kejayaan pelaksanaan belanjawan sulung oleh kerajaan PH ini amat bergantung pada sistem penyampaian cekap dan berkesan, yang memerlukan komitmen dan kebertanggungjawaban tinggi daripada pegawai kerajaan atau penjawat awam dan bergerak sebagai satu pasukan, seperti kata pepatah “gunung sama didaki – laut sama diselami,” dan “mengukur sama panjang, menimbang sama berat.”

Dalam memperjuangkan kesejahteraan rakyat, elok juga kita menghayati titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, baru-baru ini bahawa “rakyat mengimpikan agihan kekayaan yang lebih saksama, peluang pekerjaan lebih terjamin, taraf hidup lebih baik, tadbir urus lebih telus, dan pemimpin lebih amanah.”

Ibn Khaldun pernah berpesan tentang kebaikan sekiranya hasil cukai yang dipungut dikembalikan semula kepada semua rakyat.

Apabila pemerintah itu melimpahi pemberian dan wangnya kepada rakyatnya, maka wang itu akan teragih dalam kalangan mereka, dan akan kembali semula kepada pemerintah dan sekali lagi daripada pemerintah kepada mereka.

PENULIS ialah Penganalisis Politik serta Pensyarah Kanan, Universiti Putra Malaysia (UPM).