Ahli keluarga kuasai jawatan Kerajaan?
KEKECEWAAN dalam
kalangan ahli kariah masjid di negeri ini terhadap bayangan yang
menjurus kepada campur tangan politik sudah tidak dapat dibendung lagi.
Rata-rata sedang mempersoal 'lantikan politik' yang dilihat sedang
dicatur ke institusi umat Islam itu.
Hakikat ini sukar dinafikan, tetapi
berkembang menjadi persepsi lantaran pihak bertanggungjawab hingga kini
gagal memberi penjelasan atau menanganinya. Paling menjadi buah mulut
apabila senarai nama dipaparkan menunjukkan individu-individu dari parti
politik sama.
Pengaruh politik terutama melalui Majlis
Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) juga dimaklumkan bertindak
'mencengkam' hingga cuba menentukan pelantikan Jawatankuasa Masjid.
Sikap 'gila kuasa' pihak terbabit telah menimbulkan ketidakharmonian dan
membibitkan perpecahan dalam masyarakat akar umbi.
'Wacana' rakyat semakin panas berikutan
lantikan juga dibuat melibatkan individu yang mempunyai ikatan atau
hubungan kekeluargaan. Antara paling ketara, Ketua Wanita PAN Melaka,
Datin Mahani Othman Basir dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Pusat
Zakat Melaka (PZM).
Walhal, beliau adalah isteri kepada Exco
Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Sofi Abdul Wahab yang juga Timbalan
Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM). Keadaan itu mendedahkan
kepada kewujudan konflik kepentingan amat berat yang boleh mempengaruhi
integriti dan peranan.
Ini kerana PZM adalah antara agensi yang
berada di bawah MAIM itu sendiri. Apakah pimpinan Ketua Menteri, Adly
Zahari sedia berhadapan kecurigaan dan kemungkinan berkaitan salah guna
kuasa, penyelewengan dan pelbagai skandal yang berisiko terjadi?
Adly tidak harus meletakkan
pentadbirannya pada situasi perangkap atau jerat sendiri. Kerajaan tidak
harus menjadi seperti 'kabinet dapur' atau berurusan 'dalam selimut'
yang pasti berlaku kepincangan. Budaya kronisme dan nepotisme mesti
dikuburkan agar tidak wujud lagi.
"Terus Mara"
USTAZ HJ AHMAD BILAL RAHUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Melak




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.