Bersiap berdepan limpahan maklumat
Oleh
FRASA information
overload pertama kali digunakan pada tahun 1964 oleh saintis sosial,
Profesor Bertam Gross dalam bukunya, The Managing of Organizations.
Bertam yang meninggal dunia pada 1997 adalah
bekas profesor sains politik di Hunter College. Kemudian information
overload dipopularkan oleh Alvin Toffler dalam buku terlarisnya, Future
Shock (1970).
Tentunya definisi information overload dalam konteks buku Bertam tidak sama dengan era digital ketika ini.
Information
overload atau limpahan maklumat kini menjadi satu masalah besar dan
menuntut kaedah pengurusan, kefahaman dan disiplin yang tinggi untuk
menangani fenomena yang datang era digital masa ini.
Ini sebenarnya antara virus yang perlu ditangani dengan bijaksana apabila kita melangkah ke era baru globalisasi.
Ini
kerana globalisasi itu sendiri dunia tanpa sempadan apabila manusia di
seluruh dunia berhubung antara satu dengan lain di jaringan Internet.
Ini pemangkin bertambahnya laman sesawang yang menjadi punca penyebaran
maklumat.
Gelombang maklumat ini mencipta
satu rupa kehidupan sosial yang baharu, dunia seolah-olah menjadi
sempit dan maklumat bergumpalan bagai awam hitam mencari sasaran.
Keterujaan
dengan teknologi tanpa kesedaran sosial yang tinggi adalah perangkap.
Teknologi juga ada buruknya kalau tidak ‘dimanusiakan’ oleh manusia.
Teknologi yang digunakan tanpa perhitungan manusia membuka ruang pada maklumat yang tidak tepat atau sama sekali tidak benar.
Maklumat memang diperlukan kerana dengan maklumat kita boleh menakluki dunia.
Malah
dunia menjadi semakin kecil dengan teknologi tercanggih apabila aliran
maklumat mencatatkan kepantasan yang tidak pernah terbayangkan oleh akal
sebelum ini.
Misalnya peristiwa yang berlaku di New York saat ini akan sampai ke tangan kita pada masa itu juga.
Profesor
sosiologi di Universiti Kent, United Kingdom, Frank Furedi menganggap
limpahan maklumat sebagai banjir yang boleh menenggelamkan kita dalam
gelombang data.
Ini kerana limpahan maklumat mewujudkan jurang antara maklumat difahami yang menuntut kita berfikir untuk memahaminya.
Disebabkan
terlalu banyak maklumat yang sampai kepada kita menerusi perkakas
elektronik terutama telefon bimbit, kegagalan mengurus dan menyaring
dengan mudah menjerumuskan kita dalam bahaya limpahan maklumat yang
digambarkan sebagai banjir oleh Frank Fureli.
Analoginya mudah, kita perlukan air dan bukan banjir.
Terjerat dengan limpahan maklumat akan membuatkan kita kembali tidak bermaklumat.
Ini
disebabkan kegagalan untuk memetik dan menyaring maklumat yang
diperlukan dan mengabaikan maklumat yang datang dari sumber yang tiada
wibawa.
Media sosial seperti Facebook, Twitter, e-mel dan Instagram menjadi pelantar membawa sekian banyak maklumat kepada kita.
Tanpa
disiplin yang kuat dan pengetahuan tentang limpahan maklumat, kita
pasti menjadi mangsa limpahan maklumat sosial atau social information
overload.
Dalam satu kaji selidik yang
dibuat McKinsey Global Institute pada 2017 mendapati 28% daripada masa
bekerja dihabiskan untuk menyemak e-mel.
Bayangkan apabila kegagalan menguruskan maklumat ini berlaku secara berterusan?
Daripada
sisi lain, kegagalan menguruskan limpahan maklumat dengan baik akan
menjejaskan ketepatan dan kepantasan dalam membuat sesuatu keputusan.
Dalam
kata lain fenomena ini membuatkan kita lemah dalam membuat sebarang
keputusan kerana pengaruh dan kebergantungan pada maklumat
berbagai-bagai.
Maka kita perlu mula
bertindak berdepan dengan fenomena limpahan maklumat ini. Pertama,
menyaring dengan mengenal pasti sumber maklumat berkenaan. Kalau tidak
berwibawa, abaikan.
Kedua, hadkan
maklumat yang masuk ke perkakas peribadi seperti telefon bimbit. Ketiga,
buktikan kita yang kawal maklumat. Bukan sebaliknya. Percayalah, di
luar sana berduyun-duyun manipulator, konspirator yang sedang mencari
mangsanya.




Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.