https://critoxium.com/shop/

Terkini

Ganjaran besar sedekah makanan kepada mahasiswa

Oleh Mohd Aizat Shamsuddin

BERSEDEKAH bukan sekadar memberi wang kepada mereka yang memerlukan, sebaliknya konsep sedekah dalam Islam luas selagi membawa kebaikan sama ada dalam bentuk kerohanian mahupun fizikal

Malah dalam Islam sendiri, antara yang dianjurkan adalah dengan memberi sedekah dalam bentuk makanan kepada golongan yang memerlukan.

Daripada Abdullah ibnu Amru RA, bahawasanya seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: “Apakah amalan terbaik dalam Islam?” Baginda bersabda: “Memberi makan dan memberi salam kepada orang engkau kenal serta orang yang engkau tidak kenali.” (HR Bukhari dan Muslim)


Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang, Dr Mohd Hapiz Mahaiyadin, berkata pemberian infak, sedekah dan zakat dalam apa juga bentuk sama ada makanan atau wang tunai akan mendapat manfaat dan kebaikannya daripada Allah SWT.

“Makanan menjadi keperluan utama dan segera bagi orang fakir untuk meneruskan kehidupan walaupun ia boleh dianggap bahan sedia ada bagi orang kaya.

“Malah yang diutamakan oleh Rasulullah SAW ialah bantuan yang selari dengan keadaan agar maslahah dan keperluan dapat diselesaikan dengan cepat.

“Namun keberkatan itu bukan saja pada makanannya, bahkan pada pemberi itu sendiri kerana semua bantuan mempunyai nilai ganjaran yang sama di sisi Allah SWT apabila disalurkan mengikut maslahah golongan yang memerlukan,” katanya kepada Ibrah di sini.

BH melalui laporan eksklusifnya sejak Ahad lalu, mendedahkan ramai mahasiswa di Universiti Malaya (UM) terpaksa mengikat perut dan menahan lapar disebabkan kekangan kewangan.

Kesempitan hidup itu dialami pelajar daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) itu yang terpaksa berjimat-cermat demi meneruskan pengajian masing-masing.

Justeru, ia menyentuh pelbagai pihak yang tampil dalam menangani masalah yang dihadapi golongan mahasiswa itu antaranya dengan menyediakan makanan kepada pelajar terbabit.

Mohd Hapiz berkata, dalam situasi itu, pihak yang bertanggungjawab dalam agihan zakat boleh memainkan peranan dengan mengagihkannya kepada pelajar yang tergolong sebagai asnaf.

Berkongsi pengalamannya, Mohd Hapiz berkata, UiTM mempunyai unit zakat yang mendapat dana daripada sebahagian zakat dibayar kakitangan dan kemudiannya akan diagihkan kembali kepada pelajar yang memohon.

“Wang zakat ini tidak boleh diagihkan secara sebarangan sebaliknya perlu melihat dulu kepada kelayakan seseorang pelajar sama ada layak atau tidak untuk menerima zakat.

“Jadi menerusi wang zakat diterima itu, ia bukan saja boleh digunakan untuk makanan, bahkan perbelanjaan dan keperluan lain untuk tujuan pembelajaran.

“Malah melalui wang zakat yang diperoleh itu, ia boleh diagihkan dengan menaja makanan di masjid universiti untuk pelajar berpuasa seperti puasa Isnin dan Khamis, sekali gus memberi faedah atau manfaat lebih meluas,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Hapiz menyarankan warga universiti terutama pensyarah dan kakitangan fakulti juga memainkan peranan dengan mengambil inisiatif dalam membantu mahasiswa yang terpaksa mengikat perut kerana kekangan kewangan.

Katanya, mereka boleh menginfakkan sedikit wang atau kutipan dana dilakukan seterusnya digunakan untuk menyediakan makanan sebagai contoh untuk sarapan pagi di fakulti masing-masing.
Mohd Hapiz berkata, perkara itu sudah banyak dipraktikkan oleh kebanyakan universiti tempatan di negara ini.

Selain itu, Mohd Hapiz berkata, perkara itu juga dilihat dalam sudut pelajar yang kadang-kala silap menguruskan kewangan hingga wang daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ataupun mana-mana biasiswa pelajaran tidak mampu bertahan sehingga tamat semester pengajian.

“Perkara ini perlu diambil perhatian oleh pihak universiti dengan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai pengurusan kewangan kerana ada pelajar membuat perbelanjaan tidak sepatutnya berbanding wang digunakan untuk proses pengajaran dan pembelajaran di universiti.

“Golongan mahasiswa perlu berfikiran positif dan mengambil iktibar serta teladan ulama silam seperti Ibnu Hajar al-Haithami ketika belajar di Universiti al-Azhar selama 10 tahun tidak pernah makan daging kerana merasakannya mahal dan luar kemampuannya.

“Jadi mahasiswa kita juga perlu melihat keperluan lebih penting ketika berada di alam universiti berbanding memenuhi gaya hidup sendiri,” katanya.

Ditanya mengenai sikap sesetengah umat Islam yang kaya dan lebih banyak menunaikan haji serta umrah tetapi kurang bersedekah, Mohd Hafiz berkata, ia dibangkitkan ulama terkemuka, Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi melalui fiqh aulawiyat atau fiqh keutamaan.

Katanya, hukum perjalanan haji dan umrah pertama ialah wajib tetapi ibadat seterusnya hanya akan mendapat pahala sunat.

“Umat Islam sepatutnya perlu lebih mengambil berat terhadap nasib saudara Islam sendiri dan jiran yang mungkin dalam kesusahan. Tidak sepatutnya menunaikan umrah berkali-kali tetapi jiran sendiri tidak mampu untuk makan.

“Ini kerana perjalanan umrah dan haji seterusnya hanya akan mendapat pahala sunat. Sepatutnya wang digunakan untuk mengerjakan umrah boleh digunakan untuk membantu dalam menghapuskan kemiskinan dan menangani isu domestik,” katanya.

Beliau berkata, mengenai sikap sesetengah individu yang bersedekah dan mengharapkan orang menerimanya untuk mendoakannya, Mohd Hapiz, berkata meskipun tiada hadis khusus menerangkannya, ia tidak salah untuk dilakukan.

“Manusia yang diuji kesusahan oleh Allah SWT ialah orang yang berada di bawah kasih sayang dan rahmat-Nya. Jadi melalui kedudukannya itu, sekiranya dia berdoa, Tuhan akan memakbulkan doa itu.
“Maka, tidak jadi kesalahan kita mengharapkan doa orang dibantu apatah lagi mereka adalah insan soleh dan warak yang Allah SWT mendengar rintihannya,” katanya.

Sementara itu, pendakwah, Ahmad Fauwaz Fadzil, berkata sebagai orang yang dibantu, mereka perlu menanamkan rasa bersyukur dalam diri mereka di atas sedekah diterima.

Ahmad Fauwaz mengingatkan soal adab yang perlu diikuti apabila menerima bantuan, iaitu mengambil secukupnya dan tidak sampai menjejaskan hak orang lain.

Dalam konteks mahasiswa universiti, Ahmad Fauwaz berkata, melalui bantuan diterima, ia diharap dapat menjadi pemangkin untuk mereka belajar dengan lebih cemerlang.

“Sebagai orang beriman mereka perlu bersyukur kerana dibantu namun jangan terlalu mengharapkan bantuan sebaliknya setiap masalah dihadapi perlu atas inisiatif sendiri untuk menyelesaikannya.

“Malah dalam kehidupan di alam universiti ini, mereka tidak boleh terlalu hidup dalam kesenangan atau terus dibiarkan dalam kesusahan sebaliknya bersederhana kerana kehidupan di alam seterusnya seperti alam pekerjaan lebih mencabar,” katanya.

Beliau berkata, melalui bantuan diterima, tidak salah untuk kita mendoakan mereka yang memberi infak dan sedekah untuk mendapat keberkatan di atas bantuan diberikan.

“Wajib untuk kita mendoakan kesejahteraan kepada mereka yang banyak membantu dengan harapan Allah SWT memperluaskan rezeki mereka dan seterusnya istiqamah dalam meneruskan perkara amal ini.

“Sebagai pelajar, mereka perlu melipatgandakan usaha dalam pengajian supaya mendapat kecemerlangan, sekali gus menjadikan individu yang membantu berasa senang dan berbaloi dengan bantuan yang diberikan,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.