Khalil tidak pertahan Ketua Pemuda PAS
MASA sudah semakin
hampir ke Muktamar PAS. Sekarang ini Dewan Pemuda di setiap kawasan
sedang melangsungkan mesyuarat diikuti pula dengan negeri-negeri sebelum
sampai ke Muktamar Tahunan. Tahun ini tahun pemilihan dan saya berharap
ianya dapat berlansung dengan penuh rasa kasih sayang dan ukhuwah
sesama kita.
Dengan rasa rendah diri dan memohon
keampunan dari Allah SWT, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk
memaklumkan yang saya tidak akan mempertahankan jawatan Ketua Pemuda,
Dewan Pemuda PAS Malaysia. Saya merasakan sudah sampai masa untuk saya
memberi laluan kepada saf kepimpinan baru untuk menerajui DPPM ke arah
yang lebih baik dan cemerlang insya-Allah.
Dengan pertolongan Allah SWT serta
sokongan, dorongan dan bantuan yang tidak berbelah bahagi dari
rakan-rakan kepimpinan DPPM termasuk juga DPPN, saya mengucapkan terima
kasih dan bersyukur kerana dapat merasai nikmat berjemaah sepanjang
tempoh saya diberi amanah untuk memimpin DPPM sesi 2017/2019.
Saya sudah bersama DPPM sejak 2006 dan
merasakan wajar ia diberi nafas baru. Saya juga ingin mengucapkan terima
kasih dan rasa syukur kepada pimpinan DPPM terdahulu yang banyak
memberi bimbingan, dorongan dan nasihat kepada saya tanpa jemu sepanjang
saya terlibat dengan DPPM.
Saya dengan ini memohon maaf jika
sepanjang tempoh saya memimpin DPPM terdapat kekurangan, kelemahan atau
kekhilafan. Sesungguhnya sepanjang memimpin DPPM saya sentiasa berusaha
melakukan yang terbaik namun sebagai manusia sudah semestinya akan
terdapat kekurangan dan kelemahan.
Saya mendoakan agar DPPM terus bergerak
maju ke hadapan serta senantiasa dalam peliharaan Allah SWT demi untuk
memartabatkan Islam, memperjuangkan kepentingan rakyat dan negara. Saya
percaya saf kepimpinan baharu kelak mampu menjadikan DPPM lebih berdaya
maju, diterima oleh rakyat dan menjadi ikutan serta benteng seluruh umat
Islam di dalam negara.
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.