Seperti pernah disebut dalam laporan Pasukan Penyiasatan Keselamatan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia, pihaknya tidak dapat mengenal pasti punca sebenar kehilangan pesawat jenis Boeing 777-200ER itu.

Terdapat pelbagai dakwaan punca kehilangan pesawat membawa 239 penumpang dan anak kapal dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang ke Beijing, China pada 8 Mac 2014 termasuk campur tangan pihak ketiga. 

Bila menyebut kes ini, penulis teringat tragedi hampir serupa yang masih menjadi misteri membabitkan kapal kargo milik Belanda, S.S. Ourang Medan di Selat Melaka pada 1947.

Kapal dagang Amerika Syarikat (AS), Silver Star yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat setelah menerima mesej kecemasan menemui semua anak kapal telah mati de­ngan mimik muka dalam ketakutan. 

Tragedi itu dinyatakan dalam dokumen Agensi Perisikan Pusat (CIA), AS yang didedahkan kepada pengetahuan umum pada 2003. 

Surat yang ditulis pada 1959 oleh Penolong kepada Pengarah CIA, C.H. Marck Jr., menyebut jika misteri yang dipercayai berpunca daripada penglibatan pihak ketiga itu dapat diselesaikan, maka ia akan dapat menjawab banyak persoalan membabitkan kemalangan kapal terbang dan misteri lain yang berlaku di lautan.

Dua tragedi itu membuktikan manusia belum mempunyai teknologi ‘maha hebat’ untuk merungkai misteri berkenaan. Bagaimanapun, andaian berkenaan hanya benar kepada orang awam kerana mungkin pasukan tentera mempunyai peralatan canggih untuk mengetahui punca kejadian itu tetapi tidak dapat mendedahkannya bagi mengelak keupayaan sebenar diketahui pihak musuh.
Harapan kita hanyalah kepada badan penyelidikan awam yang diberi peluang untuk mencuba teknologi canggih tentera seperti Farsight Institute. 

Institut yang berpangkalan di AS itu dikatakan mempu­nyai keupayaan mengaplikasikan teknologi Scientific Remote Viewing (SRV) iaitu menggunakan minda separa sedar untuk menge­tahui kejadian yang telah berlaku.

Dakwaan dua pakar SRV dari institut itu, Princess Jeanee dan Melena Hall pada Julai 2018 mengenai juruterbang utama sebagai penyebab tragedi MH370 senada dengan panda­ngan beberapa pihak sebelum ini (Boleh dirujuk di laman web https://onstellar.com/blogs/63099/Malaysia-Airlines-Flight-370-July-2018-Time-Cross-Farsight).

Kita belum pasti kebenaran dakwaan itu. Cuma yang me­legakan, misteri sedemikian mungkin tidak berulang lagi pada masa depan berikutan terdapat usaha AS dan China mencipta teknologi kecerdasan buatan (AI) yang dapat melakukan pengawasan secara global selama 24 jam sehari menggunakan satelit.

Di AS projek itu dinamakan sebagai Knowledge-directed Artificial Intelligence Reasoning Over Schemas (KAIROS) yang dikelolakan oleh Agensi Projek Penyelidikan Termaju Pertahanan (DARPA).

KAIROS boleh dikategorikan sebagai disruptive techno­logy (teknologi yang menimbulkan gangguan) yang akan me­ngubah hidup kita selama-lamanya.