https://critoxium.com/shop/

Terkini

PM beritahu kenapa Daim, bukan Guan Eng ketuai rundingan semula ECRL

KUALA LUMPUR: Perdana menteri hari ini menjelaskan kenapa Putrajaya memilih Daim Zainuddin, bukannya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk mengetuai rundingan semula projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang digantung sejak Julai tahun lalu.

Dr Mahathir Mohamad (PH-Langkawi) berkata, kerajaan perlu memilih wakil yang boleh diterima negara lain dan ada sekatan dalam pemilihan calon sesuai untuk memikul tugas itu.

“Kita pilih berasas kepada kebolehan tertentu…sebab itu kita telah pilih seseorang yang kita nilai sebagai berkelayakan dan berkebolahan untuk berunding dengan pihak China.
“Inilah sebabnya kita pilih (bekas menteri kewangan) Tun Daim,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Mahathir menjawab soalan Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) yang ingin tahu sebab Lim tidak mengetuai rundingan semula dengan Beijing berhubung ECRL.

Katanya, rundingan masih berterusan dan keputusan muktamad dijangka dibuat tidak lama lagi.

“Kalau projek ini diturunkan skalanya, iaitu diperkecilkan atau dipendekkan, maka kita dapat kemudahan yang sepatutnya bagi negeri-negeri di pantai timur tanpa belanja wang dan hutang yang terlalu banyak.

“Sebab itulah kita sekarang masih berunding untuk keuntungan negeri-negeri di pantai timur kerana kita tahu negeri-negeri di pantai timur, melainkan Terengganu, yang lain semua terhutang banyak kepada kerajaan pusat dan kita tak nak bebankan mereka dengan hutang yang lebih banyak.”

Mahathir berkata, jika Pakatan Harapan tidak memenangi pilihan raya umum tahun lalu, negara mungkin sudah dijual kepada pihak lain pada harga tertentu dan diisytiharkan muflis apabila kerajaan tidak mampu membayar hutangnya.

“Kita dapati bahawa perjanjian, kontrak yang dibuat ini tidak mengambil kira kepentingan negara. Segala-galanya menguntung kepada pihak yang lain, tidak ada yang menguntungkan kita.

“Umpamanya jika kita tamatkan perjanjian ini, kita terpaksa bayar pampasan berbilion-bilion. Ini menjadi masalah apabila kita hentikan.

“Tetapi, kalau kita teruskan pun kita akan terikat hutang berbilion-bilion yang akan mengambil masa puluhan tahun untuk diselesaikan dan akhirnya jumlah hutang dengan faedah akan meningkat kepada RM130 bilion.”

Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) kemudiannya bertanya mengenai kos ditanggung kerajaan persekutuan, seperti kos pengambilalihan tanah dan kerja awal, termasuk bayaran kepada perunding dan kajian dijalankan.

Bagaimanapun, Mahathir mempersoalkan pemimpin pembangkang itu kenapa tidak membangkitkan soalan itu dahulu.

“Kenapa tidak disoal dahulu, semasa perjanjian dibuat? Kenapa tidak ditanya berapa kos konsultan, berapa kos tanah dan sebagainya?

“Dan saya yakin apabila disoal kepada pihak tertentu, maka tentulah pihak tertentu itu akan batalkan projek ini. Tapi ini terlalu lewat. Kita dah buat dah sekerat jalan, kita terikat dengan perjanjian yang tidak adil.”

Menjawab soalan Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) mengenai kos terkumpul sejak projek itu digantung, Mahathir berkata, perjanjian itu dibuat secara rahsia.

“Kita cuma dapat tahu kosnya setelah kita mengambil alih (kerajaan) dan apabila kami lihat kosnya, kita buat keputusan untuk hentikan projek ini.

“Tetapi, apabila kita buat keputusan untuk membatalkan projek ini, kita pula mengikut perjanjian yang ‘bijak’ dibuat kerajaan lama ini, kita terpaksa bayar pampasan yang begitu besar.

“Nampak kerajaan yang lepas ini ingin mengikat negara kita, Malaysia supaya tidak lagi boleh membiayai kos-kos pentadbiran kerana hutang trilion ringgit.”

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.