Realiti kerjasama antara UMNO-Pas
Oleh
SENARIO politik
tempatan yang pantas berubah adalah manifestasi betapa kritikalnya
sesebuah parti politik memerlukan pemimpin yang bukan sahaja berani
membuat keputusan yang dianggap menongkah arus tetapi lebih penting
keputusan itu dibuat bersandarkan fakta dan bukannya emosi.
Terkini apabila dua parti komponen BN iaitu
MCA dan MIC diberitakan berhajat untuk menubuhkan pakatan baharu kerana
hilang keyakinan terhadap Barisan Nasional (BN).
Maka
boleh dipersoalkan apakah keputusan itu dibuat berdasarkan fakta atau
emosi semata-mata jika dihitung suasana politik semasa.
Begitu
juga kerjasama politik di antara dua parti iaitu UMNO dan Pas yang
sinonim dengan perjuangan mempertahankan kepentingan agama dan bangsa
yang sudah menghampiri kemuncaknya.
Ia tercetus bukan kerana kebetulan tetapi salah satu pemangkinnya adalah perancangan kedua-dua pemimpin tertinggi parti itu.
Sebaik
sahaja UMNO kehilangan Putrajaya manakala Pas pula merampas Terengganu
dan mengekalkan Kelantan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU- 14) 10
bulan lepas, tidak terfikir akan wujud kerjasama politik kerana
perseteruan kedua-dua parti terlalu lama dan dalam.
Pada ketika itu UMNO bercelaru kerana buat pertama kali selepas enam dekad parti itu tidak berada dalam kerajaan pemerintah.
Manakala
Pas pula bagaikan diberi semangat baharu kerana sebelum berlangsungnya
PRU-14 ramai yang meramalkan Pas akan tewas teruk. Tidak terlintas akan
wujudnya persefahaman kedua-dua parti ini kerana kejutan keputusan
PRU-14 menyebabkan sukar untuk kedua-dua parti ini bekerjasama.
Tetapi
hakikatnya adalah jika keputusan PRU-14 yang begitu jelas mempamerkan
kecenderungan pengundi, secara logiknya UMNO dan Pas sepatutnya
bekerjasama.
Tetapi ia sukar
dilaksanakan walaupun Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden
UMNO diketahui kecenderungan beliau untuk berunding dengan Pas.
Pilihan
Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Sg. Kandis pada Ogos dan diikuti
pula PRK Seri Setia pada September 2018 adalah bibit-bibit awal
kerjasama dengan persetujuan tidak berlaku pertembungan calon.
Strategi kerjasama ini tidak mencapai hasrat diharapkan kerana gagal merampas kedua-dua kerusi tersebut.
BERANI BUAT KEPUTUSAN
Bermula
dari kegagalan kedua-dua PRK ini membuatkan Ahmad Zahid menerima
tentangan dalaman berkait kepimpinan beliau yang turut melibatkan
gerakan kerjasama beliau dengan Pas.
Ahli
Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mengumumkan keluar UMNO
antara lain menggunakan alasan tidak puas hati dengan kepimpinan Ahmad
Zahid adalah antara tamparan yang terpaksa dihadapi oleh Presiden UMNO
itu.
Ekoran dari enam Ahli Parlimen UMNO
yang mengumumkan keluar parti pada Disember lepas dan tekanan dalaman
telah memaksa Ahmad Zahid menyerahkan tugas presiden kepada timbalan
beliau, Datuk Seri Mohamad Hasan yang lebih dikenali sebagai Tok Mat.
Ramai
yang menjangkakan akan berlaku perubahan dasar terutama sekali
melibatkan kerjasama dengan Pas apabila Ahmad Zahid berundur.
Tetapi dasar tersebut bukan sahaja diteruskan oleh Tok Mat tetapi diperkuatkan lagi.
Hasilnya
adalah keputusan PRK Cameron Highlands dan Semenyih jelas mempamerkan
manfaat kerjasama politik di antara kedua-dua parti itu.
Gagalnya
kerjasama di PRK Sg. Kandis, Seri Setia dan juga Port Dickson
berkemungkinan kerana masih ujud sikap was-was dalam kalangan penyokong
kedua-dua parti.
Tetapi pada ketika ini
bukan sahaja ahli kedua-dua parti itu dapat menghayati manfaat kerjasama
politik tetapi mereka yang berada di luar lingkungan kepartian juga
merasai kepentingannya.
Sebab itu
dihujahkan pemimpin parti politik perlu berani membuat keputusan
walaupun mengetahui keputusan yang dibuat pada awalnya akan mendapat
tentangan.
Pemimpin yang pintar juga
perlu mengetepikan emosi dan agenda peribadi ketika membuat keputusan
bersangkut paut dengan parti kerana agak mudah untuk menentukan kesan
jangka pendek tetapi kesan jangka masa panjang memerlukan kekuatan yang
agak luar biasa.
Jika Ahmad Zahid
mengambil keputusan untuk tidak tunduk kepada tekanan dalaman demi untuk
mengekalkan penguasaan parti melalui jawatan presiden, besar
kemungkinan keputusan PRK Cameron Highlands dan Semenyih akan berlaku
sebaliknya.
Ramai juga beranggapan ujian
sebenar kerjasama UMNO dan Pas adalah di PRK Rantau dan begitu ironis
sekali kemungkinan besar Tok Mat yang meneruskan usaha kerjasama yang
dimulakan oleh Ahmad Zahid bakal menjadi calon BN yang disokong oleh
Pas.





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.