Tidak langgar demokrasi
JOHOR BAHRU- Kerjasama politik antara UMNO dan Pas tidak wajar disamakan
dengan politik Taliban dengan sewenang-wenangnya kerana konsep seperti
itu tidak menyalahi amalan demokrasi.
Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Umar Ali
justeru berharap para pemimpin partinya lebih bersikap waras dan tidak
terjebak dengan sikap menyemai benih kebencian dan prasangka antara
kaum.
Sheikh Umar percaya, sesiapa pun tidak
mahu mana-mana parti politik di negara ini mengamalkan politik tohmahan
sedemikian sebaliknya menjunjung politik dasar, polisi dan nilai untuk
kesejahteraan rakyat.
“Keinginan UMNO dan Pas
untuk mengadakan kerjasama politik merupakan hak mereka dan kita
sebagai kerajaan harus menumpukan perhatian sepenuhnya dalam
melaksanakan agenda pembaharuan kepada rakyat.
“Kita
sebagai pemimpin dari DAP bukan mewakili kaum Cina sahaja, sebaliknya
kita mewakili seluruh rakyat merentasi sempadan bangsa dan agama,”
katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau
yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh berkata, DAP yang
sering ditohmah sebagai parti cauvinis harus sedar bahawa dengan hujah
ekstrem tidak akan membawa parti itu ke mana-mana.
Pengerusi
Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan
Ekonomi Kreatif negeri itu berkata, keadaan tersebut akan meletakkan DAP
pada kedudukan paling sukar untuk mengubati imej yang dimomokkan
selama ini.
“Sebagaimana kita tidak mahu
dimomokkan dengan ejekan komunis oleh musuh politik, kita juga tidak
wajar melabel pihak lain sebagai Taliban, Kita harus matang dan keluar
daripada perangkap pemikiran cetek dan jahil,” katanya.





Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.