Kemelut jawatan Menteri Besar Johor
Oleh MALIKE BRAHIM
AGAK mengejutkan apabila Datuk Osman Sapian meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar Johor pada 8 April 2019 lepas. Belum pun sampai setahun di tampuk kuasa politik dan pentadbiran di Johor, ketua bagi kerajaan negeri ini membuat keputusan berundur daripada jawatan MB. Hal ini telah menimbulkan pelbagai andaian dari sudut politik mahu pun pentadbiran secara campur tangan istana.
AGAK mengejutkan apabila Datuk Osman Sapian meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar Johor pada 8 April 2019 lepas. Belum pun sampai setahun di tampuk kuasa politik dan pentadbiran di Johor, ketua bagi kerajaan negeri ini membuat keputusan berundur daripada jawatan MB. Hal ini telah menimbulkan pelbagai andaian dari sudut politik mahu pun pentadbiran secara campur tangan istana.
Dari sudut politik, adakah pengunduran Osman
itu suatu kerelaan atau terpaksa? Mungkin juga dalam keadaan dipaksa
rela berbuat demikian. Pada pandangan penulis, keadaan ini memberi
gambaran bahawa politik negeri mahu pun nasional di bawah kerajaan
Pakatan Harapan (PH) masih tidak stabil walaupun sudah hampir setahun
mengambil alih kuasa daripada Barisan Nasional (BN). Justeru,
ketidakstabilan itu boleh menimbulkan pelbagai kesan termasuklah ada
desakan kepada mana-mana Menteri Besar untuk meletakkan jawatan. Jika
sebelum ini pernah timbul isu penggantian Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
sebagai Menteri Besar Perak. Kebetulan pula kedua-duanya daripada
Bersatu.
Sebenarnya kedudukan Bersatu itu sendiri
tidak kukuh dalam kerajaan PH. Di DUN Johor, daripada 56 kerusi, PH
memiliki 36 kerusi, PAS (1) dan BN (19). Dalam PH itu sendiri, pecahan
kerusi DUN, DAP (13), Amanah (9), Bersatu (8) dan PKR (5). Jumlah kerusi
yang dimiliki oleh Bersatu yang wakil rakyatnya dilantik sebagai
Menteri Besar lebih kecil berbanding DAP dan Amanah. Justeru, hal ini
bukan jaminan untuk Menteri Besar itu kekal berkuasa hingga tamat
penggal DUN Johor itu sendiri.
Dalam isu peletakan jawatan berkenaan, ada
pihak yang menyeru agar pemimpin lebih senior dan berpengalaman
menerajui kerajaan Johor. Bagi pemimpin UMNO, mereka menyarankan agar
Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali ke Johor. Namun, Muhyiddin memaklumkan
beliau sudah terlalu tua untuk menerajui kerajaan Johor. Sebenarnya
dalam kalangan pemimpin PH sendiri sama ada dari Bersatu atau mana-mana
parti pun boleh dilantik sebagai Menteri Besar. Isu ini bukanlah terlalu
rumit, cuma ada pihak yang cuba bermain sentimen dengan mengheret
istana dalam kemelut ini.
Seterusnya tentang isu campur tangan istana.
Sebelum peletakan jawatan itu berlaku, ada ura-ura yang mengatakan
terdapat desakan istana agar Osman melepaskan jawatannya. Jika benar pun
ada desakan seperti itu, maka pihak istana mesti memberi alasan yang
kukuh dan rasional mengapa Menter Besar itu perlu meletakkan jawatan.
Namun, hingga kini tiada sebarang pun ulasan dari istana berhubung
perkara tersebut.
Cuma yang banyak timbul mutakhir ini adalah
perdebatan tentang kuasa Raja atau Sultan dalam melantik Menteri Besar.
Pelantikan Menteri Besar adalah atas cadangan parti politik yang
mendapat sokongan majoriti di DUN kepada Raja atau Sultan sebelum istana
menerima atau menolak nama yang dicalonkan itu. Ini suatu ketetapan
dalam mana-mana perlembagaan negeri dan begitu juga dalam Perlembagaan
Persekutuan .
Dalam konteks ini hubungan antara istana
dengan politik perlu mesra dan memahami antara satu sama lain. Hal ini
kerana ada pihak yang berpendapat jika istana menolak cadangan nama
Menteri Besar daripada parti politik sebagai tidak demokratik. Jika ini
benar-benar berlaku, maka kemelut ini tiada kesudahannya. Amat mustahil
sekali jika istana ada cadangan sendiri siapa wakil rakyat yang boleh
dilantik sebagai Menteri Besar. Andai perkara ini berlaku, pada
pandangan penulis tindakan seperti ini pasti mengundang ketidakstabilan
dari segi politik dan pentadbiran. Ini memberi gambaran campur tangan
secara optimum istana dalam hal ehwal politik.
Jadi, dalam keadaan sebegini maka pentingnya
hubungan baik antara istana dengan parti politik agar wujud persefahaman
dan toleransi. Dengan kata lain, parti politik dan Menteri Besar yang
dilantik serta exco boleh menjadi penasihat yang baik dan bijak kepada
istana dalam hal ehwal politik dan pentadbiran. Dari sudut lain, parti
politik juga perlu memahami aspirasi istana. Atas sebab itu, perlu ada
komunikasi yang berkesan antara kedua-dua pihak dalam sebarang perkara
atau urusan. Jadi, tiada masalah jika kerajaan atau parti politik
berunding dengan pihak istana tentang siapa yang bakal dilantik sebagai
Menteri Besar. Hal ini boleh menjernihkan keadaan dan mewujudkan
hubungan baik antara kedua-dua pihak.
Oleh itu, pengisian jawatan Menteri Besar
Johor itu perlu disegerakan dengan mengambil kira perlu ada ketua
kerajaan dalam menerajui pentadbiran negeri. Tanpa Menteri Besar, amat
sukar kerajaan dapat beroperasi dengan lancar. Terutama dari segi
pelaksanaan pelbagai dasar yang telah pun diumumkan atau sedang berjalan
seperti sebelum ini. Hanya melalui konsensus, pengisian jawatan Menteri
Besar yang menepati cita rasa dan kehendak antara pihak istana dan
parti politik boleh dilakukan. Apabila Menteri Besar mendapat sokongan
istana dan parti politik secara holistik, maka kepimpinan baharu itu
nanti mampu membentuk kestabilan politik dan pentadbiran negeri Johor.
- Dr. Malike Brahim
Perunding Kanan Global Political Analyst and Academic Consultant (GoPAC)
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.