https://critoxium.com/shop/

Terkini

MB: Kelantan hargai usaha kerajaan teruskan ECRL

KOTA BHARU, 14 April — Kerajaan Kelantan merakamkan penghargaan kepada kerajaan persekutuan atas persetujuan membangunkan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri itu.

Mentri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata dua buah stesen akan dibangunkan di negeri ini iaitu stesen Kota Bharu dan Tok Bali di Pasir Puteh.

“Kita melihat keputusan ini akan memberi impak yang besar kepada majoriti rakyat Kelantan khususnya dalam membuka peluang pekerjaan menerusi pelbagai bidang yang berkaitan dengan pembinaan dan pengangkutan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad berkata projek ECRL juga akan merancakkan tempo ekonomi negeri dengan adanya kemudahan pengangkutan lebih efisien yang mampu menguruskan transaksi barangan bervariasi serta berskala besar.

Katanya ia secara tidak langsung akan mengubah landskap keusahawanan menjadi lebih kondusif dan kompetitif untuk semua warga Malaysia.

“Seandainya ECRL diuruskan dengan baik dan mengikuti piawaian sebenar, ia akan memberi Malaysia satu lagi fasiliti bertaraf antarabangsa yang akan memacu negara menjadi sebuah negara yang membangun dengan pesat, setanding dengan negara maju lain,” katanya.

Jumaat lepas, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan projek ECRL akan disambung semula pada kos pembinaan lebih rendah iaitu sebanyak RM44 bilion.

Jabatan Perdana Menteri berkata, kos pembinaan fasa 1 dan 2 ECRL itu berjaya dikurangkan sebanyak RM21.5 bilion berbanding kos asalnya pada RM65.5 bilion.

Pengurangan kos itu dicapai selepas Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) memeterai Perjanjian Tambahan (SA) dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

SA itu merangkumi perjanjian bagi aspek Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) ECRL. — Bernama

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.