Bersihkan minda, sucikan jiwa
OLEH DR HUZILI HUSSIN
SUDAH menjadi kelaziman apabila saya membaca tulisan Buya Hamka tentunya akan memberikan kesan kepada cara berfikir dan bagaimana untuk memberi makna kepada kehidupan.
Beliau ada menulis, sekiranya 10 ekor kerbau yang hampir sama dari segi saiz dan kekuatannya, jika dijual tentunya nilai harga adalah hampir sama bagi setiap ekor.
Pun begitu jika 10 manusia yang mempunyai saiz serta kekuatan hampir sama, jika dijual sudah tentu harganya adalah berbeza-beza. Kenapa berbeza? Ini kerana manusia dinilai dari segi keperibadian diri. Jika hebat peribadinya maka lagi tinggilah nilainya.
Sebetulnya, bukan mudah untuk menempatkan diri dalam dunia yang tidak adil dan saksama jika tidak mempunyai peribadi yang hebat. Apabila diri tidak kuat, ramai yang akan kecewa dengan kehidupan di dunia ini kerana sering kali tidak memenuhi kehendak serta memusnahkan harapan mereka.
Selain itu, ramai juga merana dengan kehidupan mereka yang penuh dengan onak dan pancaroba. Hakikatnya, kita telah dilahirkan ke dunia ini dan mesti melaluinya walaupun perit.
Justeru, keseimbangan di antara minda dan jasad amatlah penting agar diri kita dapat teguh berdiri berpaksikan jiwa yang kuat dan minda hebat.
Secara prinsipnya, minda dan jiwa adalah elemen yang cukup penting dalam jasad kerana saling berhubungan secara langsung. Lemahnya minda akan meruntun jiwa. Manakala kuatnya minda akan menenangkan jiwa. Apabila jiwa menjadi tenang, kesemua perkara akan menjadi mudah dan dipermudahkan.
Menurut ahli psikologi, ketenangan akan diperoleh seseorang itu seandainya kefungsian psikologi atau psychological functioning dapat berfungsi dengan betul.
Bagi mereka yang berfungsi dengan betul, minda lebih cenderung untuk berfikir secara positif dan mudah menerima segala ujian dengan tabah. Begitu juga dengan jiwa mereka yang akan menjadi semakin kuat dan mempunyai daya tahan yang cukup tinggi. Natijahnya, mereka akan menjauhi sifat-sifat dengki, dendam serta bongkak dan sombong.
Sebetulnya, ketenangan adalah ihsan ALLAH dalam bentuknya yang ghaib. Hakikatnya ketenangan itu tidak boleh dilihat tetapi dapat berasa. Oleh itu, ketenangan tidak ditunjukkan dengan besarnya kediaman seseorang itu, besarnya pangkat mereka, banyaknya wang mereka serta tingginya ilmu dan darjat mereka.
Namun bagi sesiapa sahaja yang bertakwa, ketenangan itu akan menyerap ke dalam hati dan seterusnya mengharmonikan seluruh anggota badan bagi melakukan segala ketaatan kepada penciptanya.
Berkaitan dengan ketakwaan ini, firman ALLAH, “Wahai orang-orang yang beriman. Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa” (QS Al-Baqarah, 2:183).
Sebetulnya, pada hari ini, semakin ramai manusia mula ingin mencari jawapan kepada segala masalah dalam kehidupan mereka. Apa yang nyata, mereka sudah mula mencari-cari hala tuju kehidupan sebenar.
Lantaran itu, fenomena ‘Big WHY’ telah mendorong mereka untuk mencari dan mendalami segala bentuk ilmu bagi mencari jawapan tentang tujuan mereka dilahirkan ke bumi ini, mengapa perlu ada ujian dalam hidup?. Mengapa perlu ada kesakitan dan sebagainya lagi.
Malah mengapa umat Islam berpuasa juga telah menjadi salah satu aspek dalam penerokaan ‘Big WHY’ mereka. Namun apa yang menyedihkan, umat Islam sendiri tidak ingin meneroka kelebihan amalan berpuasa dengan menggunakan pendekatan ‘Big WHY’ yang sama.
Apa yang mereka tahu puasa ini adalah sebahagian daripada rukun Islam dan mestilah dipatuhi. Akhirnya, mereka hanya setakat patuh, namun tidak mencari makna sebenar tentang kenikmatan berpuasa.
Sempena Ramadan nanti, seringlah berdoa seperti mana yang diajar oleh Rasulullah SAW, “Ya ALLAH, Engkau perbaikilah kehidupan beragama kami yang merupakan pemelihara segala urusan kami. Engkau perbaikilah kehidupan dunia kami yang merupakan tempat kami menjalani kehidupan. Ya ALLAH, Engkau perbaikilah kehidupan akhirat kami yang merupakan tempat kembali kami. Engkau jadikanlah kehidupan ini menambah kebaikan untuk kami dan Engkau jadilah kematian ini sebagai kerehatan bagi kami dari segala keburukan." - HR Muslim
Semoga Ramadan ini dapat bersihkan minda dan sucikan jiwa. Ramadan karim.
* Prof Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis

Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.