https://critoxium.com/shop/

Terkini

Ambil alih empat lebuh raya tidak libatkan kos kerajaan - Guan Eng

SEBERANG JAYA: Menteri Kewangan Lim Guan Eng menegaskan pengambilalihan empat lebuh raya bertol di Lembah Klang tidak melibatkan sebarang kos.

Beliau berkata bayaran pengambilalihan akan menggunakan wang terbitan bon dan sukuk dan bayaran balik terbitan itu pula akan dilunaskan menggunakan hasil kutipan tol masa akan datang.

Beliau berkata, bayaran itu masih mampu dibuat meskipun kerajaan mengurangkan kadar tol pada waktu-waktu tertentu serta tanpa sebarang kenaikan tol pada masa depan selepas pengambilalihan tersebut.
"Itu penambahbaikan yang amat ketara berbanding dulu dan kerajaan tak perlu biayai kosnya, kerana apabila kita gunakan bon untuk biayai pembelian, pembelian balik akan dibiayai oleh kadar tol yang dikutip sungguhpun (kadar) dikurangkan (kerajaan) masih mampu untuk biayai kos ini," ujar Guan Eng.

Tambah Guan Eng sistem perintis sedemikian dijangka mampu mengurangkan beban rakyat.

"Pengambilalihan ini sebagai satu projek perintis di mana kita akan kurangkan (kadar tol) untuk waktu bukan puncak, ia akan diberikan secara percuma tanpa tol. Tapi untuk waktu-waktu lain akan lihat pengurangan daripada lima, 10, 15 hingga 30 peratus. Tapi untuk waktu puncak akan dikekalkan kadar tol sekarang. 

Tambah Guan Eng, kerajaan masih mempunyai tempoh yang panjang untuk menilai formula pengambilalihan tol itu iaitu sehingga Oktober ini sebelum mendapat kelulusan Kabinet.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari  Raya Aidilfitri Bersama Menteri Kewangan Malaysia di Kompleks Kastam di Seberang Jaya, pada Ahad.

Pada Sabtu, Guan Eng memaklumkan Kerajaan telah mengemukakan tawaran rasmi untuk mengambil alih empat lebuh raya bertol di Lembah Klang.

Ianya adalah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Terowong SMART.

Tawaran pengambilalihan tersebut berjumlah RM6.2 bilion dan dibuat kepada Gamuda Berhad selaku syarikat pemegang konsesi keempat-empat lebuh raya berkenaan.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.