https://critoxium.com/shop/

Terkini

Idealisme hilang apabila anak muda kecewa

Oleh Zin Mahmud

Kisah bagaimana anak-anak muda menyertai aktivisme politik atas kesedaran idealisme tetapi berakhir dengan kekecewaan bukanlah perkara baru. Ia berlaku dari generasi ke generasi termasuk pada masa ini di mana sistem politik adalah berbentuk demokrasi berparlimen.

Generasi anak muda yang menyertai aktivisme politik muncul setiap tahun apabila sebahagian daripada mereka mencapai usia yang membolehkan mereka sedar politik. Tidak semua anak muda sedar politik. Sementara yang sedar politik itu pula mengalaminya pada usia yang berbeza. Ada yang sedar politik pada usia yang amat muda, umpamanya ketika usia 15 tahun. sementara ada pula anak muda yang sedar politik begitu lewat, sehingga mencecah usia 30 tahun. Selepas usia 30 tahun, mereka tidak boleh lagi dikira anak muda.

Kesedaran politik mereka juga memberi kesan pada kelakuan mereka yang berbeza. Ada yang hanya mengikut perkembangan, sama ada melalui pembacaan atau mendengar perbualan. Ada yang hanya membaca secara ringan iaitu melalui media sosial. tetapi yang mempunyai minat lebih, akan membaca rencana dan buku, malah menghadiri ceramah atau perbincangan politik.

Pada satu peringkat lagi, ada yang aktif menulis. Mula-mula hanya memberi komen, kemudian menulis posting, akhirnya ada yang turut bangun bertanya atau terlibat dalam perbincangan. Di peringkat akhir aktivisme politik, mereka turut menyertai persatuan dan parti. Baik sebagai penyokong, aktivis mahupun ahli. Pastinya mereka akan turut membabitkan diri dengan sayap anak muda parti dan aktif sebagai sukarelawan.
Walaupun ada antara yang menjadi aktivis atas dorongan yang berlainan, umpamanya tarikan habuan kewangan, atau peluang sosial, tetapi tidak kurang juga sebahagiannya bertindak demikian kerana idealisme anak muda.

Idealisme ini umumnya berasaskan pada nilai-nilai murni seperti keadilan, kebaikan, kemajuan, perpaduan, kebangsaan ataupun keagamaan. Maka tidak hairanlah gelombang penyertaan anak muda pada aktivisme politik dipengaruhi oleh faktor perkembangan politik semasa dalam dan luar negara.
Paling ketara di peringkat antarabangsa apabila berlaku pergolakan politik yang besar sehingga memberikan kesan imaginatif bagi idealisme. Umpamanya Revolusi Rusia pada 1917, Perang Dunia Pertama dan Kedua juga mendorong kepada tercetusnya idealisme anak muda termasuk yang berbentuk nasionalisme. Begitu juga dengan Revolusi Islam Iran yang walaupun berlaku di negara lain, tetapi mendorong kepada tercetusnya idealisme anak muda di dalam negara. Begitu juga peristiwa dalam negara seperti usaha membantah Malayan Union.

Bagi negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dengan pilihan raya umum (PRU) 5 tahun sekali, musim timbulnya idealisme boleh didorong oleh suasana negara menjelang PRU. Walaupun generasi idealis anak muda muncul setiap tahun tetapi mereka lebih terdorong dalam suasana politik hangat menjelang pilihan raya.

Sebagai contoh, menjelang PRU14 dengan kemunculan Pakatan Harapan (PH), maka dapat diandaikan idealisme anak muda meningkat dengan sebahagiannya turut melibatkan diri dalam kempen atau hanya sebagai pengundi. Dipercayai merekalah yang memberi sumbangan besar kepada kemenangan PH dalam PRU tahun lalu.

Apabila melihat ke belakang, akan dapat dilihat betapa perkembangan politik sebelum PRU yang panas melahirkan anak muda idealis. Antara perkembangan ketara adalah gerakan Reformasi pada 1998. Gerakan di Malaysia ini pula terinspirasi oleh Reformasi di Indonesia pada tahun yang sama, yang juga dicetuskan oleh anak muda.

Apabila sampai 2018, generasi yang awal itu sudah tentu tidak menjadi anak muda lagi. Iaitu selepas 20 tahun, antaranya sudah kecewa dan idealisme yang luntur atau hilang sama sekali. Ada yang tetap dengan idealisme mereka dan masih bersama dengan PKR, malah mendapat jawatan dalam kerajaan PH. Tetapi banyak juga yang sudah tidak bersama PKR walaupun masih bernostalgia dan menyertai kumpulan seperti apa yang dipanggil sebagai Otai Reformasi. Tetapi kebanyakannya hanya memilih untuk diam walaupun dalam PRU, mereka mengundi PH. Namun begitu ada juga yang begitu kecewa hingga menyertai parti lawan iaitu Umno dan terus menentang PKR walaupun sudah menjadi pembangkang.

Bagi sebahagian penyokong Amanah, mereka menjadi anak muda yang idealis adalah hasil daripada Revolusi Islam Iran pada 1979. Antara mereka aktif dalam PAS yang dianggap sebagai wahana untuk idealisme Islam. Setelah 40 tahun, mereka tentulah tidak lagi jadi anak muda. Ada yang sudah kecewa dengan revolusi. Tidak kurang pula ada yang terus berpegang pada idealisme mereka tetapi kecewa pula dengan PAS kerana tidak mengekalkan Pakatan Rakyat. Antaranya memilih Amanah sebagai platform baru dan terus menjadi penyokong PH dalam PRU lalu. Malah antara mereka memperoleh manfaat daripada kemenangan PH apabila mendapat jawatan dalam kerajaan baru.

Menjelang PRU, idealisme anak muda baru berkisar pada PH sebagai gerakan untuk membersihkan negara daripada korupsi. Walaupun parti PH dipimpin ahli politik lama tetapi gerakannya dikuatkan dengan penyertaan idealis anak muda. Ada antara mereka menjadi penyokong dan peserta demonstrasi Bersih bertahun-tahun sebelum PRU14. Mereka tidak menyertai mana-mana parti tetapi penolakan terhadap Barisan Nasional adalah jelas. Apabila hampir PRU14, antara anak-anak muda itu sudah mula memilih parti yang mereka suka.

Sebab itu semua parti PH mempunyai anak-anak muda yang menjadi idealis hanya dalam tempoh 2 atau 3 tahun lalu. Antara anak muda yang menyertai PPBM kerana tarikan ketua Pemudanya. PKR seperti juga dalam pilihan raya terdahulu mampu menarik anak muda baru untuk menyertainya.

Sementara DAP pula memberi ruang kepada idealis anak muda seperti dari kalangan yang bergabung dalam Liga Pemuda Malaysia. Amanah pula mempunyai ahli-ahli muda yang tidak pernah menyokong apatah lagi menyertai PAS.

Selepas setahun berlalu bagi PH menjadi kerajaan, maka berlakulah juga kekecewaan. Apa yang dilakukan oleh kerajaan tidak serupa apa yang diharapkan sepenuhnya oleh penyokong. Bagi penyokong tegar PH terutama yang sudah lama bersama pihak pembangkang ketika BN menjadi kerajaan, mereka mungkin sudah lebih matang dan dapat memahaminya.

Tetapi bagi anak muda idealis, mereka bukan saja kurang sabar tetapi kecewa kerana harapan mereka begitu tinggi hingga tidak menjejak pada realiti. Maka mereka sudah tidak mahu menyokong PH, malah memilih untuk menjadi pembangkang walaupun mereka tidak tergamak untuk menyokong BN atau PAS.

Lebih-lebih lagi apabila mereka berasakan aktivisme yang dilakukannya sejak 3 dan 4 tahun lalu tidak mendatangkan kesan yang bermanfaat pada dirinya. Ditambah pula apabila realiti suasana politik sudah bukan saja lebih jauh tetapi menjijikkan.

Sedangkan adalah pemahaman umum bahawa kekuatan mana-mana gerakan politik pada masa depan negara bergantung atas sokongan anak muda, tidak kiralah sama ada yang idealis atau realis.
Jika anak-anak muda yang sudah menjadi penyokong pun kecewa, apalah yang diharapkan untuk menarik perhatian generasi baru yang baru sedar politik.

Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi DenyutReformasi

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.