https://critoxium.com/shop/

Terkini

MTUC gesa kerajaan pertimbang ambil pekerja dari Afrika

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Kementerian Sumber Manusia mempertimbangkan cadangan untuk mengambil pekerja dari Afrika untuk sektor perladangan dan sektor lain.

Presiden MTUC, Abdul Halim Mansor berkata kerajaan sepatutnya memikirkan kaedah mengurang kebergantungan terhadap pekerja asing dan mengkaji lebih 1 juta tenaga pekerja tempatan yang sanggup bekerja sebagai buruh di luar negara.

“MTUC khuatir jika gaji minimum kita tidak menarik pekerja asing, adakah gaji minimum itu bermanfaat dan setimpal untuk pekerja tempatan,” katanya

Semalam, media melaporkan kerajaan akan mempertimbangkan pengambilan pekerja asing dari Afrika bagi menampung keperluan tenaga pekerja asing dalam sektor perladangan pada masa akan datang.
Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran berkata, ini kerana pekerja asing dari Vietnam dan Indonesia tidak mahu lagi datang untuk bekerja di negara ini disebabkan gaji yang diterima tidak jauh berbeza dengan negara asal.

Halim berkata kementerian mesti mengkaji dalam pelbagai aspek penyebab pekerja asing tidak mahu datang bekerja ke Malaysia.

Beliau berkata sebanyak 30% majikan tidak membayar gaji minimum dan sosial sekuriti seperti dilapor Kula.

“Kementerian Sumber Manusia juga mesti menentukan pekerja asing diambil majikan utama bukan majikan sub-kontrak.

“Pekerja asing mestilah tidak didiskriminasikan dari cuti hari rehat. Jika perlindungan Akta Kerja 1955 ini tidak diberikan kepada pekerja asing sudah tentu mereka seolah-olah menjadi buruh paksa,” katanya.

Halim berkata pengambilan pekerja secara dokumentasi mesti menjadi wajib.
Beliau berkata majikan mesti memohon perbaharuan permit kerja atau penukaran pekerja lama kepada pekerja baru dikawal dengan sistem ganti.

“Kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia dan TVET mengkaji meningkat penggunaan teknologi dan mencipta cara kerja lebih ekonomikal penggunaan buruh manual. Ini untuk jangka panjang.

“Dilaporkan sektor perladangan mempunyai lebih 500,000 tenaga pekerja asing. Dilihat sektor perladangan tidak kreatif dan inovasi dalam mencari kaedah baru mengendali kerja.

“Tidak bersedia menyediakan prasana baru untuk menarik minat pekerja tempatan bekerja di sektor perladangan dengan menjanji prospek untuk memajukan karier dan ekonomi,” katanya.

Halim berkata kementerian patut mengkajinya, kerana tidak mudah untuk pekerja asing memahami budaya kerja dan hidup cara Malaysia yang berbilang kaum dan hormat menghormati.

Katanya, kementerian sepatutnya berbincang dengan rakan sosial majikan dan pekerja untuk mencari kaedah yang berkesan bagi menangani Keperluan pasaran pekerja.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.