https://critoxium.com/shop/

Terkini

Putra anggap kerjasama UMNO dan Pas bukan penyatuan ummah

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali menganggap kerjasama Pas dan UMNO tidak boleh diisytiharkan sebagai penyatuan ummah.

Sebaliknya, tegas beliau, gabungan Pas dan UMNO itu hanya kerjasama politik sahaja, tanpa penyertaan parti atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu serta Islam yang lain.

Namun, biarpun tidak bersetuju dengan istilah penyatuan ummah yang digunakan, Ibrahim menegaskan Putra mengalu-alukan kerjasama antara UMNO dan Pas.

"Kalau dua parti saja terlibat dia tidak boleh menyebut penyatuan ummah, dia tidak boleh menyebut UMNO dan Pas mewakili penyatuan ummah.

"Penyatuan ummah mesti meliputi semua pihak secara inklusif, termasuk berbagai NGO Islam dan Melayu dan juga parti-parti politik," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat kedua Jawatankuasa Penaja Putra pada Ahad.

Ibrahim menjelaskan penyatuan ummah meliputi semua pihak secara inklusif sehingga diadakan satu kongres atau persidangan untuk menjayakan usaha murni tersebut.

“Bila sebut kerjasama walaupun politik, ia tidak boleh lari dari segi prinsip jalinan, memupuk silaturahim.

“Jadi, kita mengalu-alukan kerjasama Pas-UMNO, tapi kerjasama ini lebih kurang tahaluf siyasi dengan UMNO dahulu, cuma kali ini dibuat secara bertulis dan diluluskan di muktamar Pas semalam,” katanya lagi.

Mengulas mengenai video aksi intim yang didakwa melibatkan seorang menteri Kabinet, Ibrahim berkata menteri itu perlu segera membersihkan diri.

“Saya tak nak campur, tapi kerana dah jadi isu nasional, menjadi tarikan banyak pihak. Kita desak kerajaan jangan berlengah, jangan berdalih mendakwa pelaku, Haziq Abdul Aziz kerana telah mengaku dialah orang dalam video tersebut.

“Sudah ada laporan polis, kenapa tidak didakwa Haziq ini? Why, why, why? Kenapa tidak didakwa?

“Nak berselindung apa lagi? Mana rule of law yang dilaung-laungkan selama ini, sebab dia (Haziq) sudah mengaku dan dia sudah buat laporan polis, apa lagi nak tunggu?” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.