https://critoxium.com/shop/

Terkini

Putra yakin Anwar akan jadi PM

KUALA LUMPUR: Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yakin Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dilantik menjadi perdana menteri kelapan.

Keyakinan itu disuarakan Presiden Putra, Datuk Dr Ibrahim Ali yang percaya Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengotakan janjinya.

Menguatkan hujahnya, Ibrahim berkata Anwar adalah pilihan paling tepat dalam Pakatan Harapan untuk menggantikan Dr Mahathir.

“Kalau bukan Anwar siapa lagi? Tun mesti pilih pemimpin dalam Pakatan Harapan.

“Sekarang PM dari Bersatu, selepas ini giliran PKR dan Anwar adalah presiden PKR," ujarnya.
Bagaimanapun, tambah Ibrahim, persoalan sekarang adalah bilakah masanya Tun Mahathir akan lantik Anwar jadi perdana menteri.

“Jangan nanti tunggu punya tunggu, Anwar tak dapat, Ibrahim pula dapat jadi PM,” selorohnya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat kedua Jawatankuasa Penaja Putra pada Ahad.

Mengulas spekulasi sesetengah pihak yang berpendapat Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bakal dilantik sebagai perdana menteri, Ibrahim menyanggah pandangan tersebut.

Hujah Ibrahim, Azmin merupakan Timbalan Presiden PKR manakala jawatan perdana menteri akan diserahkan kepada Presiden parti.

“Lebih sukar lagi bila adanya video yang dikaitkan dengan Azmin,” katanya lagi.

Selain Anwar, Ibrahim berpendapat Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah merupakan individu yang layak untuk menjadi perdana menteri.

Namun menurutnya, oleh kerana Tengku Razaleigh bukan dalam Pakatan Harapan, maka peluangnya sukar untuk menjadi perdana menteri.

“Ramai orang kata Ku Li adalah 'PM material' tetapi dia bukan dalam Pakatan Harapan, jadi susah, ‘titian siratul mustakim’ tak ada.

“Macam Anwar ‘titian siratul mustakim’ tu sudah ada cuma tunggu masa,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.