https://critoxium.com/shop/

Terkini

AMANAH nafi edar borang ahli dalam kawasan sekolah

Penyelaras Pakatan Harapan Parlimen Parit, Perak menafikan kenyataan yang mendakwa beliau mengedar borang keahlian AMANAH kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tepus, Parit, Perak pada 27 Jun lalu.

Tarmizi Mohd Jam berkata, laporan polis akan dibuat terhadap pengguna Facebook yang dikenali sebagai Syamsul SB yang didakwa sebagai cybertrooper Umno untuk menjatuhkan imejnya dan Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Tarmizi yang juga Timbalan Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan dalam kenyataannya menjelaskan bahawa borang tersebut merupakan borang keahlian yang diserahkan oleh Guru Besar itu sendiri kepadanya ketika menghadiri jamuan Aidilfitri anjuran sekolah berkenaan.

“Selesai jamuan, Puan Siti Nor Eliza Potra memaklumkan kepada saya bahawa beliau nak menyerahkan borang keahlian AMANAH milik anaknya yang telah tersimpan sejak sebulan lalu dalam beg beliau tetapi ada sedikit kemusykilan pada borang itu untuk diisi

“Beliau mengeluarkan borang dari sepucuk sampul surat berwarna coklat, dan menunjukkan kepada saya bahagian yang keliru bagi anaknya untuk diisi. Saya katakan kepada beliau, kosongkan saja ruangan itu, itu urusan pentadbiran parti. Lalu dia menyerahkan borang tersebut kepada saya kerana katanya dia tidak kenal sesiapa pun pemimpin AMANAH Kawasan Parit.

“Lantas saya menerimanya dan terus berlalu pulang. Jadi, tiada sebarang gambar yang menjelaskan Guru Besar berkenaan memegang sebatang pen dan sedang mengisi borang keahlian AMANAH.

“Yang diputar-belitkan oleh cybertrooper Umno bernama Syamsul SB itu hanya gambar Guru Besar menunjukkan dengan jari telunjuk kanan ke ruang borang yang menjadi kekeliruan anaknya untuk ditanyakan kepada saya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, Syamsul SB didakwa mengeluarkan fitnah dalam keadaan dirinya tidak mengetahui cerita sebenar melainkan hanya untuk provokasi murahan bagi memenuhi niat jahat memburuk-burukkan Pakatan Harapan kononnya berpolitik di sekolah.

Katanya lagi, ini juga bagi menjawab tuduhan laporan dari media Sinar dan Malaysia Gazette bahawa beliau tidak pernah memberikan borang keahlian AMANAH kepada Guru Besar.

“Saya bukan buka kaunter keahlian AMANAH dalam bilik guru. Dan saya tidak mengumpulkan beberapa orang guru untuk diberi taklimat dan dikempen menyertai AMANAH pada masa kejadian.
“Inilah fitnah yang jelas dimainkan oleh Syamsul SB dalam usahanya untuk memfitnah saya dan Pakatan Harapan.

“Saya memohon kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat perkara ini dengan segera dan menggesa agar pemilik akuan Facebook ini diheret kemuka pengadilan,” ujarnya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.