Awas politik pecah, perintah
DALAM Pilihan
Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Barisan Nasional (BN) Selangor hanya mampu
menang di empat kerusi berbanding jumlah keseluruhan kerusi Dewan
Undangan Negeri (DUN) sebanyak 56.
Mampukah UMNO bangkit pada PRU-15 dan apakah kesan kerjasamanya dengan Pas? Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, DATUK MAT NADZARI AHMAD DAHLAN mengupas persoalan tersebut dalam pertemuan bersama wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan MOHD. ASRON MUSTAPHA serta jurugambar, SHAHARANI SAIBI.
Mampukah UMNO bangkit pada PRU-15 dan apakah kesan kerjasamanya dengan Pas? Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, DATUK MAT NADZARI AHMAD DAHLAN mengupas persoalan tersebut dalam pertemuan bersama wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan MOHD. ASRON MUSTAPHA serta jurugambar, SHAHARANI SAIBI.
UTUSAN : Bagaimana keadaan UMNO Selangor selepas PRU-14?
MAT NADZARI: Peringkat awal
kita nampak kemurungan. Bukan hanya kepemimpinan sedih dan tiada upaya
melawan gelombang pertukaran kerajaan malah ahli juga terkejut.
Bagaimanapun, beberapa bulan kemudian kita
adalah negeri pertama bangkit dan mengadakan retreat dengan
menghimpunkan kepemimpinan peringkat tertinggi seramai lebih 400 orang
di Janda Baik.
Kita
merangka bagaimana mahu bangkit, ia sebelum adanya kesepakatan,
persefahaman, atau ta’awun dengan Pas. Ini menunjukkan kami cepat sedar
memandangkan ahli-ahli mahu hala tuju jelas bagi membolehkan UMNO
bangkit.
Maksudnya, ahli melihat ke depan dan mereka
nampak ada harapan kalau kita rencanakan pendekatan dan strategi untuk
pilihan raya umum seterusnya.
Apabila kami diketuai Naib Presiden, Datuk
Seri Ismail Sabri Yaakob, hala tuju itu semakin jelas. Ketua-ketua
bahagian bekerjasama dan inginkan perubahan, kalau tidak, takkan mereka
mahu jawatan malah ramai muka baharu lebih berkemampuan mahu menjadi
pemimpin.
Kalau parti ini tidak ada potensi, tidak
boleh dibawa ke mana-mana, perebutan jawatan tidak semeriah itu. Seramai
11 daripada 22 ketua bahagian adalah muka baharu, mereka bukan orang
tua-tua.
Mereka adalah generasi berusia 40-an hingga
50-an. Saya percaya melalui konsultasi lebih baik, kesepakatan di
bahagian yang mantap dan utuh, UMNO Selangor boleh melakukan perubahan.
Adakah kali ini Datuk melihat UMNO
Selangor betul-betul memiliki semangat luar biasa untuk bangkit sebab
sudah kalah tiga kali PRU?
Saya melihat PRU-14 dalam sudut berbeza.
Selepas Pakatan Harapan (PH) menang, kejutan berlaku.
BN menang pilihan
raya kecil berturut-turut dengan lebih yakin. Jika itu keadaannya, apa
sebenar terjadi?
Kenapa orang suka, tiba-tiba berubah kepada
tidak suka dalam masa begitu singkat? Kamu benci kepada pihak yang kamu
sokong, apa sebabnya? Adakah kekalahan BN dalam PRU-14 genuine, orang
tak suka BN atau mereka ditipu sehingga berpindah sokongan.
Kalau tengok manifesto BN Selangor, kami
terbaik dan ia amat meyakinkan. Kalau persoalan boleh bangkit atau
tidak? Saya rasa boleh, sebab orang bukan ada niat tidak menyokong BN
tetapi mereka ditipu, barangkali.
Sekarang mereka dah tunjukkan sikap mahu
kembali menyokong kita. Kami yakin jika mereka yang berpindah sokongan
mendapat kefahaman betul mengenai perjuangan dan pentingnya politik
kepada negara dan ekonomi, insya-Allah, saya rasa potensi kita besar
untuk mencapai kejayaan.
Kita tidak menafikan orang Melayu
tengah bangkit dan tidak suka PH, tetapi apa yang membimbangkan ialah
UMNO itu sendiri, ‘penyakit’ lama seperti berebut-rebut jawatan sudah
bermula, apa pandangan Datuk?
Dari segi penyakit ini susah sikit nak cakap
sebab ia ada elemen-elemen tertentu. Penyakit ini ada ‘virus’ dan
‘kuman’. ‘Kuman-kuman’ ini sama ada diternak, diracuni orang atau
dalaman kita sendiri memang sakit, maknanya banyak elemen.
Bagaimanapun kita tidak boleh mengetepikan
unsur luar yang mahu kita berpecah. Ia tak lari daripada konsep pecah
dan perintah. Konsep ini berlaku dalam politik sejak dulu. Ia taktik
terbaik menghancurkan lawan.
Kalau nak kata ahli UMNO berpecah-belah, saya
rasa mereka sebenarnya tidak berpecah tetapi mempunyai pandangan
berbeza, cumanya di luar ada yang mengapi-apikan. Ahli-ahli di bawah
masih lagi berikan sokongan.
Di Selangor, daripada 2,411 cawangan, 2,333
bermesyuarat. Ini menunjukkan kita masih kuat di akar umbi, hampir 95 %
berjaya mengadakan mesyuarat. Kalau berpecah tidak mungkin boleh
bermesyuarat. Kita ada sistem korum bagi setiap mesyuarat cawangan,
kalau korum cukup, maksudnya apa?
Adakah kerjasama dengan Pas disambut dengan terbuka oleh ahli UMNO?
Di Selangor, harapan terhadap ta’awun siyasi
dengan Pas tinggi. Di bahagian-bahagian bukan setakat berbaik-baik
tetapi sudah jauh daripada itu.
Mereka dah sepakat termasuk dari segi
kawasan, sudah sampai ke tahap itu walaupun tidak rasmi tetapi mereka
sudah mula membayangkan antara satu sama lain.
Ta’awun siyasi adalah platform terbaik bukan
sahaja untuk orang Melayu tetapi juga bangsa dan negara secara
keseluruhan. Kenapa saya berkata begitu? Saya berpegang kepada prinsip
strategi evergreen BN atau dulu Perikatan.
Orang Melayu mesti ingat. Saya tengok orang
Melayu gembira mengadakan kumpulan berasingan dengan ideologi
bermacam-macam dan tidak sepakat. Ini berlaku.
Terbaharu kita tengok Parti Bumiputera
Perkasa (Putra) ditubuhkan, tidak lama lagi di Sabah, saya dengar nak
hidupkan semula USNO dan sebagainya. Ertinya, orang Melayu atau parti
berkonsepkan Islam mula berpecah.
Inilah suasana ketika 1946. Sebab itulah,
untuk merdeka, orang Melayu terlebih dulu bersatu melibatkan 41
pertubuhan, bukannya semua bangsa bersatu dulu. Bila kita sudah kuat,
orang Inggeris beri balik kuasa kepada kita, adakah kita tinggalkan
bangsa lain? Tak ada.
Dengan siapa kita pergi merdeka? Dengan orang
Cina dan India. Oleh itu saya melihat apabila Melayu bersatu, dia tidak
lupa rakan-rakan atau orang lain untuk mengecapi kejayaan sehinggakan
kita bawa bersama bangsa lain untuk mencapai kemerdekaan.
Itulah formulanya iaitu Melayu bersatu.
Sekarang apabila ada usaha mencantumkan kembali parti-parti Melayu untuk
menjadi kuat, ia akan membawa kebahagiaan, kemakmuran dan kesejahteraan
kepada negara secara keseluruhannya.
Formula itu evergreen, tidak salah kita
menggunakan strategi dahulu, ia bukan sebarangan strategi, ia sudah
diuji dan terbukti keberkesanannya.
Ada pihak melihat kerjasama ini rasis?
Formula kita bukan formula baharu. Formula
ini yang tested, proven, good. Kita merdeka selepas apa? Persoalannya?
Saya nak tanya kepada semua bangsa lain, ketika negara ini merdeka pada
1957, selepas apa?
Adakah selepas Melayu berpecah-belah atau
selepas Melayu digabungkan keseluruhannya? Sekarang apabila Melayu
bersepah-sepah, macam ini keadaannya negara kita ditadbir. Adakah ini
bagus? Saya tidak nampak kebaikannya? Krisis kaum bertambah-tambah.
Saya
tidak mahu melihat orang Cina tak suka Melayu, orang Melayu benci orang
Cina. Saya nak lihat seperti 1957, setelah Melayu bersatu, kita bawa
bersama orang Cina, orang India merdeka bersama.
Kita bentuk Perlembagaan, kita bincang, bukan
kita main reka-reka. Jadi perkara ini nak diulang balik, kena
sepakatlah. Tengok balik sejarah orang Melayu macam mana. Adakah kita
benci bangsa lain? Tidak.
Ada pihak membayangkan PRU-15 mungkin akan dipercepatkan atas faktor politik, apa komen Datuk?
Hentikan berkira-kira tahun depan nak bubar
Parlimen. Buat kerja, fokus kepada apa kita nak buat. Kalau kita nak
menang, kita buat kerja mengikut rangka. Ini lebih baik daripada
berkira-kira esok, lusa pilihan raya dan sebagainya.
Fokus kepada agenda utama iaitu untuk menang
PRU. Kalau sudah ada 50 % daya usaha sekarang, bila PRU, kita tambah
lagi 20 hingga 30 % daya usaha kita, kalau kita asyik berkira-kira
tetapi kerja tak buat macam mana nak menang?
Apa nasihat Datuk kepada pemimpin dan ahli UMNO?
Kita mesti sepakat supaya ahli-ahli memandang
kita sebagai kumpulan yang boleh diyakini dan bergerak secara bersama.
Kita tidak boleh bergerak dalam silo.
Kita mesti bekerja secara berkumpulan. Ini
memerlukan keakraban dan keyakinan serta saling mempercayai. Keduanya,
jika ahli mahukan perubahan, mereka juga harus bersatu dan wala’ kepada
pemimpin.
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.