https://critoxium.com/shop/

Terkini

Darah kita sama-sama merah

Oleh DR MOHD TAJUDDIN MOHD RASDI

DALAM kolum ini saya ingin menghantar satu pesanan yang penting mengenai kebimbangan sejagat yang boleh memberi suatu perspektif baharu terhadap pergolakan perkauman dan konflik keagamaan dalam masyarakat kita masa kini. Tragedi dahsyat oleh asap yang beracun di Sungai Kim Kim dari sungai yang tercemar adalah peringatan kepada isu ini. Bagaimanapun, sebelum menyentuh isu ini, saya ingin menceritakan sebuah anekdot peribadi yang telah menjadi tajuk kepada artikel ini.

Lebih kurang 10 tahun yang lalu, saya telah mengalamai pendarahan dalam perut yang menyebabkan saya membuang air besar dengan darah merah dan darah hitam. Syukur pada ALLAH saya telah pergi ke hospital swasta dan terus mendapat perubatan selama tujuh hari, ‘diikat’ pada katil hospital dengan titisan ubat. Pada hari ketiga di hospital, doktor memesan empat paket darah untuk diberi kepada saya kerana saya telah kehilangan banyak darah akibat pendarahan dalam perut.

Apabila paket darah yang pertama diterima dan disiapkan untuk dimasukkan ke dalam badan, dengan secara melawak saya telah bertanya pada doktor saya, seorang doktor Cina yang pendiam dan lembut berbicara: “Doktor, boleh saya tahu sama ada darah ini darah orang Cina, India atau Melayu?”

Sebagai seorang yang tidak kisah akan identiti sosial, keagamaan atau politik, soalan saya agak menarik pada saya kerana ia mempunyai kepentingan yang hebat dalam politik dan kerohanian.

Doktor tersenyum dan menjawab dengan berhati-hati bahawa identiti kaum pada setiap paket darah tidak diketahui kecuali darah jenis O, A atau AB dan sebagainya. Selepas empat paket darah dimasukkan ke dalam tubuh saya, saya telah mendapat satu ilham yang menarik! Saya terfikir, jika empat paket darah yang dimasukkan ke dalam tubuh saya adalah daripada orang Cina, India, Kadazan dan orang asli, maka tubuh saya adalah sebenarnya... 1 Malaysia!

Selepas beberapa bulan apabila saya bertambah sihat tanpa kesan sampingan daripada darah yang dimasukkan ke dalam tubuh saya, saya terfikir sendiri... jikalau darah yang dimasukkan ke dalam tubuh saya daripada orang yang minum arak, makan daging babi dan mungkin seorang LGBT, adakah itu akan membuatkan saya kurang kerohanian dalam ‘Islam’ dan merosakkan peluang saya ke syurga?Konflik

Jikalau ada satu agama yang mempunyai pemikiran begitu, di mana menerima derma darah boleh membawa kepada kurang keagamaan dan menyebabkan konflik dalam kerohanian, saya rasa saya tidak mahu dengan agama itu. Adalah sesuatu yang lucu bagi saya untuk memikir bahawa industri ‘halal’ telah mendapat sambutan yang hangat daripada orang Islam dan menjadi satu industri ekonomi yang hebat tetapi ubat-ubatan serta perpindahan darah menjadikan perkara tersebut agak tidak terlalu relevan.

Pencemaran yang mengejutkan di Sungai Kim Kim telah menarik perhatian saya iaitu seorang yang kritikal terhadap pengurusan negara ini. Setakat ini, 2,000 orang telah mendapat rawatan. Bagaimana jika terdapat 2,000 kematian? Bagaimana jika kebanyakan mereka adalah anak-anak kita?

Saya berasa lega apabila Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengambil tindakan tegas dengan menutup sekolah terlibat kerana beliau bimbang akan keselamatan pelajar di sekolah-sekolah itu.

Pencemaran di Sungai Kim Kim haruslah merujuk bukan sahaja sebagai isu alam sekitar tetapi lebih kepada kebimbangan asas bersama bagi kita rakyat Malaysia, tidak kira kaum atau agama. Pencemaran itu disebabkan oleh ahli kapitalis yang tidak bertanggungjawab yang mahu menjimatkan wang dengan tidak merawat sisa kimia. Adakah mungkin syarikat yang terlibat datang daripada satu kaum sahaja?

Bagaimanapun, sebelum UMNO atau Pas mula bercakap tentang keburukan orang bukan Islam dalam kapitalisme, kita harus juga menyoal siapakah pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab untuk kesejahteraan semua penduduk di bawah bidang kuasa mereka? Adakah kelalaian mereka dalam pemantauan, ketidakcekapan dalam mentadbir menjadi punca utama tragedi dahsyat itu?

Saya masih ingat isu perlombongan bauksit di Pahang di mana seluruh kampung yang berdekatan dengan lombong itu bertukar menjadi seperti perkampungan di planet Marikh. Saya juga teringat akan kematian beberapa kanak-kanak yang terjatuh ke dalam kolam bauksit yang terbuka. Di manakah pihak berkuasa dan siapakah pengurus lombong itu?

Orang Malaysia dan terutama sekali orang Islam harus melihat bahawa terdapat banyak isu penting yang perlu diperhatikan selain daripada identiti agama atau kaum untuk kesejahteraan anak-anak kita semua. Rasuah telah menjadi penyakit yang biasa. Kesihatan dan kesejahteraan kita serta keselamatan kanak-kanak adalah tanggungjawab kita tidak kira kaum, agama atau kecenderungan politik.

Darah kita sama-sama merah. Ia tidak berubah dengan hanya kerana kita orang Islam, Kristian atau India dan lain-lain. Kebimbangan terhadap keselamatan anak-anak kita adalah masalah kita semua bersama.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.