https://critoxium.com/shop/

Terkini

Daripada serangan terhadap Azmin kepada kembalinya Zahid

Oleh Timmy Say

Di saat nyawa politik Azmin Ali masih di tahap nyawa-nyawa ikan ekoran serangan video seks homoseksual, Presiden Umno, Zahid Hamidi dengan gagahnya kembali bertugas meskipun beliau dihadapkan sekali lagi ke mahkamah atas tuduhan rasuah minggu lepas.

Hal ini berlaku selepas pelantikan Latheefa Koya, bekas ahli PKR sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Sejurus Latheefa dilantik, video seks Azmin tersebar. Tidak lama selepas itu, Zahid menjadi jerung pertama yang diheret ke mahkamah oleh SPRM di bawah Latheefa.

Pada masa sama, pemimpin PKR bernama Haziq Aziz yang mengaku dirinya meniduri Azmin tampil tanpa sekatan sehinggakan merayu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengambil tindakan terhadap Azmin.
Jalan cerita Haziq nampaknya tidak sehebat Saiful Bukhari Azlan. Meskipun ada video yang menggemparkan dunia WhatsApp, namun liku ceritanya sangat teruk. Pengakuan Haziq pada hari pertama tanpa sebarang rasa malu sambil menggesa Azmin disiasat SPRM membongkarkan serangan ini dirancang dengan rapi.

Mesti ada pihak yang begitu yakin kerjaya Azmin akan dapat dibunuh melalui pengakuan Haziq. Namun kini semua kelam-kabut apabila PH berjaya mengalihkan pandangan kepada isu lain.

Apapun, nyawa politik Azmin kini di tangan polis. Ini kerana satu hari nanti, polis perlu mengesahkan sama ada video seks itu palsu ataupun tidak. Jika disahkan benar, habislah Azmin dan PKR bakal berpecah. Jika disahkan palsu, tunggulah serangan seterusnya sehingga PKR berpecah.
Persoalannya jika Azmin jatuh, siapa dapat manfaat terbesar? Jika PKR berpecah, siapa untung?

Kedua-dua soalan ini mendedahkan betapa rumitnya strategi politik yang sedang dimainkan hari ini.

Menariknya, ketika semua ini berlaku, Presiden PKR Anwar Ibrahim pula disibukkan dengan ura-ura tidak enak mengenai proses peralihan kuasa yang dijanjikan Mahathir kepada beliau.

Beliau terpaksa mengulang-ulang jawatan perdana menteri akan diserahkan kepada beliau satu hari nanti kerana ia satu janji. Mahathir pula mengulang-ulang beliau akan mengotakan janjinya kepada Anwar tanpa menetapkan sebarang tarikh. Kadang-kadang 2 tahun, kadang-kadang 3 tahun dan kadang-kadang macam tiada tempoh.

Proses peralihan kuasa ini memang cukup hebat peliknya di mana seorang bakal perdana menteri langsung tidak diberi tempat dalam pentadbiran negara sehingga hari ini. Sesiapa yang berfikiran kritis akan merasakan ada sesuatu tidak kena. Tapi Anwar dan Mahathir tetap berkata segalanya “okay”, tanpa sebarang komitmen bila ia akan berlaku.

Baru-baru ini Anwar hilang sabar lalu menyerang media yang terlalu fokus pada isu peralihan kuasa, lalu menimbulkan persepsi ia mungkin tidak akan berlaku sepertimana yang dihasratkan.

Rancangan politikus yang kemaruk kuasa semakin sukar dibaca. Apakah tujuan Zahid kembali bertugas sebagai presiden Umno secara tiba-tiba ketika beliau sarat dengan dakwaan rasuah di mahkamah? Di saat Zahid pulang berkhidmat, mengapa Najib Razak tiba-tiba menyeru ahli Umno jangan biarkan beliau berjuang keseorangan? Semua ini tidak mungkin kebetulan.

Di sebelah Pakatan Harapan pula, kenapakah Haziq dibiarkan terus menyerang Azmin di pelbagai media, malah diberi liputan temuramah oleh pelbagai akhbar? Kenapa PKR masih membiarkan Haziq menjadi ahli parti sedangkan dakwaannya memusnahkan imej PKR dan timbalan mereka?

Kenapakah tiada pimpinan PH yang sudi menghantar video itu dianalisis di luar negara sepertimana mereka mengambil tindakan terhadap klip audio?

Persoalan lebih besar ialah kenapa Latheefa dilantik sebagai pesuruhjaya SPRM oleh Mahathir tanpa dibincang? Apakah misi beliau seterusnya setelah mendedahkan 41 penerima wang 1MDB dan mendakwa Zahid? Apa yang sedang difikir Mahathir? Jika beliau serius mahu menyerahkan jawatan PM, kenapa tidak diletakkan tempoh sedangkan beliau sedar masanya semakin singkat?
 
Politik ini seni segala kemungkinan.

Jangan terkejut sekiranya jawatan perdana nenteri ini jatuh kepada Shafie Apdal ataupun Hishamuddin Hussein pada akhirnya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.