https://critoxium.com/shop/

Terkini

Apabila Zahid kembali menggalas tugas presiden Umno

Oleh Zin Mahmud

Pada Ahad lalu, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa beliau menamatkan cutinya yang bermula 18 Disember lalu untuk kembali bertugas sebagai presiden Umno.

Dalam kenyataannya, beliau mengingatkan bahawa genap setahun lalu beliau telah dipilih untuk memimpin parti itu apabila menang pemilihan jawatan presiden dengan mengalahkan Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin.

Sementara timbalan presiden Umno yang selama ini memangku tugas presiden, Mohamad Hassan dengan segera menyatakan beliau mengalu-alukan pengumuman Zahid itu.

Kembalinya beliau daripada cuti ini membawa makna besar pada Umno. Ini kerana ia merupakan penegasan Zahid bahawa bukan saja beliau tidak ada hasrat hendak berundur, tetapi peranannya akan diserlahkan sepanjang penggal kepresidennya dalam parti itu.
Zahid dan politik kelompok dalam Umno

Kedudukan beliau buat masa ini adalah suatu yang unik dalam sejarah Umno. Ketika mana beliau mendapat sokongan jelas daripada ahli parti itu, Zahid pula sedang menghadapi banyak tuduhan di mahkamah.

Malah keputusan beliau bercuti dahulu itu adalah untuk memberi ruang terhadap siasatan ke atasnya. Kes beliau yang belum selesai itu bagaimanapun tidak menghalangnya untuk kembali menggalas jawatan parti.

Ini kerana, adalah jelas beliau tidak mahu melepaskan tanggungjawabnya itu, lebih-lebih lagi memandangkan ia merupakan mandat daripada ahli Umno. Iaitu, walaupun kedudukan Zahid berhubung dengan perbicaraan mahkamah yang dipercayai akan mengambil masa, pastinya meletakkan parti dalam keadaan politik sukar.

Dalam keadaan ini tentunya pandangan yang pelbagai timbul dalam parti terhadap kedudukan beliau. Pandangan yang bertentangan ini boleh mencerminkan wujudnya kelompok dalam parti.

Kelompok atau fraksi adalah suatu lumrah dalam politik dan parti. Dalam keadaan aman dan kuat, kelompok tetap muncul, apatah lagi dalam kedudukan Umno sekarang yang rapuh.

Kerapuhan ini tercermin dengan sebahagian ahlinya meninggalkan parti untuk menyertai PPBM dengan sebahagian kecil pula ada yang mengikut Parti Bumiputera Perkasa Malaysia atau Putra pimpinan Ibrahim Ali.

Namun kebanyakan ahli dan penyokong tetap bersama Umno walaupun parti itu kehilangan kuasa dengan pemimpin utamanya pula sedang berhadapan himpunan tuduhan.

Harapan Pengerusi BPPBM, Dr Mahathir Mohamad bahawa parti beliau akan bertambah kukuh dengan penyertaan orang Umno tidak tercapai.

Sebaliknya, banyak orang dalam Umno dan penyokongnya melihat nasib parti itu sekarang adalah sesuatu yang sementara. Apa yang dihadapi oleh Zahid dan ahli Umno yang menghadapi pelbagai pertuduhan itu adalah suatu tekanan bermotifkan politik.

Pertuduhan mahkamah sebagai tekanan politik

Apabila Umno memperoleh semula kuasa kelak, pemimpin mereka akan dapat dilepaskan.

Penyokong Umno berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan hanya dapat bertahan sepenggal.
Jadi bagi mereka, tidak ada sebab untuk menyertai PPBM.

Tetapi terdapat pandangan lain, sama ada dalam Umno atau luar, ada yang menghendaki parti itu menjarakkan diri daripada pemimpin yang bermasalah, khususnya pemegang jawatan.
Dalam hal ini, mereka mahukan Umno menjarakkan diri daripada Najib Razak, Zahid dan pemimpin lain yang menghadapi tuduhan di mahkamah.

Antara mereka inilah yang dalam pemilihan tahun lalu memilih lawan Zahid ialah Tengku Razaleigh dan Khairy Jamaluddin. Tetapi ketika itu, pertuduhan terhadap Zahid belum timbul.

Namun begitu, undi yang menentang Zahid itu berpecah 2, antara Tengku Razaleigh dan Khairy. Sementara yang menyokong Zahid sebagai lanjutan kepada Najib adalah padu.

Begitu juga, tokoh yang mampu menentang Zahid seperti Hishammuddin Hussein dan Mohamad Hassan memilih untuk bersama Zahid. Mohamad bertanding hanya sebagai timbalan.

Tetapi banyak kalangan yang mengharapkan beliau bertanding jawatan tertinggi dan dilihat mampu membawa parti keluar daripada dikaitkan dengan pertuduhan yang dihadapi Zahid.

Strategi parti sejak setahun lalu kelihatan berubah-ubah.

Pada awalnya, Najib terus menampilkan diri, yang dapat dilihat melalui kempen pilihan raya kecil (PRK), kemudian mereka mengambil sikap untuk tidak menonjolkan beliau.

Kemudian Najib muncul semula, tetapi Zahid yang tidak kelihatan pula. Apabila Mohamad Hassan menang PRK Rantau, beliau kelihatan menonjol. Kini, ketiga-tiga pemimpin itu, Najib, Zahid dan Mohamad Hassan terus menjadi wajah Umno.

Kerjasama Umno-PAS dan polarisasi kaum

Tetapi strategi kerjasama Umno-PAS semakin kukuh. Acara yang mengukuhkan lagi kerjasama melalui program yang dinamakan Perpaduan Ummah terus diadakan.

Tidak semua pihak menyokong kerjasama ini yang boleh menampakkannya sebagai polarisasi kaum dan agama, yang mengheret naratif kepada sudut rasisme dan kelompok.

Namun secara umum kini, kebanyakan penyokong Umno dan PAS dapat menerima kerjasama ini dan meletakkan harapan bahawa strategi ini akan dapat membawa kedua-dua parti ke tampuk kuasa dalam pilihan raya umum akan datang.

Strategi kerjasama Umno-PAS ini sendiri berasal daripada Najib ketika beliau mula menjadi presiden parti selepas Abdullah Ahmad Badawi. Kerjasama ini juga mendapat sokongan kuat Zahid yang kelihatannya akan meneruskannya hingga pada pilihan raya umum akan datang.

Dalam keadaan sekarang, kesan daripada kekuatan pakatan kerjasama Umno-PAS masih belum menampakkan hasil besar.

Namun begitu, kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dalam beberapa PRK sebelum ini menunjukkakerjasama ini mampu memberi kesan. Sama ada ia akan membawa kejayaan pada PRU tentunya tidak dipastikan.

Tetapi yang ternyata, perkembangan setahun ini, termasuk pertuduhan yang dihadap oleh Najib, Zahid dan pemimpin Umno memukul reputasi parti itu. Jika soal integriti yang dibincangkan, pasti Umno sudah tiada tempat.

Isu kaum dan integriti

Tetapi apabila Umno memainkan isu kaum, maka kedudukannya ternyata relevan. Kerjasama PAS yang memainkan isu agama juga membantu Umno. Ini lebih-lebih lagi apabila ada pihak dalam PAS yang menyatakan bahawa iman adalah lebih penting daripada integriti. Ditambah pula apabila dinyatakan bahawa kerajaan PH “wajib” ditumbangkan.

Sama ada ada strategi ini akan membawa kemenangan kelak tidak diketahui. Tetapi jika kebanyakan pengundi tetap mengutamakan integriti dan menolak naratif Umno-PAS, maka mereka tidak akan berjaya.

Bagaimanapun jika kerajaan PH tersalah langkah dan banyak membuat kesilapan, maka kebanyakan pengundi akan beralih sokongan mereka pada Barisan Nasional-PAS bukan sangat kerana sikap mendokong kedua parti, tetapi lebih kepada perasaan hampa tehadap prestasi PH.

Jika BN-PAS dapat menang kerana kesilapan PH, maka kemenangan itu adalah suatu yang mengecewakan negara. Ini kerana memberi sokongan kepada BN-PAS adalah juga menerima pendekatan kaum dan agama mereka.

Bukan itu saja, malah ia juga bermakna, segala aspirasi Malaysia Baru dari segi integriti tidak diberi perhatian oleh kebanyakan rakyat.

Semangat Malaysia Baru tentu mengharapkan negara ini bebas daripada korupsi dan selanjutnya menjunjung integriti. Untuk menerima kembali budaya korupsi setelah berusaha membanteraskannya, pasti tidak dapat diterima oleh banyak orang,

Daripada pengalaman sepanjang 61 tahun lalu, ternyata banyak perbuatan korupsi dilakukan di sebalik retorik kaum dan agama. Selagi minda rakyat tidak dibersihkan untuk bebas korupsi, maka keburukan lalu akan berulang.

Budaya bebas korupsi bukan saja perlu ada dalam kerajaan, tetapi juga pada parti politik, termasuk mereka yang pernah memegang kuasa.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.