https://critoxium.com/shop/

Terkini

Tahniah Maszlee, Kementerian Pendidikan

Oleh Adam Fazery

Selepas tempoh selama hampir 8 tahun, Kementerian Pendidikan di bawah kepimpinan Maszlee Malik dan kerajaan baru mengambil satu keputusan yang tegas untuk tidak meneruskan perkhidmatan 1BestariNet yang disediakan oleh YTL Communications.

Tahniah dan syabas.

Kita tidak perlu menyenaraikan sebab-sebab yang kemungkinan membawa keputusan tersebut.

Mengikut pengumuman dibuat baru-baru ini kementerian akan melantik vendor baru mulai 1 Januari 2020. Meskipun penyedia perkhidmatan 1BestariNet menawarkan perkhidmatan bagi tempoh 6 bulan sehingga Disember ini, tetapi menteri pendidikan memutuskan sebaliknya. Tidak menyambung perkhidmatan sedia ada, yang akan berakhir hari ini.

Sebab-sebab kepada keputusan itu tidak diumumkan kepada umum. Sudah pasti menteri pendidikan dan kementerian ada sebab-sebab tersendiri apabila bertindak mengambil keputusan itu.
Apabila kementerian mengumumkan keputusan menerusi kenyataan media pada 27 Jun lalu, ramai nampak gembira dan menyambut baik pengumuman itu, termasuk komen di media sosial.

Bermakna pengguna yang sebahagian besarnya terdiri daripada guru dan murid sedia mengetahui sebabnya. Mereka tahu apa yang terbaik yang diperlukan.

Rekod umum menunjukkan kerajaan sebelum ini menghabiskan berbilion ringgit bagi menyediakan sistem talian internet di sekolah. Tetapi pemulangan kepada pelaburan tidaklah begitu memuaskan dan tidak mencapai apa yang dihasratkan.

Mulai esok, perkhidmatan talian internet ke sekolah di seluruh negara akan dibekalkan oleh Telekom Malaysia Bhd, Celcom Axiata Bhd dan Maxis Broadband Sdn Bhd. Kementerian akan memilih penyedia perkhidmatan internet yang baru bagi tempoh mulai 1 Januari 2020 selepas melakukan penilaian dan penambahbaikan yang diperlukan. Kementerian Pendidikan turut memaklumkan kontrak perkhidmatan 1Bestarinet yang membantu menyediakan talian internet dan aplikasi persekitaran pembelajaran virtual (VLE) kepada 10,211 sekolah di seluruh negara selama 7 tahun sejak 2012 akan tamat hari ini.

Susulan berakhirnya perkhidmatan 1BestariNet Fasa 2, kementerian berkata pihaknya juga memutuskan untuk mengguna pakai pelantar pembelajaran Google Classroom (GC) bagi menggantikan Frog VLE.

Kerajaan Pakatan Harapan yang berjanji akan mengutamakan kepentingan rakyat dan pentadbiran yang bersih perlu mengkaji semula penyediaan dan penyampaian perkhidmatan talian internet.

Selepas lebih 2 dekad internet menjadi sebahagian daripada hidup rakyat Malaysia, kita perlu berani dalam memastikan perkhidmatan berkualiti disediakan bagi sekolah pada harga yang munasabah.

Iltizam politik perlu ditegakkan dalam menyediakan perkhidmatan yang bebas kroni dan tidak
mengutamakan poket syarikat, korporat serta individu. Syarikat berkaliber perlu dipilih menerusi sistem tender terbuka.

Sudah tiba masa untuk kerajaan mengutamakan kepentingan dan masa depan pendidikan anak bangsa kita.

Maszlee memperlihatkan iltizam politik selepas setahun mengetuai Kementerian Pendidikan. Saya yakin beliau akan meneruskan pendirian tegas selepas ini, selepas tempoh 6 bulan ini dalam memilih syarikat yang betul-betul mengutamakan kepentingan rakyat. Kita tidak menafikan syarikat menyediakan perkhidmatan mereka untuk membuat keuntungan. Itu lumrah dunia perniagaan. Tetapi jangan sampai kita abaikan kepentingan pengguna dan kepentingan rakyat.

Sudah tiba masa untuk membuat satu lagi pendirian berani.

Rakyat ingin melihat perkhidmatan internet berkualiti tinggi sementara kita sedang melalui IR 4.0 dan bakal menikmati generasi ke-5 perkhidmatan telekomunikasi.

Harapan buat Kementerian Pendidikan dan Maszlee – buatlah yang terbaik demi rakyat. Utamakan guru, murid dan sekolah dalam melaksanakan slogan “pendidikan untuk semua”. Rakyat di belakang jika keputusan terbaik dan yang tidak mengetepikan kepentingan rakyat dibuat. Gunakan tempoh 6 bulan ini untuk membuat kajian yang mendalam. Jangan sampai “nasib” lalu berulang. Ini harapan rakyat.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.