https://critoxium.com/shop/

Terkini

'Walaupun saya dianggap bencana paling besar buat orang Melayu...' - Kit Siang

KUALA LUMPUR: Semua pihak termasuk kerajaan, bertanggungjawab dalam mengangkat martabat sastera dan seni pelbagai bahasa di negara ini sebagai warisan  yang perlu dipelihara.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang, berkata justeru itu sokongan perlu terus diberikan terhadap penggiat sastera dan seni untuk memastikan warisan negara itu terus hidup.

“Kerajaan dan parti politik juga tidak terlepas daripada tanggungjawab ini. Dengan kesedaran ini saya dan parti menyokong penuh keputusan kerajaan untuk memberi pengiktirafan sewajarnya kepada para sasterawan negara baru-baru ini.

“Kami juga berharap kerajaan terus memberi sokongan dan dorongan buat seni dan sastera dalam pelbagai bentuk selepas ini.
"Seni tidak wajar diketepikan, ini tanggungjawab kita bersama dalam membina sebuah negara bangsa Malaysia,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Meraikan Penggiat Seni dan Sastera di sini hari ini.


GAMBAR ASTRO AWANI

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Sasterawan Negara, Datuk Seri A. Samad Said dan beberapa penggiat seni tanah air.

Jelasnya, mana-mana bahasa tanpa sastera dan seni akan menjadi bahasa yang layu dan akhirnya mati.

“Keindahan bahasa Melayu sama seperti bahasa lain yang wujud di dunia ini yang terbit daripada karya-karya yang dihasilkan sejak zaman berzaman,” ujarnya.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menambah, mana-mana individu digalakkan supaya mempelajari bahasa lain tanpa meminggirkan bahasa Melayu.

“Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa tiba-tiba seorang wakil rakyat seperti saya mahu meraikan Aidilfitri bersama dengan penggiat seni dan sastera.

“Apatah lagi kalau ikut dakyah seteru politik kami, sayalah bencana yang paling besar dalam negara buat orang Melayu.

“Kami menjunjung apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu kedudukan bahasa Melayu sebagai Kebangsaan,” katanya.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.