"Sedang rancak dengan isu perkauman dalam media sosial ni, aku sibuk menelaah buku-buku sebagai pedang untuk berjuang.
"Satu
perkara menjadi persoalan: Adakah polemik kebencian ini akan membawa
negara kepada harmoni?" tulis Afif di Facebooknya semalam.
Dia
lelaki rumah tangga dari Kedah yang cekal menemani isterinya bertugas di
kawasan pedalaman Sabah. Mereka tekun mendepai dengan pelbagai cabaran
hidup di situ sambil-sambil berharap Kementerian Pendidikan bersimpati
dengan apa yang sedang dihadapi.
"Isu tulisan Jawi, Dong
Zong, Zakir Naik, bendera terbalik, kuil dirosakkan, masjid dibakar -
semua itu adalah racun perkauman yang membunuh kewarasan masyarakat.
Masing-masing menunjuk taring," tulisnya lagi.
Kegigihan
pasangan itu selalu mengingatkan saya kepada Dr Maszlee Malik yang
memimpin Kementerian Pendidikan di era Malaysia Baru ini.
Selain
bersimpati kepada nasib para guru duka lara yang masih belum diatasi
ini, ada keperluan lain yang turut mendesak perlu diperhatikan
Kementerian Pendidikan.
Dalam keadaan semasa yang serba
menyesakkan perut ini, terfikir juga kalau-kalau Maszlee dapat berbuat
sesuatu agar pembelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris memberi
penekanan yang lebih kepada aspek kefahaman.
Dr Maszlee Malik
Sebahagian
besar daripada isu yang sedang dihadapi kini berpunca daripada
kegagalan masyarakat memahami dengan sepenuhnya apa yang berlaku. Atau
mungkin juga sengaja enggan memahami.
Isu Zakir misalnya.
Sebahagian kita membuat kefahaman pukal bahawa semua orang Islam wajib
bersama-sama pendakwah dari India itu. Wajib. Tidak boleh tidak. Jangan
berkata "uh!" pun
.
Cuma ada dua pilihan
Sedangkan
dalam kalangan orang yang bersikap sedikit kritikal itu, mereka masih
bersama-sama dengan Zakir. Cuma mereka tidak setuju apabila Zakir campur
tangan (dan campur cakap) dalam isu politik domestik.
Ketika keadaan sedang panas Zakir mengipas bara di Stadium Sultan Muhammad IV pula.
Walaupun
Zakir sudah beberapa tahun tinggal di Malaysia ini, dipercayai belum
cukup mendalam lagi pengetahuan dia mengenai sepak terajang politik
perkauman di Malaysia. Jika mendapat keterangan tambahan, siapa pula
yang menyalurkan maklumat tersebut?
Dr Zakir Naik
Memanglah
Zakir itu manusia yang hebat. Tetapi jangan sampai kehebatannya itu
membuat mata kita kabur dan menganggap dia sempurna. Ulama-ulama yang
membela Zakir sekarang pun ada sebahagiannya menggunakan hujah sama
ketika mengkritik sesetengah perawi atau sanad hadis, atau ulama besar
semasa memberi kuliah.
Malangnya kefahaman itulah yang gagal dicerna dengan baik.
Bagi
sesetengah orang - terutama pemimpin politik pembangkang - di lidah
mereka tidak ada lebih daripada dua pilihan. Hitam atau putih. Sokong
atau benci. Beriman atau munafik.
Keadaan itu mengingatkan kita
kepada kata dua pernah diberikan George Bush semasa mengabsahkan
pencerobohan tentera AS di Iraq pada 2003 dulu.
Di mata - dan lidah - Bush, masyarakat dunia hanya ada dua pilihan: bersama "us" atau "others".
George Bush Sr bersama anaknya, George Bush Jr
Tetapi
mungkin jugalah di Malaysia ini, sedikit sebanyak tempias pengaruh itu
ada juga. Maklumlah, berkawan kamceng dengan CIA....
Sama halnya
dengan isu Utusan Melayu bergelut untuk bernafas. Ketika syarikat itu
kelihatan seperti ikan yang terdampar di atas tanah, penyelesaian yang
terfikir oleh kebanyakan orang ialah menggerakkan kempen membeli akhbar.
Kalau
kena caranya, memanglah. Daripada puluhan juta umat Malaysia ini,
beberapa peratus yang sanggup membeli akhbar itu akan memberi nyawa
lanjutan buat syarikat yang berkali-kali disaman - dan kalah - oleh
pemimpin Pakatan Harapan.
Tetapi itu adalah langkah yang tepat pada 10 tahun lepas.
Dalam
keadaan sekarang, membeli akhbar bukanlah jawaban paling tuntas untuk
menyelamatkan syarikat akhbar bersejarah itu. Sama halnya dengan
mengumpul derma untuk membantu pekerja Utusan Melayu.
Ia hanyalah jalan keluar untuk jangka pendek. Sedangkan Utusan Melayu memerlukan penyelesaian jangka panjang.
Ketika
industri persuratkhabaran seluruh dunia sedang berada di rumah hospis,
bagaimana umat Melayu Malaysia boleh diajak membeli akhbar ini? Kalau
ada pun, ia adalah penyelesaian berantai yang memakan masa lama untuk
berjaya.
Cuma diburu jika ada nilai
Ini yang dimaksudkan gagalnya memahami keadaan semasa.
Kecualilah
kesukaran itu memang disengajakan agar orang ramai membeli akhbar itu
yang gigih dengan agendanya yang tersendiri dan propaganda yang
dihidangkan akan menyerap dalam fikiran pembaca sedikit demi sedikit.
Ia mungkin sesuai untuk penyokong PAS. Cuma, tidak banyak yang boleh diharapkan kepada mereka kerana akhbar Harakah sendiri nasibnya tidaklah lebih baik berbanding Utusan.
Ketika
orang ramai diseru menggunakan kuasa pengguna untuk mendapatkan produk
yang terbaik, tiba-tiba kuasa pengguna yang besar itu dilayukan agar
mereka melanggan akhbar terbitan Utusan Melayu?
Pengguna memiliki
kehendak dan ia akan mencorakkan pasaran. Dan pasaran semasa enggan
menerima corak berita Utusan Melayu yang kelihatan gagal berubah banyak
selepas terbitnya matahari Malaysia Baru.
Jika ramuan itu diubah
secara automatik selera masyarakat akan bertukar menjadi lebih berahi
kepada berita mereka. Jika tidak membeli akhbar pun, mereka akan
melayani atau melanggan perkhidmatan dalam talian Utusan.
Sekarang
ialah zaman digital. Bahan bacaan bercetak hanya akan diburu jika ia
bersifat sentimental, monumental dan prestij. Keadaan berubah dan
manusia hanya akan berjaya jika turut berubah.
Perubahan itu jugalah yang perlu ada pada pendakwah dan penceramah kondang kita. Ketabahan dan sifat sedar diri itu perlu ada.
Bukanlah
mereka angkuh atau riyak. Hal itu rasanya boleh dipolemikkan lain kali.
Maksud sedar diri itu ialah, mereka kena faham sekarang ini dunia
bergerak atas teknologi dan maklumat terkini.
Menadah kitab bukan lagi
mesti dengan helaian kertas bersama mata pena, tetapi peranti yang
canggih.
Maklumat disampaikan dan dicerakin bukan lagi sehala. Ia
hanya benar semasa khatib menyampaikan khutbah. Selebihnya, ia bersifat
pelbagai hala.
Maka pendakwah perlu bertabah apabila ada tulisan
mereka dipersenda, atau mereka secara peribadi dicerca. Tidak ada
pilihan kecuali bertenang dan beristighfar jika perlu.
Jika tidak,
malulah kalau tidak dapat menahan perasaan ketika mereka - pendakwah
terbabit - dari semasa ke semasa menyampaikan sirah Rasulullah yang
berdepan dengan pelbagai dugaan semasa menyampaikan Islam.
Bukanlah
Rasulullah itu suri teladan? Mengapa pendakwah kini mudah 'koyak'
perasaannya ketika membaca komen-komen di media sosial yang membahaskan
wacananya?
Sedangkan
dia perlu faham, ada kemungkinan pencerca tulisannya itu mungkin laskar
siber yang sengaja diupah untuk mematikan semangatnya? Lebih daripada
itu, ia mungkin dirancang agar kebencian antara kaum semakin hangat.
Cuma
perlu juga difahami, bara perkauman itu bukanlah ulah laskar siber
semata-mata. Beberapa pihak juga lihai memainkannya dengan pelbagai
rupa.
Ketika sebahagian daripada rakyat negara ini dididik agar
menundukkan semangat perkauman, kini ada kumpulan tertentu memugarnya
semula.
Sentimen yang jahat itu dipakaikan jubah dan serban untuk
dibawa ke masjid-masjid. Dan jadilah sesetengah rumah ibadah itu sebagai
pusat menyemai kebencian di antara kaum. Sedang Islam itu rahmat
sifatnya.
"Mari kita lihat sejauh mana api kebencian itu baru dapat dipadamkan puluhan tahun lagi.
"Mari kita tengok apakah dengan ketakutan itu dapat mengamankan sebuah negara merdeka?
"Mungkin
tahun ini kita tak perlu sambut merdeka, atau perlukah kita sambut
dengan darah dan air mata?" tulis Afif sambil melayan perasaannya di
Kudat.
Sayup-sayup, dari jauh si Afif itu menjentik perasaan kita yang mahu berfikir.
Untuk
pemberi komen dan bakal pemberi komen pula, bolehlah mula melontarkan
pandangan seadanya. Kutuk pun tidak mengapa, sebab apalah sangat kutukan
di media sosial berbanding mehnah dan tribulasi yang dihadapi para pendakwah terdahulu.
Cuma
sebagai pejuang Melayu, pastikan kamu menulis dan mengeja ayat bahasa
Melayu dengan betul. Kalau tidak, malu pada budak-budak darjah empat tu.
AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang teringin melihat ustaz-ustaz bertanjak semasa menangkap ikan di lautan.
Memarakkan bara perkauman
Reviewed by editorreformis
on
Ogos 22, 2019
Rating: 5
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.
KIRA-KIRA tiga hari sebelum hari pengundian, bahang kerancakan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 semakin terasa. Pada saat ini, k...
Bicara Islam
Comments
Recent Comments:
Recent Posts
Email
Teknologi
Wawancara
Notis
Sebarang kemusykilan,cadangan,teguran,kritikan dan sumbangan artikel srta pertanyaan boleh hubungi pihak kami di Email :denyutreformasi@gmail.com
Jumlah Paparan Halaman
PERINGATAN : Apa jua yang disiar dalam web/blog ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan web denyutan Reformasi.Kami tidak bertanggungjawab atas komen pembaca. Ia adalah pandangan peribadi pembaca dan tidak mewakili pandangan dan pendirian kami. Pihak kami berhak memadam komen yang tidak wajar atau dianggap keterlaluan.Mungkin ada bahan yang tidak begitu menyenangkan. Berfikirlah dalam menerima sebarang maklumat
Tiada ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.