https://critoxium.com/shop/

Terkini

Qatar di dunia Arab dan Afrika

Oleh Haris Zalkapli

Sejak Libya, Sudan, dan negara-negara Laut Merah dan sekitar Tanduk Afrika menyaksikan sekutu dan proksi Emiriyah Arab Bersatu mengukuhkan cengkaman, nampak pengaruh Qatar dan sekutunya Turki semakin terhakis. Di sepanjang pantai Laut Merah Afrika, hanya tinggal Somalia yang masih kuat dalam kem Turki dan Qatar, selepas Sudan dilanda perubahan yang menguntungkan Abu Dhabi.

Perkembangan di selatan Yaman menunjukkan kemaraan Emiriyah yang semakin sukar disekat atau diimbangi kuasa serantau lain, termasuk sekutu rapatnya Arab Saudi sendiri. Kumpulan-kumpulan yang telah lama menerima bantuan kewangan dan sokongan politik Abu Dhabi semakin mengukuhkan kedudukan.

Walau bagaimanapun, Qatar, yang disekat dan ditekan pakatan Abu Dhabi-Riyadh tidak berdiam diri, dan meningkatkan usaha membina hubungan lebih rapat dengan negara-negara Afrika, dari Tanduk Afrika hingga ke kawasan Sahel.

Baru-baru ini, Qatar mencapai persetujuan dengan Somalia untuk membina sebuah pelabuhan, menyaingi Emiriyah yang kini mendahului dalam penguasaan pelabuhan dari Teluk Parsi hingga ke Tanduk Afrika dan Laut Merah.

Doha juga meneruskan usaha diplomasi dengan negara-negara kawasan Sahel dengan membina kerjasama menentang terorisme. Mac lalu, Qatar menyerahkan 24 buah kenderaan tentera berperisai kepada Burkina Faso, salah sebuah negara yang menghadapi ancaman militan.

Pada masa yang sama, Qatar kekal berkedudukan penting sebagai sebuah sekutu penting Amerika Syarikat, dan lokasi pengkalan tentera AS terbesar di Asia Barat. Pengkalan udara al-Udeid semakin penting kepada Washington, pada masa suasana tidak menentu di sekitar Teluk Parsi dan seluruh dunia Arab.

Kemaraan Emiriyah, yang terbaru di Yaman, lebih menarik dan menggemparkan, menarik minat dan bermacam bentuk komentar dan spekulasi. Qatar walau bagaimanapun, pada masa sama disekat oleh jiran-jiran Arabnya, menggerakkan usaha untuk tidak ketinggalan dalam persaingan sengit ini.

Rujukan:
Al-Udeid semakin berkembang
https://www.stripes.com/…/america-s-biggest-base-in-the-mid…
Kenderaan berperisai untuk Burkina Faso
https://thepeninsulaqatar.com/…/Burkina-Faso-receives-24-ar…

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.