https://critoxium.com/shop/

Terkini

Perpaduan jamin kestabilan, pembangunan negara - Tun Mahathir

KUCHING: Rakyat Malaysia diingatkan supaya mengekalkan semangat perpaduan demi pembangunan negara dan kesejahteraan bersama.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perpaduan yang dicapai akan menjamin kepada kestabilan seluruh rakyat.

“Kestabilan ini juga akan meningkatkan aktiviti ekonomi dan ini akan menjana kekayaan yang akan kita kongsi bersama.

“Kita sepatutnya mengambil iktibar daripada kehancuran yang dialami oleh negara-negara luar akibat perpecahan hingga berlaku konflik dan peperangan,” demikian kata beliau ketika menyampaikan ucapan pada sambutan Hari Malaysia di Stadium Perpaduan di sini, malam ini.

Turut hadir adalah Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud; Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Syafie Apdal dan beberapa menteri Kabinet.

Tegas Dr Mahathir lagi, apabila berlaku sesuatu kehancuran ia sukar untuk diperbaiki dan kadang-kala melangkaui satu generasi.


Beliau juga mengakui bahawa wujud cubaan daripada pihak tertentu yang mahu melemahkan perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini.
“Naratif yang diguna sering berkait dengan perkara-perkara emosional terutamanya melibatkan kaum, agama, kenegerian dan kumpulan etnik.

“Amat mudah untuk kita terperangkap dengan isu-isu ini kerana ianya dekat di hati kita.

“Tetapi jika kita berjiwa besar, ada keyakinan diri dan berfikiran waras, kita tidak akan benarkan diri kita dipengaruhi,” ujarnya.

Sambutan Hari Malaysia 2019 pada tahun ini bertemakan “Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih”.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.