https://critoxium.com/shop/

Terkini

Syurga bukan milik penabur fitnah

APABILA bercakap tentang fitnah, ingatan penulis terarah kepada isteri Nabi Muhammad SAW, Aisyah RA. Bayangkan betapa hebat jiwa Aisyah menanggung perit apabila orang menjaja cerita tidak benar tentang dirinya. Sedangkan beliau merupakan isteri kepada utusan ALLAH dan wanita perawi hadis.

Peristiwa itu dirakam ketika dalam satu perjalanan pulang daripada peperangan. Rombongan Rasulullah SAW dan para sahabat berhenti di suatu tempat. Lalu Aisyah keluar dari peterana (tempat duduk yang dipasang di atas unta) untuk menyempurnakan hajatnya.

Setelah itu, Aisyah menyedari kalungnya telah hilang. Beliau pun mencarinya. Sekembalinya ke tempat tadi, Aisyah mendapati, rombongannya sudah tiada tanpa menyedari ketiadaan beliau.

Ummul Mukminin itu tunggu di tempat berkenaan hinggalah seorang sahabat Rasulullah SAW, Safwan Mu'attal yang ditugaskan untuk menjaga pasukan yang belakang melihat Aisyah sendirian.

Maka bertebaranlah fitnah apabila ia disebarkan oleh tentera munafik dalam peperangan Rasulullah SAW.

Cerita itu sampai kepada Rasulullah, lalu baginda telah 'mengendurkan' hubungannya dengan Aisyah hinggalah ALLAH SWT menurunkan wahyu menjawab segala fitnah berkenaan. Kisah tersebut ada disebut dalam al-Quran menerusi Surah al-Nur, ayat 11 hingga 21.

Ya, cerita tentang fitnah sebenarnya sudah ada sejak dahulu lagi. Namun ia seolah-olah tiada noktahnya, malah seperti 'diwarisi' hingga ke hari ini.

Bahkan tidak keterluan jika dikatakan ia semakin 'membarah' dalam dunia serba moden yang dipacu pelbagai kemudahan seperti media sosial dan teknologi terkini.

Benarkah dosa fitnah lebih besar daripada membunuh? Apakah bahayanya fitnah kepada masyarakat?
Pelbagai maksud


Bagi mengulas pengertian fitnah, Sinar Islam mewawancara Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi Mara, Ustazah Siti Fatahiyah Mahamood.

Ujar ahli akademik itu, dalam al-Quran, fitnah membawa pelbagai maksud antaranya seperti syirik, ujian atau bala, maksiat, kerosakan, kesempitan atau kezaliman.

Beliau turut memetik pandangan Ibnu Hajar dalam kitab Fath al-Bari bahawa sesungguhnya fitnah itu kebiasaannya dibuat untuk mengubah (sesuatu) dan mereka-reka.

"Dalam masyarakat kita hari ini, perkataan fitnah lebih terarah kepada perbuatan menyebarkan berita palsu bagi tujuan mengaibkan atau memburukkan seseorang oleh mereka yang berhasad dengki atau yang berdendam.

"Makin parah apabila perbuatan itu dilakukan dengan sengaja sebagai satu bentuk penindasan atau kezaliman, padahal si pembuat fitnah itu sendiri tahu kebenaran di sebalik fitnah tersebut. Bertambah 'nazak' lagi apabila orang Islam sendiri yang menfitnah saudara seagama tatkala mereka tahu betapa besarnya dosa pembawa fitnah," katanya.

Firman ALLAH SWT: "Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya." (Surah al-Israa’, ayat 36).

Sabda Rasulullah SAW: "Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba)." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ustazah Siti Fatahiyah turut menegur sikap segelintir masyarakat yang seolah-olah menjadikan fitnah sebagai budaya dan 'kanser' yang menular pada zaman ini ditambah pula dengan kewujudan media sosial.

Ujar beliau, perbuatan itu sebenarnya didorong oleh hasad dengki dan dendam. Maka tanpa rasa bersalah, berita palsu dibuat bagi tujuan mengaibkan atau menjatuhkan maruah seseorang yang tidak bersalah.

Justeru, beliau mengingatkan kita kembali bahawa fitnah itu umpama api dalam sekam iaitu kejahatan yang dilakukan dalam diam.

"Ia sangat bahaya kerana pada zahirnya, kita lihat seolah-olah tiada apa-apa ancaman atau kezaliman yang dilakukannya, tetapi di sebaliknya telah banyak kejahatan yang telah dilakukan.

"Perbuatan itu jika tidak dikawal akan menyebabkan masyarakat tidak stabil dan akan menggugat keamanan negara," katanya.

Bagi mereka yang terkena fitnah, Ustazah Siti Fatahiyah menitipkan pesanan agar bersabar dan tanamlah dalam diri bahawa ALLAH tidak akan menguji sekiranya kita tidak mampu.

Ujar beliau, waima sekecil mana pun perancangan mereka yang zalim melemparkan fitnah, yakinlah ALLAH SWT lagi Maha Bijaksana dalam menguruskan takdir kita. Percayalah apabila sampai masanya nanti, ALLAH akan tunjukkan segala kebenaran dan memberi kemenangan kepada pihak yang benar.

"Oleh itu, kumpulkan seluruh kekuatan kita untuk reda di atas ujian itu sambil terus berusaha untuk menyelesaikan masalah berkenaan dengan tenang dan profesional. Jangan terus melatah atau membalas segala kezaliman tersebut kerana dikhuatiri kita akan melampaui batasan dalam perbuatan atau perkataan ketika kita terlalu marah atau bersedih," katanya.
Zaman ujian

Sementara itu, pendakwah Ustaz Mohd Hassan Adli Yahaya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan mengulas tentang fenomena fitnah menerusi media sosial.

Ujar agamawan itu, manusia mudah terjebak dalam kancah fitnah yang merupakan zaman ujian buat kita dalam dunia tanpa sempadan, apatah lagi dengan kemudahan media sosial.

"Menerusi aplikasi WhatsApp contohnya, kita dapat satu berita yang tidak dapat dipastikan sama ada betul atau tidak, namun ia diceritakan dan disebarkan pula kepada kumpulan WhatsApp yang lain.

"Memang kita tidak berniat untuk memfitnah, tetapi perbuatan sebegitu secara tidak langsung menjebakkan kita menjadi ejen kepada fitnah. Jika berita itu benar-benar sahih, tiada masalah untuk disebarkan. Itu pun jika ada keperluan untuk disebarkan. Jika tiada, maka lebih baik ia tidak disebarkan. Sebab itulah Islam begitu mementingkan tabayyun (selidik)," katanya kepada Sinar Islam.

Imam Muda Hassan turut berkongsi kisah fitnah ketika zaman Nabi Muhammad SAW. Ada seorang sahabat baginda berhijrah ke Madinah semata-mata untuk berkahwin dengan seorang wanita bernama Ummu Qais. Rentetan itu, Nabi Muhammad SAW meriwayatkan satu hadis masyhur tentang setiap amalan berdasarkan kepada niat.

Namun, katanya, baginda tidak pernah menyebut nama sahabat berkenaan. Rasulullah SAW hanya menggelarkannya sebagai Muhajir Ummu Qais.

"Sampai ke hari ini, kita tak tahu siapa nama sahabat berkenaan. Malah, ulama hadis yang mengkaji setiap perincian tentang hadis itu tidak menjumpai siapakah nama sahabat yang dimaksudkan. Nabi Muhammad tidak sebut nama sahabat berkenaan kerana tiada keperluan berbuat demikian. Mungkin ada sahabat-sahabat lain tahu, tetapi disebabkan baginda SAW 'menyimpannya', tiada seorang pun yang bocorkan rahsia berkenaan sebab tiada keperluan hendak cerita," kata beliau.

Imam Muda Hassan berkata, kisah itu boleh dijadikan suri teladan yang mana begitu integritinya sikap para sahabat RA dalam menjaga aib saudaranya.

"Namun, kita pada hari ini, bukan sekadar cerita aib orang, tetapi mengambil perkara itu secara mudah. Itu yang bahayanya. Memfitnah perkara yang tidak betul, dosanya memang besar," jelas beliau.

Dosa tergantung

Kepada penabur fitnah, Imam Muda Hassan mengingatkan agar segera bertaubat dan memohon maaf kepada individu yang difitnahnya.

Ini kerana, katanya, selagi tidak mendapat kemaafan orang berkenaan, dosa-dosa pemfitnah akan tergantung meskipun mereka telah bertaubat.

"Dalam syarat-syarat taubat, jika dosa kita dengan ALLAH, kita mestilah menyesal, bertaubat dan tidak akan mengulanginya lagi. Kalau kita berdosa dengan Tuhan, mudah untuk kita hendak bertaubat kerana melibatkan antara kita dengan ALLAH SWT.

"Namun, jika dosa dengan manusia, perlu minta maaf dan selesaikan urusan dengan manusia tersebut. Contohnya, apabila seseorang memfitnah orang lain, walaupun dia segera bertaubat dan tidak buat lagi, namun dia perlu meminta maaf kepada orang berkenaan. Jika tidak, selagi itulah dosanya akan tergantung. Sebab itulah kita perlu ambil berat perkara ini. Itu baru seorang mangsa fitnah kita, kalau ramai yang kena fitnah lagi bagaimana?" soalnya.

Untuk memohon kemaafan, ujar agamawan itu, pelbagai medium boleh digunakan selain bersemuka. Ia boleh dilakukan menerusi e-mel, surat dan sebagainya, asalkan ia sampai kepada individu berkenaan.

"Tidak perlu ceritakan secara terperinci tentang butiran fitnah yang dilakukan terhadap individu berkenaan. Cukup sekadar berkata 'saya minta maaf sebab saya ada fitnah awak sebelum ini'.

"Namun, jika ditanya perincian tentang fitnah itu, maka kita kena jawab sebab itu hak dia. Yang penting, kita harus mendapatkan kemaafannya," katanya.

Benarkah dosa fitnah lebih besar daripada membunuh? Jawab Imam Muda Hassan, petikan ayat berkenaan ada disebutkan dalam al-Quran iaitu Surah al-Baqarah ayat 191 dan 217.

Namun katanya, ramai yang mentafsirkan ayat itu secara zahir iaitu menganggap fitnah sebagai menyebarkan perkara tidak benar, sedangkan perkataan fitnah dalam konteks ayat berkenaan merujuk kepada syirik. Dalam erti kata lain, dosa syirik itu lebih besar daripada membunuh.

"Fitnah itu ada banyak maksud. Fitnah bermaksud ujian, mensyirikkan ALLAH, buat cerita orang dan lain-lain. Apapun, fitnah menceritakan perkara yang tidak betul juga merupakan salah satu dosa besar," jelas beliau.

Tiada ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.